PEMBANGUNAN INDUSTRI FILEM & GELOMBANG BUDAYA GLOBAL
PERFILEMAN merupakan sebahagian dari seni dan budaya. Ia merupakan salah satu bentuk kesenian dengan usia yang muda berbanding kesenian lain serta melibatkan hasil kerja kolaborasi dan pengaplikasian teknologi terkini.
Melihat ia sebagai sebuah produk seni kontemporari, amalan di Malaysia menurut pandangan saya terlalu mengamalkan segmentasi disiplin seni hingga kadangkala seolah mengasingkan perfileman daripada disiplin seni yang lain.
Salah satu pendekatan untuk merapatkan jurang antara displin seni ini adalah melalui polisi dan dasar yang mampu menjadi perantara dan pemudahcara dalam mewujudkan persekitaran terbabit.
Namun, dalam praktis di Malaysia, pengasingan industri perfileman di bawah seliaan Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM) manakala sektor seni & budaya yang lain di bawah Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC) kadangkala bukanlah mampu merapatkan, malah berpotensi melebarkan jurang antara filem dengan disiplin seni yang lain.
Tanpa menafikan justifikasi pihak kerajaan berkenaan pengasingan tersebut, yang turut dilihat berasaskan sifat industri perfileman sebagai salah satu bentuk teknologi multimedia, namun praktis di kebanyakan negara termasuk negara jiran yang meletakkan industri perfileman di bawah kementerian berteraskan kesenian dan kebudayaan pasti ada kewajarannya yang harus diteliti.
Kesan dari pengasingan tersebut, dalam kebanyakan usaha diplomasi budaya yang selalunya diberikan mandat kepada MOTAC untuk membawa pelbagai produk dan persembahan budaya Malaysia ke luar negara – filem seringkali ketinggalan.
Kita dapat melihat bagaimana negara Indonesia dan Thailand contohnya, yang menyedari industri filem mereka bukanlah besar untuk mampu bertanding dengan Amerika Syarikat dalam konteks skala dan teknologi. Maka mereka sedar keunikan representasi dalam filem mereka mampu menjadi kekuatan untuk bersaing di pasaran global, sepertimana yang dilakukan oleh negara Asia lain termasuklah Jepun, Korea Selatan dan Iran.
Industri perfileman adalah sebuah industri unik yang tidak hanya melihat filem sebagai sebuah produk teknologi semata–mata. Filem adalah sebuah produk seni yang menggabungkan nilai artistik dan komersial sebagai elemen utama. Gabungan kedua elemen ini sangat penting bagi memastikan filem relevan dalam gelombang ekonomi kreatif global kini. Namun, daya komersil filem tetap bergantung kepada kekuatan estetika termasuk cerita dan penceritaan.
Pendekatan sesetengah pihak, terutama karyawan yang memisahkan karya filem yang disebut sebagai art house dari pasaran pada saya secara peribadi adalah sesuatu yang kurang wajar. Filem yang dikatakan art house ini juga harus dilihat sebagai sebuah komoditi dalam pasaran – cuma mungkin untuk pasaran yang lebih niche. Malah, sebuah filem dengan pendekatan estetika yang berkualiti mampu menjadi produk massa dalam pasaran arus perdana sekiranya dipakejkan dengan baik.
Situasi ini akan lebih dimungkinkan sekiranya majoriti pasaran terdiri daripada khalayak yang mempunyai tradisi dan apresiasi filem yang lebih baik, sepertimana di pasaran Eropah.
Oleh itu, pembangunan industri filem tidak harus bergerak sendiri dalam kepompong perfileman semata-mata. Pembangunan industri filem harus digerakkan bersama sebagai sebuah gerakan budaya, termasuklah usaha pembangunan khalayak penonton.
Korea Selatan membuktikannya apabila kejayaan industri filem mereka yang kita dapat lihat pada hari ini bukan sekadar soal dukungan kerajaan terhadap industri filem secara tunggal. Sejak tahun 1990-an, mereka telah memulakan sebuah pelan induk mengangkat budaya Korea Selatan – yang mana filem sebagai salah satu komponennya, menjadi sebuah budaya popular yang boleh diterima dunia.
Gerakan mempopularkan budaya Korea melalui pelbagai kompenan seperti muzik K-Pop, fesyen, filem, bahasa, dan termasuk jenama-jenama Korea seperti Samsung, Hyundai serta sebagainya dijadikan sebuah gelombang global yang tidak mengenepikan nilai tempatan. Inilah yang membolehkan sinema Korea Selatan lebih dikenali dan mampu menjadi antara nama besar perfileman kini.
Salah satu contoh yang menarik perhatian saya adalah apabila rangkaian pawagam terbesar di Korea Selatan yang juga merupakan rangkaian pawagam kelima terbesar di dunia, CJ CGV membuat pengumuman untuk memperkenalkan sebuah konsep baharu bagi rangkaian pawagamnya. Mereka menukar terma multiplex yang telah digunakan sejak sekian lama, kepada terma baharu yang dikenali sebagai cultureplex.
Ketua Pegawai Eksekutif CJ CGV, Jung Seo dalam pengumuman tersebut dalam acara CinemaCon di Las Vegas pada tahun 2018 menyatakan bahawa ia memperlihatkan iltizam syarikat untuk menjadikan rangkaian pawagamnya bukan sekadar sebagai pawagam konvensional tetapi juga pusat gaya hidup yang menjadi sebahagian dari budaya masyarakat global.
Kerana itulah, jika mahu bercakap tentang pembangunan industri filem Malaysia, saya tidak melihat ia mampu akan dicapai dengan perancangan berasaskan industri filem semata-mata, malah ia bukanlah usaha dan pelaburan jangkamasa pendek.
Sebuah usaha kolektif gerakan budaya Malaysia bersama produk seni budaya yang pelbagai, termasuklah bahasa, seni persembahan, seni visual termasuk filem harus digembleng secara bersama dan tidak terpisah-pisah.
Jadi, dengan pengasingan kementerian yang jelas mempunyai bidang tugas, fokus dan hala tuju berbeza, bagaimana ia mampu dicapai?
Usaha KKMM dan MOTAC pada tahun lalu dengan mewujudkan Majlis Pembangunan Industri Kreatif Negara (MPIKN) yang dipengerusikan secara bersama antara Menteri Komunikasi & Multimedia dan Menteri Pelancongan, Seni & Budaya dilihat sangat positif dalam menjadi platform integrasi dalam pelan pembangunan industri kreatif yang bersepadu.
Namun, buat masa ini saya tidak pasti sejauh mana gerak kerja dan pelaksanaan MPIKN ini.
Oleh yang demikian, saya sangat berharap agar usaha merapatkan jurang antara filem dengan disiplin seni budaya yang lain dapat diusahakan bagi membolehkan usaha mempromosi budaya Malaysia sebagai gelombang budaya popular dapat dijayakan, dan tidak hanya tinggal sebagai retorik semata-mata. - DagangNews.com
Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF