Signifikan pembukaan semula Balai Seni Negara
PADA 21 Jun lalu, berlangsung majlis pembukaan semula galeri utama Balai Seni Negara di Jalan Temerloh - setelah ditutup hampir dua tahun sejak Ogos 2020 bagi proses pengubahsuaian besar-besaran.
Ia adalah langkah berpatutan sesuai dengan bangunan tersebut yang telah melepasi usia lebih dua dekad dan yang memerlukan proses baik pulih serta memberikan wajah baru yang lebih segar kepada bangunan ikonik negara tersebut.
Pengubahsuaian tersebut melibatkan penggantian bumbung dan sistem penghawa dingin berpusat, yang dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah kebocoran dan serapan air pada bangunan, yang secara langsung mengancam kondisi bahan pameran serta koleksi tetap milik Balai Seni Negara yang memerlukan kesesuaian suhu dan persekitaran yang selamat.
Meskipun sedikit terlewat dari jangkaan awal, pembukaan semula galeri utama Balai Seni Negara ini pastinya selari dengan semangat pelan pemulihan negara serta sektor pemulihan industri kreatif negara, khususnya bagi penggiat seni visual, termasuklah seni halus dan seni tampak.
Sejak sekian lama, Balai Seni Negara menjadi simbol kepada perkembangan seni visual di negara ini, sejak tertubuhnya organisasi ini pada tahun 1958 iaitu setahun selepas kemerdekaan negara.
Bermula tahun 2018 pula, perpindahan ke kompleks khusus bersebelahan Jalan Tun Razak, iaitu jalan utama di bandar raya Kuala Lumpur menjadikan bangunan Balai Seni Negara ini sebagai satu daripada infrastruktur yang sinonim dan ikonik bagi kota raya ini.
Pertukaran nama serta pertukaran kementerian menaunginya yang berlaku beberapa kali tidak mengganggu gugat keberadaan fungsi dan peranan yang dimainkan oleh Balai Seni Negara – membuatkan ia bukan sekadar kekal relevan tetapi semakin membina kredibilitinya tersendiri.
Bersempena dengan pembukaan semula galeri utama ini, Balai Seni Negara menampilkan pameran utama berjudul NUSA iaitu pameran sejumlah 466 buah karya daripada koleksi tetap Balai Seni Negara untuk tatapan orang ramai.
Selain itu, sebuah lagi pameran yang turut membuka gelanggang sempena pembukaan semula ini adalah pameran Fotoseni iaitu sebuah pameran fotografi yang menghimpunkan koleksi Seni Visual Negara yang dihimpun sejak tahun 1963 sehingga 2021.
Meskipun saya tidak terlibat secara langsung dalam bidang seni halus dan seni tampak yang menjadi bidang tugas Balai Seni Negara, saya sentiasa optimis dengan keterbukaan Balai Seni Negara untuk menjadi organisasi perantara dalam membina hubungan silang-disiplin di antara kepelbagaian bentuk seni budaya, khususnya bidang yang saya ceburi iaitu perfileman.
Keterbukaan pihak Balai Seni Negara pada tahun 2019 untuk bekerjasama dengan organisasi yang saya terajui iaitu World Heritage Moving Image Centre (WHMC) bagi penganjuran sambutan World Day for Audiovisual Heritage memperlihatkan keterbukaan pihak Balai Seni Negara tersebut.
Selain itu, galeri cawangan Balai Seni Negara di Pulau Langkawi juga aktif dalam menjalankan pameran warisan audiovisual di sana.
Balai Seni Negara cawangan Langkawi ini adalah galeri luar Kuala Lumpur pertama dibuka oleh BSN setelah ia dibenarkan melakukan sedemikian melalui rombakan daripada Akta Balai Seni Lukis Negara 1959 kepada Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724).
Antara yang dijalankan Balai Seni Negara cawangan Pulau Langkawi adalah pameran berjudul MARA & COLUMBIA pada tahun 2020, yang mempamerkan rakaman perjalanan dan pengalaman pengarah filem Mansor Puteh, sepanjang pengajian di luar negara dalam bentuk fotografi dan lakaran.
Pada tahun lalu, Balai Seni Negara cawangan Pulau Langkawi sekali lagi menganjurkan pameran fotograsi berjudul ‘Langkawi Sebelum Bebas Cukai’.
Ia adalah pameran yang menampilkan koleksi fotografi pulau lagenda tersebut sebelum mendapat status pulau bebas cukai yang sekaligus memaparkan panorama yang sangat berbeza dengan pulau tersebut pada hari ini.
Malah, ia juga mempunyai ruangan pameran yang menampilkan beberapa buah filem cereka yang pernah merakam imej Pulau Langkawi dalam filem-filem terbabit.
Kesemua rakaman audiovisual tersebut merupakan sebuah khazanah berharga kepada negara.
Saya sentiasa percaya bahawa seni visual, khususnya seni halus dan seni tampak merupakan asas kepada penceritaan visual. Menjadi satu kewajaran untuk para pengkarya filem untuk sentiasa cuba mendampingi dan cuba memahami dunia seni halus dan seni tampak ini.
Meskipun saya lebih terlibat dalam kerja-kerja pengurusan seni, namun saya melihat jurang pergaulan antara karyawan di antara pelbagai disiplin seni di Malaysia agak tinggi, kebanyakan bergaul dalam kelompok disiplin seni masing-masing.
Kerana itu, Balai Seni Negara dilihat mampu membantu dengan memainkan peranan sebagai pusat sosial dan perkumpulan karyawan seni pelbagai disiplin dalam saling membina hubungan dan kefahaman, agar apresiasi seni terus subur dan bercambah di negara ini. - DagangNews.com