Apakah yang dimaksudkan Kecerdasan Buatan manusiawi?
MEMANDANGKAN potensi transformatif AI telah menjadi lebih jelas kini, begitu juga risiko yang ditimbulkan oleh sistem yang tidak selamat atau tidak beretika.
Maka organisasi masyarakat sivil dan institusi akademik telah berusaha untuk mempercepatkan penggunaan kecerdasan buatan yang lebih bertanggungjawab dalam kepentingan awam global.
Kini ahli kecerdasan buatan mula bekerjasama untuk mengenal pasti dan melaksanakan alat dan amalan terbaik yang tersedia untuk menggunakan kecerdasan buatan secara beretika dan memaksimumkan faedahnya kepada semua ahli masyarakat, termasuk kumpulan yang secara sejarah kurang diwakili dalam ekosistem kecerdasan buatan.
Perkembangan ini dikatakan sebagai membangunkan kecerdasan buatan yang berasaskan manusiawi.
Kecerdasan buatan mempunyai potensi untuk memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat, tetapi hanya jika ia digunakan secara bertanggungjawab.
Mengusahakan satu strategi kecerdasan buatan manusiawi adalah perlu untuk membentuk masa depan yang positif dan berpaksikan manusia untuk menentukan arah dalam pembangunannya.
Kecerdasan buatan menawarkan peluang untuk menjadikan organisasi 40% lebih cekap menjelang 2035, menjana nilai ekonomi baharu yang dianggarkan AS$14 trilion, sambil meningkatkan secara dramatik kehidupan berbilion-bilion manusia. Walau bagaimanapun, ia hanya akan mencapai potensinya jika ia digunakan secara bertanggungjawab.
Kontroversi baru-baru ini melibatkan fungsi pengecaman wajah, membuat keputusan automatik dan penjejakan COVID-19 telah menunjukkan bahawa merealisasikan potensi kecerdasan buatan memerlukan sokongan yang kuat daripada rakyat dan kerajaan, berdasarkan kepercayaan mereka bahawa ianya sedang dibina dan digunakan secara beretika.
Banyak pihak berkepentingan terlibat dalam usaha menjanjikan untuk membangunkan rangka kerja untuk menjadikan kecerdasan buatan terjamin, telus dan inklusif.
Umumnya, semakin banyak organisasi mempercepatkan penggunaan kecerdasan buatan merentas sektor, mewujudkan peluang untuk pembangunnya untuk mengguna pakai pendekatan inovatif dalam membina dan menggunakannya secara yang bertanggungjawab.
Matlamat untuk membentuk satu ekosistem kecerdasan buatan yang berasaskan manusiawi perlu mendapat dokongan dari badan NGO, institusi akademik dan pemain industri yang komited untuk memacu projek termaju yang tertumpu pada bidang impak utama dan keperluan yang tidak dipenuhi.
Bidang yang diberi fokus pertumpuan awal termasuklah pihak berkepentingan mendidik pemimpin kerajaan dan industri tentang risiko, peluang dan amalan terbaik kecerdasan buatan.
Memupuk pembelajaran dari rakan antarabangsa antara penggubal undang-undang yang tertumpu pada kecerdasan buatan juga satu kaedah merangka strategi yang baik.
Selain daripada itu, memacu reka bentuk dan penggunaan produk yang bertanggungjawab dalam organisasi yang dipacu kecerdasan buatan juga amat penting dalam membantu mewujudkan ekosistem kecerdasan buatan yang berasas manusiawi.
Membangunkan penanda aras pensijilan untuk sistem kecerdasan buatan yang bertanggungjawab serta mengenal pasti dan mengurangkan berat sebelah dalam pembangunan sistem kecerdasan buatan juga perlu di beri tumpuan. Ini adalah untuk memastikan kedua-dua pihak, masyarakat sivil dan industri mengalami situasi menang-menang.
Meningkatkan penyertaan dalam ekosistem kecerdasan buatan dan mengembangkan manfaatnya kepada kumpulan yang kurang mendapat perkhidmatan serta membuka kunci akses kepada keadilan melalui penerapannya dalam sistem kehakiman.
Memanfaatkan kecerdasan buatan yang lebih bertanggungjawab untuk mempercepatkan matlamat pembangunan mampan meliputi kawasan bandar, luar bandar dan desa merupakan tunggak kejayaan pelaksanaan program ini.
Menyediakan rakyat untuk masa depan perkembangan kecerdasan buatan dan memperkasakan mereka untuk membantu membentuknya dari segi keterlibatan yang optima adalah tanggungjawab utama.
Namun, di sebalik faedah yang dijanjikan kecerdasan buatan, kerajaan sesebuah negara yang lambat untuk mengguna pakai teknologi tersebut akan bergelut untuk bersaing dengan inovasi terkininya.
Mereka mungkin tidak mempunyai kepakaran yang diperlukan untuk membuat keputusan pembelian teknologi terkini bagi penyelesaian yang dikuasai oleh kecerdasan buatan, atau mungkin takut mengambil risiko tindak balas orang ramai jika teknologi itu tidak digunakan secara bertanggungjawab.
Ini sering menyebabkan sesebuah kerajaan itu menangguhkan keputusan perolehan atau mengurangkan risiko yang dirasakan dengan membeli penyelesaiannya daripada pembekal besar dan terkenal, yang mungkin tidak selalu menjadi pilihan terbaik.
Malangnya, ini juga bermakna penyedia kecerdasan buatan yang beretika tidak mempunyai kelebihan daya saing.
Usaha membangunkan kecerdasan buatan berasaskan manusiawi ini memainkan peranan penting dalam membentuk tadbir urus teknologi baru untuk mekar berkembang di peringkat tempatan, nasional dan serantau.
Ia seharusnya di pacu dengan menggalakkan kerjasama awam-swasta dalam pembangunan rangka kerja dasar dan merintis pendekatan baharu kepada pengawalseliaan dan penerimaan teknologi ini untuk memastikan ia memberi manfaat kepada manusia sejagat. – DagangNews.com