Menuju 2022 – Apa yang boleh industri kandungan kreatif harapkan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 05 Nov 2021 09:02 AM

Menuju 2022 – Apa yang boleh industri kandungan kreatif harapkan?


 

 

MINGGU ini, kita sudah memasuki bulan ke-11 bagi tahun ini. Jika diihat ke belakang, tidak banyak yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun 2021 ini.

 

Sebahagian besar masa dihabiskan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang mana industri kandungan kreatif tidak boleh beroperasi dalam sebahagian besar tempoh terbabit.

 

Kebanyakan penggiat bergelut di antara arahan larangan beroperasi dan pematuhan SOP yang ketat sejak awal tahun, hinggalah kelonggaran yang signifikan diumumkan pada bulan September lalu – yang memberikan nafas lega kepada sebahagian besar penglibat industri.

 

Namun, gerak kerja produksi tidak semudah merangka sebaik sahaja pengumuman kelonggaran dibuat.

 

Isu seperti perebutan pelakon dan kapasiti jumlah tenaga produksi yang ada di negara ini bagi memenuhi keperluan penggambaran yang bermula serentak seluruh negara, menyebabkan banyak produksi yang masih perlu mengambil masa untuk mengatur semula perancangan masing-masing.

 

Ini terutamanya bagi produksi yang terdahulu telah terhenti separuh jalan akibat pelaksanaan lockdown  dan mempunyai kesinambungan pelakon dan `wajah depan skrin` yang perlu dijaga.

 

Memasuki bulan November, bulan kedua terakhir, saya melihat tiba masanya kita membiarkan 2021 berlalu  dan ada baiknya kita sudah mula mengalih pandangan untuk tahun baharu 2022 yang bakal tiba.

 

Dalam menuju ke arah pasca-pandemik, persiapan dan kesiapsiagaan kita akan menjadi faktor penentu survival dan perkembangan setiap penggiat industri kandungan kreatif, khususnya yang terlibat dengan perniagaan dalam industri ini.

 

Seperti mana yang sering kali saya sebutkan terdahulu, selain memastikan kelangsungan dan survival usaha perniagaan kita, pandemik ini sekiranya dimanfaatkan dengan baik, mampu menjadi butang reset kepada usaha menambahbaik serta menjadi batu loncatan perkembangan perniagaan dengan mewujudkan perniagaan yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.

 

 

tengku zafrul
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada 29 Oktober 2021.

 

 

Dalam konteks aliran tunai dalam industri, pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan di Dewan Parlimen Jumaat lalu memberikan sedikit sinar apabila sejumlah RM188 juta telah diumumkan sebagai peruntukan langsung kepada industri kreatif pada tahun hadapan.

 

Ia tidak boleh dilihat sebagai memenuhi keperluan, tetapi sudah cukup untuk menjadi `pelincir` awal bagi industri ini melangkah semula.

 

Malah, saya melihat ia lebih dari sekadar wang ringgit, tetapi lebih penting , ia memperlihatkan kesedaran dan komitmen pihak kerajaan terhadap industri ini sebagai salah satu bidang yang signifikan dan mempunyai nilai dan kedudukan yang penting dalam rantaian ekonomi dan sosial negara.

 

Ia juga menjadi kelangsungan dari beberapa peruntukan langsung daripada kerajaan kepada industri ini dalam beberapa siri pakej rangsangan ekonomi terdahulu, termasuk yang terbaharu, Pakej Pelindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

 

Konsistensi ini memberikan isyarat positif tentang perhatian yang diberikan kerajaan kepada industri ini – yang suatu ketika dahulu kerap kali tenggelam timbul dalam pembentangan bajet tahunan negara.

 

Dalam satu aspek lain, bagi yang terlibat dalam industri perfileman, tahap keyakinan dan daya tarik penonton di pawagam dilihat masih lemah dalam dua bulan terakhir meskipun pawagam telah diberikan kebenaran beroperasi dengan pematuhan SOP tertentu.

 

Kita mengharapkan tahap keyakinan dan daya tarik ini akan mula meningkat dalam dua bulan terakhir tahun 2021,  dengan pihak pengedar dan pawagam sudah mula merangka barisan filem blockbuster sebagai tarikan penonton untuk kembali ke pawagam.

 

 

kreatif

 

 

Berasaskan situasi semasa, saya yakin jumlah penontonan akan kembali meningkat bermula bulan Disember ini – dan memberikan trend peningkatan yang baik – dan seterusnya kembali normal pada awal tahun hadapan.

 

Sektor penerbitan kandungan untuk televisyen dan dalam talian juga semakin meriah apabila kita menyaksikan sepanjang tempoh pandemik kemunculan beberapa saluran TV dan platform OTT (Over-The-Top) baharu - yang sebelum ini impaknya terhadap dunia penerbitan sedikit terencat dengan PKP dan PPN.

 

Namun dengan imunisasi kelompok yang telah dicapai, kesannya terhadap pertumbuhan sektor penerbitan akan mula dirasai dengan ketara pada tahun hadapan.

 

Usaha pemasaran kandungan tempatan yang juga agak terbantut sepanjang pandemik kerana limitasi dan impak yang berkurang akibat pelaksanaan pasar filem dan kandungan dalam talian, dijangka akan kembali meriah dengan menghidupkan kembali penyertaan dan delegasi Malaysia secara fizikal ke pasar-pasar kandungan utama seluruh dunia.

 

Antaranya seperti MIPCOM di Perancis, Filmart di Hong Kong dan Asian Film Market di Korea Selatan. Statistik memperlihatkan keberkesanan kehadiran secara fizikal lebih memberikan impak dalam konteks jualan berbanding penyertaan secara dalam talian.

 

 

kreatif

 

 

Selain itu, yang paling utama, diharapkan juga usaha pemantapan ekosistem industri di negara ini akan berjalan lebih progresif selepas ini setelah kita sendiri menyaksikan betapa rapuhnya ekosistem industri ini ketika menghadapi pandemik dalam dua tahun terakhir.

 

Pentadbir industri sudah sepatutnya dapat melihat keperluan mendesak untuk mencari segala lubang kerapuhan itu untuk diperkemaskan dalam segala aspek.

 

Perhatian tidak lagi harus hanya menjurus kepada aktiviti penerbitan, pengedaran dan pemameran semata-mata, malah keseluruhan rantaian ekosistem industri yang semakin hari semakin cepat berubah dan berkembang.

 

Jika kita tidak mampu beradaptasi, kita akan statik dan mati.

 

Saya secara peribadi cukup optimis dan teruja untuk menuju ke tahun baharu. Sekian banyak perancangan yang terhenti dan terhalang sebelum ini akibat pandemik boleh untuk dihidupkan kembali.

 

Semoga tahun 2022 akan membawakan khabar gembira serta senyuman buat seluruh penggiat industri kandungan kreatif negara. - DagangNews.com

 

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).