Memahami implikasi dasar kabotaj kepada industri kandungan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 03 Sep 2021 08:32 AM

MEMAHAMI IMPLIKASI DASAR KABOTAJ KEPADA INDUSTRI KANDUNGAN

 

 

MENGHADAPI fasa pandemik membuatkan kestabilan jaringan dan kesalinghubungan dalam talian menjadi aspek yang sangat penting.

 

Kebergantungan masyarakat massa terhadap perkhidmatan dan transaksi dalam talian – dalam segala sektor, termasuklah makanan, pendidikan, kewangan dan sebagainya meningkat dengan mendadak.

 

Bagi industri kandungan kreatif pula, aspek ini menyumbang pembangunan yang signifikan apabila dunia penyiaran kini mula beralih kepada platform penstriman (OTT).

 

Penutupan pawagam juga menyebabkan industri perfileman kini bergantung kepada platform OTT  yang dijangka akan terus menjadi trend jangkamasa panjang kepada industri ini sebagai platform atau window bagi pengedaran dan pemameran setiap filem yang diterbitkan.

 

Peralihan penyiaran terrestrial dari analog kepada digital melalui Digital Terrestrial Television (DTT) yang telah selesai sepenuhnya pada 1 November 2019 meningkatkan kebergantungan siaran kepada sambungan internet, malah perkembangan kandungan dalam talian meletakkan platform seperti saluran Youtube menjadi penyumbang utama industri kandungan digital.

 

Malah, berita penghentian operasi satelit MEASAT-3 setelah menghadapi masalah terkeluar dari orbit sejak bulan Jun lalu dijangka akan turut meningkatkan kebergantungan stesen televisyen berbayar terbesar negara, ASTRO kepada perkhidmatan siaran Ultra Box dan Ulti Box mereka, yang mana berfungsi melalui jaringan internet.

 

Secara mudahnya, jaringan dalam talian dan internet merupakan platform atau komponen paling penting kepada industri kreatif kini.

 

Begitulah serba sedikit landskap dan trend semasa yang memperlihatkan betapa pentingnya sistem jaringan telekomunikasi kepada industri penyiaran, perfileman dan kandungan kreatif masa kini  – bukan sekadar dalam konteks Malaysia – malah di peringkat global.

 

Sehubungan dengan itu, pelbagai usaha dilakukan oleh pelbagai pihak dalam menambahbaik sistem jaringan telekomunikasi sedia ada, meningkatkan kapasiti serta memperluaskan jaringan– bagi menjadikan aksesibiliti yang lebih inklusif.

 

Bagi negara Malaysia, sebuah pelan induk yang memfokuskan usaha ini telah dilancarkan pada awal tahun yang lalu oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDigital).

 

 

kreatif

 

 

Bagaimanapun, tindakan yang diambil oleh Menteri Pengangkutan YB Dr Wee Ka Siong untuk membatalkan pengecualian dasar kabotaj bagi tujuan pembaikan kabel dasar laut berkuatkuasa pada 13 November 2020 seperti mana diwartakan dalam Warta Kerajaan PU (B) 592 dilihat sangat bertentangan dengan semangat dan hasrat kerajaan – sepertimana yang digariskan dalam pelan induk MyDigital terbabit.

 

Kualiti dan kepantasan kerja pembaikan kabel dasar laut merupakan antara isu kritikal dan faktor penentu penting dalam sebarang keputusan bagi pelaburan membangunkan kabel dasar laut oleh sebarang konsortium yang berminat.

 

 

kabotaj

 

 

Malah, ia juga merupakan indikator penting dalam sebarang keputusan konsortium pelabur bagi memasukkan sesebuah negara dalam jajaran atau laluan jaringan kabel dasar laut yang akan dibangunkan.

 

Dalam konteks kini, penglibatan Malaysia sebagai salah satu laluan dalam projek kabel dasar laut sangat penting dalam memastikan kesalinghubungan Malaysia secara global sentiasa terus dipertingkatkan  serta pastinya dalam usaha meningkatkan kapasiti bagi menambah baik perkhidmatan dalam jaringan sedia ada.

 

Malah, keberadaan sekitar 21 kabel dasar laut yang menghubungkan Malaysia kini (termasuk yang dalam pembinaan) tidak akan dapat memenuhi keperluan untuk menambah baik kualiti jaringan di Malaysia yang semakin meningkat, apatah lagi dalam mendukung aspirasi MyDigital.

 

Sepertimana yang diketahui, Dasar Kabotaj Negara yang diperkenalkan pada 1 Januari 1980 mengehadkan sebarang kegiatan perkhidmatan di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia, merangkumi perairan sejauh 200 batu nautika dari pangkal pantai negara  termasuklah perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut, hanya terhad kepada kapal yang berdaftar di Malaysia.

 

Namun, atas faktor ketiadaan kapal Malaysia yang mempunyai spesifikasi serta ketiadaan kepakaran tempatan bagi menjalankan kerja pembaikan dasar laut terbabit, pada April 2019,

 

Menteri Pengangkutan terdahulu, Anthony Loke telah memberikan pengecualian kepada dasar, khusus bagi kerja-kerja pembaikan kabel dasar laut - setelah menyedari ia bakal menjadi antara penyebab pelabur projek penting yang berkaitan akan mula menjauhkan diri dari Malaysia.

