Pelaburan pemodal Malaysia dalam filem luar negara: Apa baiknya untuk Malaysia? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 27 Aug 2021 07:54 AM

PELABURAN PEMODAL MALAYSIA DALAM FILEM LUAR NEGARA: APA BAIKNYA UNTUK MALAYSIA?

 


 

MENJADI kelaziman dalam penerbitan filem secara penerbitan bersama (co-production) di Malaysia – yang menjurus kepada pelaburan untuk menerbitkan filem di Malaysia atau dengan cerita berlatarbelakangkan Malaysia, mahupun melibatkan pasukan produksi dan pelakon Malaysia. Malah kebiasaannya, urusan produksi dikendalikan oleh syarikat produksi Malaysia.

 

Bagaimana jika syarikat penerbitan di Malaysia berpeluang untuk melabur dalam penerbitan filem di luar negara – tidak terlibat dalam produksi – dan jelas berasaskan kira-kira pelaburan semata-mata? Melabur dalam sebuah filem India, contohnya. Atau mungkin Australia?

 

Dalam konteks perniagaan, tidak menjadi kesalahan untuk penerbit Malaysia bagi meneroka potensi dan peluang tersebut, apatah lagi bagi organisasi pemodal bersifat studio seperti Astro Shaw, Primework Studios dan sebagainya.

 

Ia mungkin boleh menjadi alternatif jangka masa panjang kepada syarikat-syarikat ini dalam mengurangkan kebergantungan kepada pasaran dan industri Malaysia semata-mata pada masa mendatang. Ini termasuklah menjadi persediaan sekiranya berlaku lagi situasi ketidakstabilan industri seperti sekarang, yang mana prosedur operasi standard (SOP) di Malaysia yang masih tidak membenarkan penggambaran filem dijalankan berbanding beberapa negara termasuk negara jiran yang menyaksikan sektor penggambaran berjalan aktif dengan pematuhan SOP tertentu.

 

Selain aspek tersebut, usaha ini dilihat mampu memainkan peranan dalam pengantarabangsaan jenama tempatan, sekiranya mereka dapat memposisikan keberadaan mereka sebagai sebuah studio pelabur Malaysia dalam produksi terbabit. Sememangnya kerjasama antara negara dapat memberikan pendedahan dan membina jaringan antarabangsa dan serantau kepada studio tempatan bagi menjadi permulaan untuk melangkah lebih jauh.

 

Penerbit boleh cuba meneroka projek dengan skala dan keperluan pelaburan yang sesuai dengan kemampuan dan keselesaan masing-masing yang pastinya berasaskan potensi pulangan pelaburan yang meyakinkan.

 

Dengan hubungan yang rapat dengan industri dan pemain industri perfileman di Indonesia, mungkin tidak menjadi masalah bagi studio Malaysia berunding bagi mendapatkan sejumlah kepentingan minoriti dalam filem-filem Indonesia yang kini dilihat lebih ke hadapan dalam pasaran antarabangsa berbanding filem Malaysia.

 

Sejak beberapa tahun lalu, sememangnya telah terdapat beberapa pelaburan dari Malaysia dibuat dalam projek filem Indonesia.

 

Antaranya adalah pelaburan studio Astro Shaw Sdn Bhd dalam filem The Science of Fictions arahan Yosep Anggi Noen, serta pelaburan syarikat FITA Studios Sdn Bhd dalam filem Aach Aku Jatuh Cinta arahan Garin Nugroho. The Science of Fictions adalah terbitan Limaenam Films, manakala Aach Aku Jatuh Cinta terbitan MVP Pictures milik penerbit terkenal Indonesia - Raam Punjabi.

 

 

The Science of Fictions
Filem The Science of Fictions arahan Yosep Anggi Noen yang memiliki pelaburan dari studio Astro Shaw Sdn Bhd.

 

 

Bagaimanapun, pelaburan tersebut dilihat dalam konteks membina reputasi atas faktor pengarah bagi kedua-dua filem tersebut yang mempunyai reputasi di festival filem. Oleh yang demikian, dapat dilihat bahawa keputusan pelaburan tersebut bukanlah berorentasikan pulangan pelaburan, sebaliknya lebih ke arah membina reputasi syarikat di gelanggang festival filem antarabangsa.

 

Pastinya, kita juga berharap suatu hari nanti agar dapat melihat penglibatan penerbit dan pelabur Malaysia dalam filem-filem blockbuster Indonesia – sepertimana penglibatan aktif pemodal dari Hong Kong dalam beberapa negara di rantau ini. Malah, sejak kebelakangan ini, kita dapat melihat penglibatan aktif syarikat-syarikat dari China melabur dalam filem-filem Hollywood dalam usaha mereka menjadi studio global.

 

Selain dari pendekatan tersebut, para penerbit dan pemodal dari Malaysia juga boleh meneroka negara dengan pasaran yang lebih kecil  bagi memainkan peranan sekaligus muncul sebagai pemain utama dalam industri negara terbabit. Dengan pendekatan ini, selain memanfaatkan pasaran baharu dalam menjana keuntungan, mengurangkan persaingan, malah mereka dapat membina reputasi sebagai penyumbang dalam pembangunan perfileman di negara tersebut.

 

Kredibiliti sebagai organisasi korporat dengan tanggungjawab sosial dalam melahirkan pembangunan perfileman yang seimbang dan mapan di seluruh dunia, khususnya di negara dunia ketiga akan mengangkat bukan sekadar jenama syarikat, malah nama baik negara asal mereka.

 

Satu contoh yang menarik untuk diperhatikan adalah tentang bagaimana penglibatan syarikat pemilik rangkaian pawagam terbesar di Thailand iaitu Major Cineplex Group Public Co Ltd, yang mana mereka juga telah melabur bagi meneroka pasaran pawagam di Laos dan Kemboja. Dengan industri filem di Laos dan Kemboja yang sangat kecil, namun berpotensi, kini Major Cineplex berjaya muncul rangkaian pawagam utama di kedua negara tersebut.

 

 

Major Cineplex Group Public Co Lt
Pawagam yang dikendalikan oleh Major Cineplex Group Public Co Ltd di Thailand.

 

 

Selain mencatatkan pendapatan dari pelaburan luar negara ini, penguasaan pelabur Thailand di Laos dan Kemboja ini secara tidak langsung membolehkan filem-filem Thailand sangat akrab dan dikenali di kedua-dua negara tersebut  yang membantu proses pengantarabangsaan filem Thailand di peringkat serantau.

 

Begitu juga penglibatan aktif negara Perancis dalam membantu industri perfileman di Myanmar  dengan bantuan pelbagai aspek termasuk latihan perfileman, penganjuran festival filem serta kerjasama penerbitan kedua negara.

 

Dengan semangat dan aspirasi yang sama, mungkinkah syarikat studio Malaysia dapat melakukan yang sama dalam membantu membangunkan industri filem di negara serantau contohnya di Singapura atau Brunei? Atau mungkin di negara termuda di rantau ini, Timor Leste?

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI KOLUM INDUSTRI KREATIF