INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF TUMBUH PESAT DI BUMI KENYALANG
SEJAK seminggu lalu, saya berada di bumi Sarawak untuk satu lawatan kerja. Sepanjang tempoh tersebut, saya sempat menjalankan kujungan hormat ke beberapa organisasi dan jabatan kerajaan berkaitan industri kandungan kreatif di wilayah ini.
Antaranya adalah ke FINAS Sarawak, RTM Sarawak dan Fakulti Seni Gunaan & Kreatif (FACA), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Selain itu, saya juga berkesempatan bertemu dengan beberapa pemain utama industri, khususnya usahawan dan penerbit yang menjalankan perniagaan dalam industri ini.
Dengan masa yang terhad iaitu hanya kira-kira seminggu, saya turut berkesempatan melawat beberapa set penggambaran filem dan drama yang sedang berjalan di bandar raya Kuching dan sekitarnya.
Ini semua adalah bagi membolehkan saya mendapat gambaran yang lebih jelas tentang situasi dan landskap industri ini di bumi Sarawak kini.
Seperti yang semua maklum, sektor penerbitan kandungan kreatif di Sarawak kini sedang meriah dan berkembang pesat hasil beberapa inisiatif pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam dua tahun kebelakangan.
Antara faktor penyumbang utama perkembangan terbabit pastinya adalah penubuhan stesen televisyen milik negeri iaitu TVS yang dikendalikan oleh Sarawak Media Group Sdn Bhd selaku sebuah syarikat berkaitan kerajaan milik kerajaan Sarawak.
Selain itu, inisiatif pihak Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM) serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melaksanakan inisiatif geran khusus iaitu Dana Kandungan Digital Borneo (DKD Borneo) kepada syarikat produksi di Sabah dan Sarawak turut membolehkan perkembangan aktiviti penerbitan di wilayah ini berlaku dengan sangat drastik dalam tempoh setahun terakhir ini.
Ia pastinya situasi yang sangat positif dan dinantikan selama ini. khususnya bagi semua yang terlibat dalam sektor kandungan kreatif di wilayah ini.
Penglibatan saya dalam usaha Borneo Creative Content Incubator Centre (BCCIC) – sebuah organisasi bebas – sejak penghujung 2016 membolehkan saya dapat melihat dan mengikuti perkembangan industri kandungan kreatif di Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh tersebut, yang boleh saya simpulkan sebagai sangat menarik dan sangat berpotensi.
Dengan perkembangan kini, kemahiran graduan industri kreatif dari UNIMAS, mahupun dari institut pengajian tinggi yang lain – yang berasal dari Sarawak – dapat dimanfaatkan sebaiknya. Ia mungkin situasi yang sukar untuk kita lihat sebelum ini.
Setelah mencapai pertumbuhan industri sehingga ke tahap ini, cabaran industri di Sarawak kini beralih kepada satu lagi fasa penting iaitu menjamin kelangsungan dan pertumbuhan untuk masa mendatang. Kelangsungan dan pertumbuhan akan menjadi faktor penentu penting sama ada kerancakan yang dimiliki kini akan terus stabil dan berdaya tahan atau sebaliknya.
Bagi mencapai kelangsungan dan pertumbuhan tersebut, saya melihat ia bergantung kepada sejauh mana para pemain khususnya penerbit tempatan untuk memanfaatkan situasi kini sebagai batu loncatan untuk meneroka peluang dan potensi baharu, bukan sahaja dalam konteks tempatan malah setidaknya di peringkat serantau.
Sepertimana yang seringkali saya nyatakan sebelum ini, Borneo sememangnya telah sedia memiliki jenama yang cukup kuat di peringkat antarabangsa. Oleh yang demikian, para penggiat dan pembikin perlu mengeksploitasi dan memanfaatkan sebaiknya kekuatan Borneo yang dikenali di peringkat antarabagsa sebagai ruang dan peluang untuk memastikan kandungan yang mereka hasilkan turut mendapat perhatian khalayak dan pasaran di luar Malaysia.
Setidaknya, pasaran negara jiran seperti Indonesia – yang kita ketahui merupakan pasaran yang sangat besar – boleh dimanfaatkan, apatah lagi dengan hubungan geografi dan budaya yang kuat dengan Kalimantan yang turut sama berada di Borneo; sebagai pintu dan jalan masuk meneroka potensi pasaran di negara terbabit.
Tambahan pula Kalimatan bakal menjadi ibu negara Indonesia dalam beberapa tahun lagi, maka sektor kandungan kreatif di Sarawak harus bersedia untuk mengambil peluang dari limpahan ekonomi hasil daripada situasi terbabit.
Namun, dalam mencapai hasrat terbabit, beberapa aspek dalam rantaian ekosistem industri kreatif di Sarawak harus turut diperhatikan dan digembleng secara holistik dan menyeluruh.
Selain suntikan peruntukan kepada sektor penerbitan, ia harus diimbangi dengan pemerkasaan sumber manusia, inisiatif bagi menggalak pelaburan swasta dan luar negara, polisi kerajaan pelbagai peringkat yang mesra penggambaran dan produksi, memperkukuh kepakaran pengedaran dan pemasaran serta beberapa lagi.
Sarawak juga bertuah kerana pada tahun 2019, ia telah menjadi pilihan lokasi penubuhan sebuah syarikat pelaburan dan penerbitan, iaitu Longhouse Films Sdn Bhd. Ia dikatakan bertuah memandangkan syarikat ini bukan sebarangan syarikat, namun diterajui oleh seorang warga Sarawak yang terlebih dahulu membina kredibiliti di industri perfileman di China; iaitu Jon Chiew.
Beliau merupakan seorang daripada penerbit utama di China, yang mana merupakan pengasas bersama syarikat Starry Entertainment Group, syarikat pelaburan dan penerbitan di China yang mempunyai kapasiti pelaburan lebih RM400 juta. Starry Entertainment juga merupakan penerbit filem `Hello Mr Billionare` yang sehingga tahun 2018 merupakan filem kelima tertinggi kutipan dalam sejarah `box office` sinema China – dengan kutipan lebih RM 1.6 bilion.
Oleh yang demikian, keputusan beliau untuk pulang melabur di negeri asalnya ini pasti merupakan langkah yang signifikan serta bakal memberikan impak yang besar kepada suasana industri kandungan kreatif di negeri ini – termasuklah dalam konteks memberikan keyakinan kepada pelabur luar negara yang lain untuk turut mengambil langkah sama serta potensi membawa jaringan niaganya ke bumi Sarawak.
Pelaburan swasta dan luar negara bakal memberikan kelebihan dan nilai tambah dalam usaha menjamin kelangsungan pembangunan industri kandungan kreatif di Sarawak.
Diharapkan semua pihak dapat melihat bahawa dukungan kerajaan ini harus dimanfaatkan sebagai pencetus mula – untuk meneroka ruang dan peluang bagi bersaing mengembangkan pasaran sedia ada termasuk meneroka pasaran baharu yang berpotensi.
Ia bukan bukan tanggungjawab satu pihak dan ia perlu diusahakan bersama.
Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF