PEMBANGUNAN INDUSTRI FILEM PERLU PENGLIBATAN SEMUA PERINGKAT KERAJAAN
SEPULUH tahun yang lalu, apabila memperkatakan tentang industri perfileman, kita sering mendengar pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh pihak kerajaan dalam usaha pembangunan industri ini.
Namun ketika itu, secara umumnya, kebanyakan inisiatif tersebut digerakkan melalui kementerian, jabatan dan agensi di peringkat kerajaan persekutuan.
Ini sangat berbeza apabila kita melihat kepada praktis dan amalan di beberapa negara jiran dan serantau yang mana usaha ini melibatkan pihak kerajaan dari semua peringkat, daripada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri/wilayah, sehinggalah pihak berkuasa tempatan di peringkat daerah atau bandar.
Sebagai contoh, hampir majoriti pihak berkuasa bandar (city council) di Jepun mempunyai unit atau kakitangan khusus yang mengendalikan aktiviti bersifat perfileman di bandar mereka, setidak-tidaknya dalam konteks galakan penggambaran.
Dalam konteks di Malaysia, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita mula dapat melihat perkembangan positif apabila beberapa kerajaan negeri mula mengambil peranan dalam usaha ini.
Antaranya adalah kerajaan negeri Perak yang menubuhkan Perak Film Office (PFO) sebagai satu unit di bawah organisasi milik penuh mereka iaitu Digital Perak Corporation Holdings.
Meski peranannya tidak begitu menonjol akibat beberapa perubahan tampuk kepemimpinan negeri beberapa tahun kebelakangan ini, namun kewujudan PFO menjadikan ia antara `film office` pertama yang diwujudkan oleh kerajaan negeri di Malaysia bagi mempromosi dan menggalakkan kedudukan Perak sebagai destinasi penggambaran filem.
Sebuah lagi `film office` yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri di Malaysia adalah Film Johor Sdn Bhd, yang pegangannya ketika itu dimiliki 51% oleh Iskandar Regional Development Authority (IRDA) serta 49% oleh kerajaan negeri Johor.
Kewujudannya dilihat menjadi pelengkap kepada pembangunan Wilayah Iskandar yang meletakkan industri kreatif sebagai satu daripada fokus utama pembangunannya serta kewujudan Pinewood Studio (kini Iskandar Malaysia Studio) di negeri ini.
Beberapa kerajaan negeri juga memberikan sokongan dalam menarik produksi bagi menjalankan penggambaran di negeri mereka, namun bantuan lebih bersifat berasaskan kes dan permohonan tertentu – tanpa prosedur yang tetap.
Namun begitu, ia hanyalah dalam satu konteks iaitu galakan penggambaran – hanya salah satu komponen dalam rantaian ekosistem pembangunan industri yang lebih luas.
Selain daripada penglibatan kerajaan negeri dalam usaha menarik penggambaran ke negeri masing-masing yang bertujuan dalam menarik aliran tunai ke dalam negeri, sekaligus mempromosi pelancongan negeri, saya melihat bahawa penglibatan kerajaan negeri harus menjangkau melebihi dari itu.
Apabila bercakap mengenai pembangunan industri, ia adalah sebuah ekosistem yang melibatkan rantaian aktiviti yang menyuruh – dari akhiran ke akhiran (end-to-end) – serta memerlukan polisi & perancangan holistik – jangka masa panjang.
Pendekatan kerajaan negeri Sarawak dengan meletakkan secara jelas industri kreatif (termasuk industri perfileman) sebagai satu daripada fokus utama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak (MTCP) (sebelum ini Kementerian Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan Sarawak) dilihat sebagai satu pengiktirafan kerajaan negeri kepada industri ini sebagai sebuah industri yang signifikan kepada ekonomi negeri.
Melalui kementerian ini, mereka menyediakan geran khusus bagi galakan perfileman dan penggambaran di negeri ini. Selain itu, dalam konteks pembangunan kapasiti termasuk industri perfileman, sebuah lagi geran khusus disediakan tahun ini iaitu Dana Mudahcara Warisan, Kesenian & Kebudayaan Sarawak.
Selain itu, kerajaan negeri Sarawak melalui anak syarikat penuhnya Sarawak Media Group Sdn Bhd (SMG) yang merupakan operator stesen televisyen TVS juga mempunyai peruntukan kepada aktiviti penerbitan dalam kalangan penggiat dan syarikat produksi melalui sessi pitching yang diadakan.
Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) pula mendukung aktiviti berteraskan latihan dan pembangunan modal insan – yang juga dikendalikan SMG melalui Creative Heritage & Innovation Community (CHIC).
Usaha kerajaan Sarawak ini dilihat sebagai satu langkah ke depan sebagai kerajaan negeri untuk memudah cara pembangunan industri meliputi rantaian pelbagai sektor dalam ekosistem – dengan saling lengkap melengkapi – dan tidak terhad kepada sesuatu aspek seperti pembangunan modal insan mahupun galakan penggambaran semata-mata. Komitmen ini diperlihat dengan penyediaan peruntukan khas dalam bajet negeri kepada industri kreatif khususnya industri perfileman.
Pastinya kita mengharapkan kerajaan Sarawak akan lebih progresif dengan menyediakan satu dasar serta pelan tindakan yang menyeluruh tentang industri perfileman, untuk turut melihat sektor dan aktiviti lain dalam rantaian ekosistem industri ini.
Contohnya dalam konteks sektor pemameran filem (pawagam), pengedaran & pemameran filem, prosedur permit perggambaran yang bersepadu, pembangunan & penyelidikan data/statistik industri, pembangunan teknologi & inovasi dalam penggambaran dan sebagainya, serta sekaligus meningkatkan penyertaan pihak berkuasa tempatan di peringkat daerah/ bandar dalam mendukung pendirian dan polisi yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Sarawak berpotensi untuk menjadi perintis dan mampu menjadi contoh terbaik kepada kerajaan negeri lain untuk lebih aktif terlibat dalam usaha pembangunan industri perfileman di negeri masing-masing, yang pastinya bagi manfaat negeri, daerah dan bandar masing-masing.
Penglibatan aktif kerajaan di semua peringkat ini juga dilihat mampu untuk memecah situasi Lembah Kelang-sentrik yang berlaku dalam industri perfileman kini di mana kebanyakan kegiatan serta operasi perfileman terlalu berpusat di Lembah Kelang.
Untuk memastikan pembangunan industri perfileman yang lebih baik, kita harus membangunkan industri di semua wilayah secara menyeluruh dan seimbang – dengan menggalak aktiviti, kegiatan serta industri di wilayah-wilayah selain Lembah Kelang. Ini kita dapat lihat contohnya di Indonesia apabila industri perfileman mula berkembang di Jogjakarta dan Makassar selain di Jakarta.
Ini juga bagi meleraikan situasi pasaran kerja serta kegiatan industri yang semakin tepu di Lembah Kelang serta membina pasaran domestik di negeri-negeri dan bandar-bandar lain, sekaligus membuka pasaran yang lebih luas buat penggiat serta para bakal graduan dalam industri ini yang semakin bertambah jumlahnya.
Pertambahan jumlah penggiat ini harus dilihat dalam konteks positif bahawa industri ini turut berkembang, namun pasaran tempatan harus turut berkembang bagi menyediakan ruang dan peluang kepada mereka. - DagangNews.com