Kepentingan KPI, Indeks Prestasi dan Pelan Tindakan Strategik yang jelas dalam menjayakan Malaysia MADANI
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan konsep Malaysia Madani yang dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi tata kelola dan pentadbiran negara secara berkesan.
Kejayaan gagasan ini sebenarnya banyak bergantung kepada penekanan kepada pemerkasaan peningkatan pemikiran masyarakat melalui peningkatan penerapan kualiti ilmu dan budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak.
Untuk memacu sebuah gagasan yang besar begini seluruh jentera kerajaan perlulah memahami aspirasi gagasan Malaysia Madani sebelum ianya boleh diterjemahkan dengan jelas kepada set strategi yang boleh diukur kejayaannya.
Ini adalah amat penting kerana ia melibatkan proses anjakan paradigma masyarakat ke tahap yang lebih tinggi yang perlu dipacu dengan kaedah ilmu yang lebih tinggi.
Penunjuk prestasi utama yang jelas sebenarnya yang membantu sesebuah organisasi itu untuk mencapai matlamat mereka melalui definisi dan pengukuran kemajuan.
Tujuan mentakrifkan penunjuk prestasi utama adalah untuk mempunyai takrifan umum bagi sesuatu metrik itu merentas berbilang kementerian atau portfolio yang terdapat di dalam kerajaan hari ini.
Metrik seperti "nilai kebersamaan" boleh ditakrifkan dengan mudah dalam beberapa cara yang berbeza, yang membawa kepada hasil yang mengelirukan atau bercanggah daripada satu analisis ke analisis seterusnya mengikut kementerian.
Penunjuk prestasi utama yang dikongsi oleh semua jentera kerajaan itu akan memastikan konsistensi merentas penganalisis dan projek dari semasa ke semasa di segenap organisasi kerajaan.
Petunjuk utama dipersetujui oleh organisasi dan merupakan petunjuk yang boleh diukur dan akan mencerminkan faktor kejayaan. Penunjuk prestasi utama yang dipilih mesti mencerminkan matlamat organisasi dan dalam keadaan ini ialah Gagasan Malaysia Madani.
Mengapakah kejayaan gagasan Malaysia Madani memerlukan petunjuk prestasi utama, indeks prestasi dan pelan tindakan strategik yang jelas? Mengapa perlu menggunakan KPI? atau Mengapa KPI itu penting?
Ia adalah amat penting kerana setiap organisasi dari berbagai kementerian di dalam kerajaan perlu bergerak bersama ke satu arah yang jelas untuk jangka masa yang panjang.
KPI yang berkesan ialah metrik penting untuk memastikan pelan tindakan strategik boleh mencapai sebarang objektif yang kerajaan yang diketuai Perdana Menteri gariskan. Kepentingan KPI yang berkesan tidak boleh diperkecilkan untuk mencapai prestasi yang lebih baik seperti yang ditekankan dalam gagasan ini.
Ini akan menjadikan konsep penting di dalam gagasan Malaysia Madani boleh diukur keberkesanannya dengan melihat berlakunya keseimbangan dan kemampanan pentadbiran.
Ini adalah amat penting kerana gagasan ini mengatakan bahawa keseimbangan ini akan memberi keadilan kepada seluruh rakyat tanpa melakukan diskriminasi, kezaliman dan penindasan.
Kesilapan yang paling biasa dilakukan oleh sesebuah organisasi di dalam pentadbiran ialah apabila mereka mula mengukur KPI mereka dengan cuba mengukur terlalu banyak elemen yang tidak mewakili sesuatu matlamat itu.
Masalah dengan pendekatan ini akan terjadi ialah apabila sesebuah organisasi atau pentadbiran itu tidak tahu KPI mana yang hendak diukur dan yang mana perlu diutamakan.
Bagaimanakah sesebuah organisasi itu boleh mengetahui sama ada mereka membuat kemajuan atau tidak ke atas sesuatu matlamat itu atau tidak sekiranya mereka sendiri tidak jelas dan tahu apa yang mereka cuba capai atau usahakan.
Dalam keadaan ini sudah pastilah organisasi yang berusaha ke matlamat itu tidak akan dapat mengetahui sama ada mereka berjaya atau gagal.
Seluruh pentadbiran yang bersama Perdana Menteri perlu melihat KPI adalah lebih daripada sekadar nombor dan metrik yang mereka laporkan setiap minggu. Ini adalah supaya ia membolehkan pentadbiran organisasi memahami prestasi dan hala tuju pentadbiran mereka.
Ini akan membolehkan seluruh pentadbiran kerajaan merentasi kementerian boleh membuat pelarasan kritikal dalam pelaksanaan mereka untuk mencapai matlamat strategik kerajaan Perdana Menteri.
Selain itu prestasi semasa kerajaan juga akan berada pada landasan yang betul, organisasi di dalam kerajaan harus memantau penunjuk prestasi utama untuk melihat sejauh mana kerajaan hampir mencapai matlamat yang ditetapkan.
Metrik ini menunjukkan kepada mereka sama ada berada di landasan yang betul untuk mencapai hasil yang Perdana Menteri inginkan.
Mengetahui dan mengukur KPI yang betul akan membantu kerajaan hari ini mencapai keputusan dengan lebih cepat dalam menjayakan gagasan Malaysia Madani.
Penunjuk Prestasi Utama ialah metrik boleh diukur yang menunjukkan prestasi organisasi berbanding objektif matlamat utamanya, pencapaian suku tahunan, objektif pentadbiran dan kemajuan ke arah pelan strategik akhirnya akan dapat membuahkan hasil dalam masa tiga ke lima tahun mendatang. - DagangNews.com
Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.