MENJADIKAN LANGKAWI SEBAGAI DESTINASI MESRA PENGGAMBARAN
TIGA tahun lalu, pada tarikh ini, saya berada di Pulau Langkawi mengendalikan sebuah acara iaitu `Bengkel Intensif Pengurusan Logistik Perfileman Langkawi` dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Bengkel yang dijalankan bagi melatih penduduk tempatan bagi bersedia menjadi pasukan sokongan kepada setiap penggambaran yang dijalankan ke pulau ini.
Sebagai sebahagian pengisian acara tersebut juga diadakan sessi diskusi meja bulat sebagai salah satu bentuk libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuklah jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan, serta penggiat industri pelancongan - bagi membincangkan usaha mewujudkan destinasi mesra penggambaran – sekaligus menjadikan pulau ini sebagai salah satu destinasi penggambaran pilihan dalam dan luar negara.
Hari ini, tiga tahun kemudian, saya berada di pulau ini lagi meneruskan sesuatu yang selari dengan hasil perbincangan dalam acara bengkel tiga tahun lalu iaitu melanjutkan usaha objektif yang ingin dicapai sejak dari awal.
Galakan sebagai destinasi penggambaran memberikan sekian banyak manfaat kepada Langkawi, tidak kira dalam konteks menjana ekonomi tempatan, tetapi juga medium dokumentasi audiovisual yang penting, sekaligus platform mempromosi Langkawi ke seluruh dunia dengan dengan kos yang efektif.
Melihat kepada potensi besar yang dimiliki oleh Pulau Langkawi bagi menjadi destinasi pilihan penerbit – saya kini sedang mengusahakan sebuah organisasi bebas – Langkawi Film Office (LFO) sebagai penerus hasrat yang dizahirkan terdahulu, sekaligus meneruskan kempen #LangkawiFilmingDestination.
Selain mengembangkan potensi Langkawi sebagai lokasi penggambaran, LFO cuba melihat bagaimana impak dan limpahan (spillover) aktiviti perfileman yang berjalan di Langkawi mampu menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan – yang merupakan industri utama di Langkawi.
Ini termasuklah meneroka peluang dan potensi aktiviti pelancongan berteraskan perfileman di Langkawi, sebagai pelengkap kepada pelbagai segmen pelancongan yang lain seperti pelancongan sukan, pelancongan eko dan sebagainya.
Selama seminggu di pulau legenda ini, saya sempat singgah ke lokasi penggambaran drama bersiri yang sedang berjalan di sebuah pusat peranginan di pulau ini. Drama bersiri 13 episod ini telah lebih sebulan menjalankan penggambaran di sekitar Langkawi.
Sepanjang pengetahuan saya, terdapat beberapa lagi projek penggambaran perfileman dan kandungan kreatif yang sedang berjalan di Langkawi ketika ini.
Melihat situasi ini membuktikan Langkawi sememangnya memiliki segalanya yang diperlukan untuk dibangunkan sebagai destinasi penggambaran pilihan.
Kekerapan penerbangan langsung dari seluruh dunia ke lapangan antarabangsanya, serta jumlah kapasiti dan variasi pilihan penginapan dari inap desa hingga ke hotel berbintang lima; segala keperluan penerbit khususnya dalam konteks logistik dimiliki Langkawi.
Kemudahan feri kenderaan dari tanah besar Semenanjung Malaysia, serta kemudahan jalanraya serta jaringan pengangkutan airnya yang baik membolehkan segala keperluan logistik perfileman dapat ditangani dengan baik oleh Pulau Langkawi.
Oleh yang demikian, tidak menghairankan apabila Langkawi sejak dahulu menjadi pilihan ramai penerbit, termasuk produksi antarabangsa untuk menjalani penggambaran di sini. Antaranya seperti filem Anna & The King, Don, Crazy Rich Asian dan banyak lagi.
Kesedaran dan keyakinan pihak penerbit untuk memilih Langkawi sebagai destinasi penggambaran sememangnya telah ada dan berkembang sejak beberapa tahun terakhir – terutama bagi lokasi berteraskan alam.
