Ekonomi Madani berasaskan nilai ilmu pacu RMK12 ke hadapan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 29 September 2023

Ekonomi Madani berasaskan nilai ilmu pacu RMK12 ke hadapan

 

 

Ilmu merupakan modal penting dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi dunia pada hari ini dan akan datang. Kepentingan meningkatkan dan mengaplikasikan pengetahuan dalam ekonomi kita memberi peluang kepada pertumbuhan sistem ekonomi yang berdaya saing dan inovatif.

 

Berasaskan kerangka ekonomi madani yang dilancarkan baru baru ini boleh dirumuskan bahawa beberapa tonggak penting yang amat diperlukan oleh negara untuk membangunkan ekonomi berasaskan nilai keilmuan yang dipertingkatkan.

 

Kerangka ekonomi pendidikan adalah alat untuk pembangunan ekonomi dan bukan hanya untuk mengukur pertumbuhan ekonomi. Dalam amalan pengurusan pendidikan moden, salah satu daripada lima fungsi pendidikan ialah fungsi teknikal-ekonomi baik di peringkat individu mahupun di peringkat global.

 

Fungsi teknikal-ekonomi merujuk kepada sumbangan pendidikan kepada pembangunan ekonomi. Sebagai contoh, pendidikan boleh membantu pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk hidup dan bersaing dalam ekonomi yang kompetitif.

 

Pertama, penggerak ekonomi dan institusi yang menyediakan insentif untuk penggunaan cekap pengetahuan sedia ada dan baharu serta pembangunan mampan keusahawanan. Kedua, penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran yang boleh mencipta, berkongsi dan menggunakan ilmu dengan baik.

 

Ketiga, sistem inovasi yang cekap untuk syarikat, pusat penyelidikan, universiti, perunding dan organisasi lain serta keempat, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang cekap dan memudahkan. Sumber manusia yang berpendidikan dan berkemahiran adalah kunci penting dalam membangunkan ekonomi berasaskan nilai ilmu dan intektual yang tinggi.

 

Prinsip asas ekonomi berasaskan nilai ilmu ialah inovasi

Ekonomi di negara ini sendiri seharusnya bergerak daripada ekonomi yang menggalakkan pelaburan kepada inovasi. Kerajaan, sektor swasta, dan dalam hal ini universiti, mesti bekerjasama untuk mengukuhkan sistem ekonomi yang inovatif di negara ini melalui pembanggunan ekosistem mampan inovasi.

 

Tumpuan separuh penggal RMK12 seharusnya dipacu untuk meningkatkan produktiviti melalui inovasi intensif. Untuk mencapai matlamat ini kerajaan mesti melibatkan sektor swasta, serta penyelidikan dan teknologi di pelbagai universiti.

 

Institusi pendidikan, terutamanya kolej dan sekolah vokasional dan teknikal, mesti menghidupkan semula peranan mereka sebagai peneraju penyelidikan dan inovasi, menjadi lebih proaktif dalam melayani penciptaan pengetahuan lebih daripada sekadar pemindahan pengetahuan.

 

Memastikan pembangunan kemahiran yang mampan dalam kalangan mereka yang terlibat dalam sektor ICT, termasuk kemahiran dalam penjanaan kandungan digital dan reka bentuk perisian yang merupakan kemahiran utama yang diperlukan bukan sahaja dalam sektor ICT, tetapi dalam pelbagai sektor. Selain itu, perkara lain ialah pengukuhan lagi jaringan antara individu, syarikat, universiti dan institusi penyelidikan, melalui sains.

 

Akses dan penyebaran pengetahuan dan teknologi untuk syarikat tempatan memandangkan inovasi sering tertumpu di organisasi besar dan multinasional. Akhir sekali, tetapi tidak kurang pentingnya, ialah akses mudah kepada modal untuk mencetuskan inovasi dan peluang perniagaan dalam sektor perusahaan kecil sederhana (PKS).

 

Bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi berasaskan ilmu, paradigma pelaburan juga perlu diterjemahkan bukan sahaja sebagai pelaburan ekonomi, tetapi juga pelaburan sosial di separuk penggal RMK12.

 

Para pengamal teori modal insan berpendapat bahawa pendidikan adalah pelaburan dalam sumber manusia yang memberikan faedah kewangan dan bukan kewangan. Faedah pendidikan bukan kewangan ialah keadaan kerja yang lebih baik, kepuasan kerja, kecekapan penggunaan, kepuasan dalam menikmati persaraan dan faedah kehidupan yang lebih panjang kerana pemakanan dan kesihatan yang lebih baik.

 

Faedah kewangan ialah faedah ekonomi, iaitu berupa pendapatan tambahan bagi seseorang yang telah menamatkan tahap pendidikan tertentu berbanding dengan pendapatan lulusan yang berpendidikan rendah.

 

Pelaburan sosial difahamkan sebagai dasar atau perbelanjaan awam yang secara langsung bertujuan untuk meningkatkan kapasiti individu dan menggalakkan rizab yang lebih besar bagi modal insan yang “layak” dan berpengetahuan.

 

Pelaburan sosial yang akan memacu inovasi sosial atau anjakan paradigm masyarakat negara ini harus menjadi satu keperluan kerana dalam jangka panjang inovasi merupakan sumber utama pertumbuhan produktiviti, seterusnya mendorong peningkatan kemakmuran individu dan taraf hidup.

 

Belajar daripada pengalaman Korea Selatan dan Singapura yang berjaya menjadi negara maju dalam tempoh kurang daripada 50 tahun, pelaburan sosial disediakan dengan menstruktur semula sekolah menengah vokasional untuk memberi tumpuan kepada industri berteknologi tinggi sambil menggalakkan kerjasama yang lebih erat dengan rakan industri.

 

Era ekonomi madani yang berorentasikan nilai ilmu ini mengingatkan kita kepada pepatah Latin, “scientia potentia est” . Maksudnya, ilmu adalah alat terkuat yang memberikan manusia modal untuk merekayasa apa yang tidak dihasilkan di alam semula jadi dan menggunakannya untuk mendapat manfaat daripadanya.  - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews

 

Portfolio Tags