 

 

kapal Willem de Vlamingh
Kapal Willem de Vlamingh yang dibina khas untuk memasang kabel dasar laut.

 

 

Ia kerana sememangnya jelas Malaysia tidak mempunyai kapal yang memenuhi spesifikasi yang diperlukan bagi menjalankan kerja-kerja berkaitan iaitu kapal DP2. Ia menimbulkan birokrasi besar yang akan melambatkan proses pembaikan, yang mana akan membawa kerugian yang sangat besar kepada konsortium pengendali kabel dasar laut terbabit.

 

Walaupun dasar terbabit membenarkan kapal asing menjalankan perkhidmatan tersebut jika didapati ketika itu tiada kapal tempatan yang mempunyai kepakaran berkenaan, namun ia melibatkan proses dan tempoh masa yang panjang.

 

Tanpa pengecualian tersebut, kebiasaannya tempoh 27 hari diperlukan - sebelum kapal asing boleh memulakan kerja – kerana kapal asing perlu melalui proses birokrasi yang panjang, termasuk mendapat input dari Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) terlebih dahulu.

 

Tempoh masa tersebut membawa kerugian besar kepada pengendali kabel dasar laut  dan kerana itu pengecualian tersebut sangat penting dalam menarik pelaburan mereka.

 

Akibat pembatalan pengecualian terbabit, syarikat gergasi teknologi global iaitu Facebook, Google dan Microsoft telah sekurang-kurangnya menulis sebanyak dua kali sejak itu kepada Perdana Menteri ketika itu bagi mempertimbangkan semula pembatalan pengecualian tersebut. Ini kerana mereka dalam pertimbangan untuk melabur dalam meningkatkan jaringan data di Malaysia, termasuklah dalam melaburkan bagi membangunkan pusat data di Malaysia. Pembangunan pusat data ini merupakan antara keperluan Malaysia kini, seperti yang diakui oleh syarikat telekomunikasi tempatan.

 

 

MISSED

 

 

Namun agak mendukacitakan apabila Kementerian Pengangkutan tetap dengan keputusan pembatalan pengecualian tersebut.

 

Kesan dari situasi tersebut dapat dilihat dengan jelas apabila Malaysia tidak tersenarai sebagai laluan bagi projek kabel dasar laut Echo dan Bifrost yang diumumkan pada bulan Mac lalu oleh Facebook dan Google,  yang menghubungkan Amerika Utara dengan Singapura dan Indonesia. Kabel yang merentas lautan Pasifik ini dijangka dapat meningkatkan kapasiti perhubungan kedua-dua benua sehingga 70%.

 

Lima bulan kemudian iaitu Ogos baru-baru ini, Malaysia sekali lagi menerima kesan atas keputusan tersebut apabila Facebook dan Google mengumumkan projek kabel dasar laut yang menghubungkan negara-negara Asia Pasifik meliputi Jepun, Taiwan, Guam, Filipina, Singapura dan Indonesia – dan sekali lagi Malaysia tidak tersenarai.

 

Projek yang dijangka siap pada tahun 2024 ini bakal menjadi nadi penting hubungan telekomunikasi dan ekonomi digital di rantau ini termasuk membawa kesan rantaian ekonomi yang sangat besar.

 

Merujuk kepada hasil penyelidikan oleh firma perunding telekomunikasi antarabangsa, Analysys Mason, pelaburan fasiliti jaringan yang dibangunkan oleh Google di rantau Asia Pasifik sebelum ini membawa impak dan rantaian kesan sangat besar dengan sehingga tahun 2019 telah membawa sejumlah 1.1 juta peluang pekerjaan baharu, di samping membawa tambahan sejumlah sekitar RM1.4 trilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) di rantau ini sepanjang tahun  2010 hingga 2019.

 

Kita juga dapat melihat tindakan pembatalan pengecualian tersebut bukan sekadar mendapat bantahan dari syarikat gergasi luar negara ini, malah mendapat respon yang sama dari organisasi tempatan seperti PIKOM dan Malaysia Internet Exchange (MyIX) - yang begitu lantang memohon kerajaan mempertimbangkan semula keputusan terbabit.

 

Malah, agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) juga berulang kali menyuarakan supaya kerajaan mengembalikan pengecualian tersebut.

 

Hal ini menjadi penting bagi industri penyiaran  dan kandungan kreatif negara – yang sedang berusaha untuk terus kompetitif mendepani perubahan dan kemajuan teknologi penyiaran negara-negara maju dan membangun lain.

 

Kualiti jaringan juga akan menjadi faktor penentu perkembangan platform-platform baharu yang bakal memperbanyakkan keperluan penerbitan kandungan, sekaligus mengembangkan saiz pasaran dan nilai industri ini.

 

Apatah lagi ia bukan sekadar soal telekomunikasi tetapi juga ekonomi dan pembangunan negara secara keseluruhan, malah menjadi faktor penentu kedudukan  dan peranan negara dalam struktur ekonomi global yang berteraskan digital kini.

 

 

ANNUAR MUSA
Tan Sri Annuar Musa

 

 

Semoga Menteri Komunikasi & Multimedia yang baharu, Tan Sri Annuar Musa dapat berunding dan menyuarakan kembali hal ini kepada Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong dalam mencari penyelesaian terhadap isu penting ini. - DagangNews.com

 

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF