Ada faedahkah Malaysia hendak sertai BRICS?
Penyertaan Malaysia dalam blok ekonomi BRICS akan membolehkan negara mempelbagaikan diplomasi ekonominya dan mengukuhkan kerjasama melalui inisiatif bersama.
BRICS, akronim untuk Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, telah dilancarkan pada 2009 sebagai BRIC dan kemudiannya dinamakan semula BRICS pada 2010 apabila Afrika Selatan menyertai kumpulan itu. Ia ditubuhkan untuk memupuk kerjasama ekonomi, politik dan budaya di kalangan ahlinya.
Penyertaan Malaysia dalam m Blok Ekonomi Organisasi Antara Kerajaan, Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) tidak akan menghalang negara untuk menjalinkan kerjasama diplomatik dengan negara-negara lain.
Langkah ini juga dilihat akan mengukuhkan kedudukan negara sebagai pusat semikonduktor dunia serta peserta aktif dalam pasaran global untuk industri E&E (eletrik dan eletronik).
Selain daripada itu keanggotaan Malaysia dalam BRICS dari sudut keseimbangan ekonomi dagangan dilihat akan mewujudkan persekitaran perdagangan yang lebih seimbang dan saksama, menggalakkan infrastruktur kewangan yang adil, yang penting untuk pertumbuhan ekonomi global yang mampan serta dilihat mempelbagaikan sumber dagangan dengan pelbagai blok ekonomi.
Ini merupakan masa yang amat strategic untuk negara menggerakkan usaha ini memandangkan Malaysia sedang bersiap sedia untuk mengambil alih tampuk pengerusi ASEAN menjelang tahun depan, maka penglibatan negara dengan BRICS dilihat adalah strategic dan tepat pada masanya.
Ini sejajar dengan keahlian Malaysia di ASEAN, terutamanya dalam menangani cabaran global seperti perubahan iklim dan gangguan teknologi. Malaysia seharusnya boleh memanfaatkan mekanisme institusi BRICS untuk bekerjasama dalam bidang seperti perhutanan mampan dengan Brazil, pengurusan air dengan Afrika Selatan, teknologi grid pintar dengan China dan keselamatan siber dengan India.
Melalui perkongsian itu pengetahuan yang diperoleh melalui perkongsian itu boleh dikongsi dan dimanfaatkan untuk kebaikan serantau di ASEAN. Ini akan meningkatkan pengaruh Malaysia dalam kedua-dua blok ekonomi.
Penyertaan Malaysia dalam BRICS dan ASEAN, akan membolehkan penerapan amalan terbaik merentasi kedua-dua forum, mengukuhkan peranannya dalam ASEAN apabila negara itu menyandang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.
Peranan Malaysia bukan hanya diharapkan sebagai seserta pakatan ekonomi malah juga memainkan peranan untuk menjajarkan semula kedudukan ekonomi dengan kumpulan blok blok ekonomi yang bersaing bagi mewujudkan situasi menang menang. Pesaing satu masa dahulu tidak tentu menjadi pesaing selamanya. Ini mencerminkan hasrat aspirasi semua negara untuk ekonomi global yang lebih bersepadu dan adil.
Penglibatan Malaysia didalam BRICS juga dilihat sebagai peluang untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara ahli BRICS malah juga perlu dinilai sebagai membuka sebuah platform untuk mempamerkan ketersediaan Malaysia untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan kolektif global antara blok blok ekonomi, di mana Malaysia berperanan menjadi perantara, antara blok blok ekonomi dunia.
Untuk tujuan ini, Malaysia akan menggandakan usaha untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan bidang-bidang berkepentingan lain, termasuk dalam sektor berteknologi tinggi, seperti transformasi digital, kecerdasan buatan dan semikonduktor.
Penyertaan Malaysia juga di dalam Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia dari 22 hingga 24 Okt 2024, merupakan pendekatan proaktif dan ketersediaan negara untuk mengukuhkan kerjasama dan dialog ekonomi antarabangsa dan menjadi pintu masuk bagi blok-blok ekonomi dunia secara keseluruhannya.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa Malaysia menyertai BRICS mungkin mencabar pemusatan ASEAN kerana pengaruh Rusia dan China, tetapi pemusatan ASEAN sendiri boleh membantu mengimbangi dinamika hubungan ekonomi ini dengan berfungsi sebagai kuasa penstabil.
Dengan memastikan pendekatan ASEAN bersatu, Malaysia boleh menggunakan penyertaan BRICS untuk mengukuhkan perpaduan serantau, mengutamakan kepentingan kolektif ASEAN dan mengekalkan peranannya sebagai blok neutral yang efektif.
Walaupun banyak pakar ekonomi melihat skala semasa mereka adalah lebih sederhana, negara BRICS merupakan pemain penting dalam perdagangan global, pelaburan dan kewangan pembangunan.
Tumpuan mereka pada keterangkuman dan pembangunan saksama berbeza dengan pendekatan G7 yang lebih tradisional.
Memandangkan ekonomi negara negara BRICS ini terus berkembang, pengaruh mereka terhadap dasar ekonomi global berkemungkinan akan meningkat pada masa depan. Ini mencerminkan persediaan peralihan tumpuan kuasa ekonomi ke arah dunia yang lebih multipolar di mana ekonomi sedang pesat membangun akan memainkan peranan yang lebih aktif dan tegas.
Justeru, Malaysia yakin bahawa penglibatan negara dalam BRICS tidak menjadi halangan kepada jalinan hubungan dan kerjasama yang baik dengan mana-mana negara, termasuk negara-negara Barat. - DagangNews.com
Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI