Adab dan ilmu teras masyarakat makmur sejahtera | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 12 Jul 2024 08:00 AM

Adab dan ilmu teras masyarakat makmur sejahtera

 

 

PEREDARAN zaman bergerak seiring dengan perubahan corak kehidupan masyarakat yang semakin mencabar.

 

Bagi masyarakat di zaman digital kita berhadapan dengan isu pemikiran dan fahaman berantakan, kebejatan akhlak, kesempitan pemikiran dan pelbagai lagi.

 

Semua isu ini berlaku pada setiap zaman dan perlu ditangani secara bijaksana oleh semua pihak.

 

Sebuah masyarakat yang sejahtera akan hanya dapat dicapai melalui penghayatan terhadap adab dan ilmu yang dibangunkan dalam diri setiap individu.

 

Sebenarnya ciri-ciri terpenting yang perlu ada pada diri individu yang beradab dan berilmu itu adalah penguasaan pengetahuan dan beradab dalam tindakan, pengukuhan tingkah laku dengan penekanan akhlak dan penyuburan rohani serta pembangunan jati diri.

 

Dengan memiliki ciri-ciri itu, individu dalam masyarakat digital ini akan mampu mengharungi badai kehidupan yang melanda.

 

Ciri-ciri asas bagi melahirkan masyarakat yang makmur adalah dengan memiliki keilmuan yang tinggi, beramal dengannya serta menyampaikan ilmu itu kepada orang lain secara beradab.

 

 

infiniti

 

 

Misi melahirkan masyarakat beradab dan berilmu amat penting bagi sesebuat negara majmuk seperti Malaysia ini bertepatan dengan dasar pentadbiran kerajaan semasa.

 

Keutamaan dalam membangunkan masyarakat makmur yang berteraskan ilmu pengetahuan dapat dilihat melalui penegasan masyarakat madani yang menjadi kempen bualan kerajaan semasa.

 

Sistem pendidikan Malaysia yang digalakkan berlangsung seumur hidup dan dilaksanakan di dalam lingkungan rumah tangga, sekolah dan masyarakat sepatutnya diperkasakan untuk membangun penguasaan ilmu didalam masyarakat. Kerana itu pendidikan adalah tanggungjawab bersama antara keluarga, masyarakat dan kerajaan semasa.

 

Oleh itu pelbagai usaha gigih seharusnya dilaksanakan di dalam menyediakan kemudahan untuk masyarakat mendapatkan ilmu pengetahuan.

 

Perkara berkenaan dilakukan dengan hasrat membina modal insan yang mempunyai nilai moral yang tinggi. Sifat mengutamakan ilmu dan pendidikan perlu dibudayakan di dalam masyarakat melalui pelbagai kemudahan yang ada.

 

Dengan penguasaan ilmu berpaksikan adab  akan melahirkan individu dan masyarakat yang bertindak dengan rasional, benar dalam tindakan dan tidak melakukan perbuatan yang menyimpang dariada fakta kebenaran seterusnya dapat menyumbang kepada kebaikan seluruh warga dan negara di zaman digital ini.

 

Keadaan ini akan memudahkan kerajaan melaksanakan dasar dasar kritikal seperti peralihan sumber tenaga dari bahan bakar kerasaskan fosil ke bahan bakar yang lebih bersih.

 

Selain itu, masyarakat yang berfikir berasaskan adab dan ilmu juga adalah yang berakhlak, berperibadi mulia, mempunyai ketinggian moral dan sivik serta bertamadun.

 

 

infiniti

 

 

Golongan itu juga menghayati nilai murni, mengamalkan sifat terpuji, menjauhi sifat terkeji serta mengamalkan prinsip kesusilaan selaras dengan prinsip Rukun Negara.

 

Hasilnya lahirlah masyarakat yang mengutamakan perpaduan dan keharmonian serta jauh daripada sebarang unsur perpecahan dan persengketaan. Seseorang yang berakhlak dengan akhlak terpuji penuh dengan sifat mulia seperti lemah lembut dan rahmah terhadap sesama manusia.

 

Golongan ini juga gemar membantu, tenang dan berpuas hati dengan apa yang dimiliki, menghormati sesama insan dan tidak memiliki sifat hati yang tercela seperti sombong, meninggi diri dan seumpamanya.

 

Keadaan ini akan membangun sebuah negara yang makmur, dan perlu kita ingat makmur itu tidak semestinya dilambangkan dengan kekayaan wang ringgit.

 

Melalui keluhuran akhlak, nilai-nilai murni seperti persefahaman, ketaatan kepada pemimpin, keprihatinan serta penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dapat disemai. Masyarakat yang beradab dan berilmu perlu menggerakkan misi contoh yang baik serta kegiatan sosial dan kesukarelawanan.

 

Golongan ini saling membantu dan menasihati dalam perkara kebaikan dan kebenaran serta berusaha meringankan bebanan dan kesusahan insan lain.

 

Kegiatan keilmuan dan aktivisme dilakukan bertujuan ke arah perubahan sosial masyarakat secara menyeluruh merangkumi individu, keluarga dan masyarakat umumnya.

 

 

infiniti

 

 

Negara yang makmur adalah merupakan sebuah negara yang menaungi rakyatnya dengan kepimpinan yang berintegriti, tadbir urus yang baik, masyarakat berilmu, berakhlak dan penyayang, hubungan antara etnik dan penganut pelbagai agama yang harmoni, ekonomi yang mampan, pembangunan dan alam sekitar yang lestari, kebajikan dan keselamatan rakyat terpelihara serta bersifat menyantuni kemanusiaan, ihsan dan peradaban bermatlamatkan kesejahteraan sejagat.

 

Pembangunan adab dan ilmu di dalam kalangan masyarakat ini juga dapat membentuk sifat peduli terhadap keperluan dan kesukaran yang dialami orang lain.

 

Seharusnya rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa menunjukkan solidariti yang tinggi melalui kegiatan keilmuan yang berpaksikan adab terutama dalam mengharungi tempoh getir negara berhadapan dengan pengstrukturan semula ekonomi kini. - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews