Kemahiran keibubapaan membentuk pilihan pengundi umur 18 tahun | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 11 Nov 2022 07:00 AM

Kemahiran keibubapaan membentuk pilihan pengundi umur 18 tahun

 

 

DALAM meniti fasa kritikal PRU15 ini sokongan parti pilihan keluarga terutama ibubapa dikatakan menjadi panduan kepada pengundi 18 tahun yang layak mengundi secara automatik pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini.

 

Sebagaimana kumpulan umur pengundi yang lain setiap lapisan masyarakat  akan memilih parti dan pemimpin yang bertanding dalam pilihan raya berdasarkan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat. Begitu juga dengan golongan muda ini.

 

Adakah mereka sudah dipersediakan dengan ilmu yang cukup untuk mereka membuat pilihan yang akan mencorakkan masa depan negara.

 

Siapakah yang perlu memainkan peranan utama dalam mencorakkan kematangan ilmu para pengundi muda ini?

 

Anak-anak yang berjaya menangani masalah membuat pilihan dengan bijak adalah hasil kecemerlangan ibu bapa dalam mengaplikasikan kemahiran keibubapaan.
 

Undi18


Kemahiran keibubapaan merupakan elemen penting dalam mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang berguna dan berjaya dalam hidup dan menghadapi setiap pilihan yang dihadapkan kepada mereka.

 

Menurut Kamus Dewan, kemahiran berasal daripada perkataan mahir yang bermaksud terlatih, berkebolehan, berpengalaman, berbakat dan serba boleh manakala, keibubapaan pula ialah sifat dan perkara yang berkaitan dengan ibu bapa.

 

Justeru itu, ibu bapa lebih mengetahui cara mendidik anak dengan adanya ilmu keibubapaan ini dan akhirnya menentukan generasi yang matang pilihannya dalam PRU kali ini.

 

Parti-parti politik di Malaysia selepas ini perlu melihat institusi keibubapaan merupakan suatu proses di mana ibu bapa dan anak-anak saling berhubung antara satu sama lain.

 

Kaedah yang digunakan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak memberi keberkesanan dalam mempengaruhi perwatakan, pertumbuhan dan perkembangan anak-anak yang akan mempengaruhi kualiti kematangan pilihan.

 

Sebenarnya, anak-anak akan meniru segala tingkah laku ibu bapa sama ada baik ataupun buruk.

 

Justeru itu, ibu bapa haruslah memainkan peranan sebagai contoh dan teladan yang terbaik kepada anak-anak dalam membuat keputusan semasa menghadapi pilihan raya.

 

 

parafrasa

 

 

Sesetengah ibu bapa sering menasihati anak-anak menunjukkan contoh yang baik di sekolah sedangkan mereka sendiri yang menunjukkan tabiat buruk kepada anak-anak. Hal ini sama dengan peribahasa bagai ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

 

Ibu bapa seharusnya menjaga tingkah laku dan pertuturan terutamanya di hadapan anak-anak kerana segala perlakuan dan pertuturan mereka sedikit sebanyak mempengaruhi perwatakan dan pilihan anak-anak.

 

Kelak, anak-anak akan membesar menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab hasil didikan daripada ibu bapa yang berjaya menjadi teladan yang baik.

 

Antara kaedah yang terbaik untuk mendidik anak-anak dalam membuat pilihan yang berkualiti dalam sesuatu hal seperti pilihan raya ialah sentiasa mengikuti perkembangan anak-anak dan memainkan peranan yang sesuai mengikut tahap perkembangan setiap mereka.

 

Di samping itu, komunikasi perorangan juga merupakan salah satu kemahiran keibubapaan yang terpenting untuk mendidik anak-anak tentang tanggungjawab mereka membuat pilihan dalam proses pilihan raya.

 

Kerana komunikasi yang baik ia akan dapat membentuk hubungan antara ibu bapa dan anak menjadi lebih kukuh dan mampu memandu pilihan anak mereka secara bertanggungjawab.

 

Kini, ibu bapa sering mengabaikan perasaan anak-anak dan membuat keputusan sesuka hati agar mengikut arahan ibubapa.

 

Contohnya, ramai anak-anak kini mengikut pilihan kerjaya yang ditentukan oleh ibu bapa mereka tanpa tahu apa matlamat mereka yang ingin mereka lakukan dalam hidup.

irsyad

Ini merupakan contoh yang amat rapat dengan pemilihan parti dalam pilihanraya. Kesannya, pilihan yang mereka lakukan mungkin tidak menepati minat dan keperluan mereka tetapi lebih cenderung kepada paksaan ibubapa.

 

Pada fasa remaja anak-anak yang memasuki umur 18 tahun, ibu bapa sepatutnya memainkan peranan sebagai kaunselor dengan memberi nasihat dan menjadi pendengar yang baik.

 

Misalnya, ibu bapa mendengar perkara yang ingin dilakukan oleh anak-anak apabila besar kelak dan menerima keinginan anak-anak jika bercanggah dengan kemahuan ibu bapa.

 

Dengan berbuat demikian, anak-anak akan yakin menempuh cabaran masa hadapan kerana mereka mempunyai ibu bapa yang sentiasa menyokong mereka dalam membuat pilihan.

 

 

parafrasa

 

 

Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa menggilap kemahiran komunikasi antara anak-anak agar dapat mengeratkan hubungan antara anak-anak.

 

Jelaslah bahawa komunikasi perorangan yang baik antara kedua belah pihak dapat mendidik anak menjadi insan yang berguna dan membuat pilihan bijak termasuk dalam menentukan masa depan negara seperti pemilihan parti sokongan di dalam pilihanraya kali ini. – DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara N.Sembilan