Namun apa yang diperlukan kini adalah pelan pembangunan dan penyelarasan yang lebih berstruktur dan sistematik.
Sebagai contoh, dalam situasi kini, Langkawi secara amnya, mahupun organisasi bertanggungjawab khasnya, tidak mempunyai atau mempunyai akses data dan statistik yang jelas tentang berapakah jumlah penerbitan yang menjalankan penggambaran di Langkawi setiap tahun atau berapakah jumlah perbelanjaan tempatan (local expenditure) yang dibelanjakan oleh projek-projek ini di Langkawi.
Sememangnya disedari bahawa pihak LADA selaku badan autoriti pembangunan Langkawi tidak mempunyai bidang kuasa yang boleh mewajibkan setiap produksi untuk melapor dan memaklumkan setiap penggambaran kepada LADA.
Namun, melalui kerjasama dengan pihak FINAS dan Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM), data dan statistik penggambaran di Langkawi ini berkemungkinan dapat diekstrak dari data permohonan Sijil Perakuan Produksi (SPP), permohohonan Filming in Malaysia Incentive (FIMI) dan Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
Data jumlah produksi dan perbelanjaan tempatan ini penting bagi melihat sejauh mana signifikan kegiatan penggambaran perfileman ini kepada usaha membawa aliran tunai dan sektor ekonomi secara keseluruhan di Langkawi serta membantu usaha untuk membuat anggaran masa depan (forecast).
Malah, jika data tersebut dapat membuktikan bahawa perfileman mempunyai sumbangan yang signifikan, ini memudahkan usaha LADA untuk meyakinkan pihak tertinggi kerajaan bagi menyediakan insentif-insentif tertentu kepada produksi yang dijalankan di Langkawi sebagai terus menggalak aktiviti penggambaran di sini.
Jika diadakan, insentif dari LADA ini mampu menjadi nilai tambah kepada insentif sedia ada yang lain seperti FIMI sepertimana amalan di beberapa negara lain yang menawarkan insentif di pelbagai peringkat sama ada kerajaan nasional, kerajaan wilayah/negeri, hingga kepada pihak berkuasa tempatan di peringkat daerah/ bandar.
Ini meningkatkan keyakinan dan minat penerbit bagi menjalankan penggambaran di sesuatu tempat terbabit.
Selain itu, bagi lokasi filem ikonik yang popular, lokasi tersebut sendiri mampu diperkembangkan bagi dijadikan lokasi tarikan pelancongan yang membolehkan Langkawi meneroka sektor baharu pelancongan berteraskan perfileman.
Sepanjang libat urus dan kunjung hormat dengan beberapa pihak tempatan dalam lawatan seminggu ini, LFO mendapat respon yang baik dari pelbagai pihak termasuklah pihak LADA.
Namun, terdapat juga beberapa input yang dilihat perlu dan penting untuk diberikan perhatian – antaranya cadangan untuk membangunkan satu garis panduan umum sebagai rujukan kepada setiap penggambaran perfileman yang dijalankan di Langkawi - dalam memastikan kelestarian alam; sesuai status Pulau Langkawi sebagai UNESCO Global Geopark (UGG).
Beberapa garis panduan serta praktis dan amalan dalam kawal selia UGG boleh diintegrasikan dalam sebuah garis panduan umum perfileman di Langkawi.
Ini dilihat penting kerana meskipun usaha menggalak aktiviti penggambaran di Langkawi menjadi keutamaan LFO, namun aspek kelangsungan dan kelestarian alam di Pulau Langkawi adalah menjadi keutamaan dan diuruskan secara berhemah; kerana itulah aset paling berharga di Langkawi.
Sebagai langkah mula, LFO kini membuka sebuah pejabat kecil di Langkawi sebagai tanda komitmen dan pemudahcara memulakan usaha dalam menggerakkan impian menjadikan Langkawi dikenali serata dunia sebagai salah satu destinasi penggambaran pilihan.
Semoga usaha ini dapat dilaksanakan dan mendapat sokongan semua pihak.
Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF