Kepimpinan unggul: Elak kontroversi dalam pentadbiran   | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 09 Aug 2024 08:00 AM

Kepimpinan Unggul: Elak Kontroversi Dalam Pentadbiran

 

 

SEJAK kebelakangan ini kegawatan bakat kepimpinan amat ketara melanda di berbagai peringkat.

 

Kepimpinan ialah kewujudan pemimpin yang berada dalam sesebuah organisasi dengan mewujudkan hubungannya dengan pengikut bagi mencapai kecemerlangan.

 

Pemimpin dari sudut pandangan masyarakat ialah mereka yang menjadi contoh teladan serta simbol kepada orang lain melalui perbuatan, percakapan dan tingkah laku.

 

Seorang pemimpin yang hebat sentiasa menjalankan tanggungjawabnya dan melindungi dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang memungkiri mandat mereka yang mewakilkannya menjadi pemimpin.

 

Seseorang pemimpin harus adil dalam mentadbir sesebuah sesebuah organisasi. Adil dalam memutuskan sesuatu perkara melangkaui kepentingan peribadi. Tidak bersikap pilih kasih terhadap sesiapa pun, sama ada insan tersebut orang yang kaya mahupun miskin, dan juga bangsawan mahupun rakyat biasa.

 

Seseorang pemimpin tidak kira diperingkat mana sekali pun harus banyak bersabar. Salah satu sifat baik seorang pemimpin yang boleh kita contohi dalam kepimpinan ialah seorang yang penyabar.

 

Pemimpin perlu menunjukkan sifat sabarnya dalam menghadapi cabaran yang tidak menentu di dalam kepimpinannya.

 

Keupayaan Yang Mengukuhkan Gaya Kepimpinan:

 

Menjadi diri sendiri

Mempunyai dan menggunakan kredibiliti sendiri. Kurang bercakap lebih banyak mendengar. Ini berbeza dengan sifat pemimpin yang extrovert biasanya banyak bercakap tetapi kurang mendengar.

 

Hari ini kita gemar meniru cara orang lain dalam pelbagai aspek kepimpinan. Untuk menjadi pemimpin yang baik kita perlu sentiasa memasakkan dalam pemikiran kita untuk mempunyai kekuatan diri sendiri. Tidak perlu tiru sesiapa, tapi jadilah diri sendiri.

 

Sentiasa bercakap dengan visi

Seorang pemimpin harus berpandanagn jauh. Bercakap dengan visi dan masa hadapan. Kebolehan meletakkan visi yang mempunyai hala tuju, tujuan dan motivasi yang sangat jelas merupakan skill yang amat penting bagi seorang pemimpin. Jika kita tiada matlamat tersebut, orang lain yang akan perlu mengisikan tanggung jawab itu.

 

Bercakap benar dan tidak hipokrit

Seorang pemimpin seharusnya selalu bercakap benar termasuk sebelum diangkat menjadi pemimpin, apa lagi setelah menjadi seorang ketua. Jangan jadi pemimpin yang tidak menunjukkan suri tauladan yang baik. “Jangan buat apa yang saya buat , buat apa yang saya suruh buat ”. Kepimpinan melalui tauladan perlu di praktikkan.

 

Utamakan pencapaian dan bersifat rendah hati

Seorang pemimpin tidak harus berhenti bercakap tentang penambah baikan dan motivasi. Untuk mencapai matlamat, jangan mudah mengalah dan bersifat rendah hati serta tidak memparktikkan kaedah menghalalkan cara. Ketua yang berasa diri hebat dan sombong akan berhenti belajar, tiada inovatif dan tidak melihat perkembangan semasa untuk berubah ke arah lebih baik.

 

Menjadi orang terakhir 

Ketua yang baik akan mengenali kekuatan dan kelemahan anak buah atau orang pimpinannya dengan rapat. Mereka ini sangat perihatin dengan kebolehan orang bawahannya.

 

Sebagai ketua yang prihatin, mereka ini akan mendahulukan pekerjanya untuk ganjaran dan kebajikan sebelum dirinya. Segala pujian dari orang atasan akan terlebih dahulu dipulangkan pada golongan yang dipimpin terlebih dahulu.

 

Ini akan menambahkan kepercayaan orang bawahan terhadap ketua tersebut. Ketua yang baik juga sanggup mengambil risiko untuk menyelamatkan pekerjanya dari ketidak adilan.

 

Cermat dan Cepat buat keputusan

Pemimpin atau ketua yang baik akan bijak dan cepat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diperoleh. Hal ini menjadi penting dalam keadaan cabaran dunia yang berasaskan teknologi ini.Cabaran dunia kepimpinan berubah dengan amat cepat setiap hari.

 

Hari ini, ada majikan yang mementingkan laporan dan analisis yang lengkap sehingga lambat bertindak. Kita tidak begitu berdaya saing jika terlalu bergantung pada banyak maklumat yang tidak diperlukan tetapi tidak bergerak. Dapatkan maklumat ringkas dan tepat untuk buat keputusan dan maju ke hadapan.

 

Jaga hubungan orang senior

Pemimpin yang baik banyak mendapatkan pengalaman pemimpin pemimpin terdahulu dan mengambil berat pandangan mereka. Untuk membina legasi, kebiasaannya ketua dan ideanya dilihat tidak logic pada masa itu.

 

Namun dengan adanya sokongan pengikut yang pertama, kedua dan seterusnya, dia akan berhasil merasionalkan agendanya. Tetap jika orang pertama ini diabaikan, seolah-olah dia memusnahkan legasinya.

 

Sentiasa beri latihan

Seorang pemimpin yang baik seharusnya sedar kelemahan pekerja bawahannya dan berusaha melengkapkan mereka dengan latihan yang mereka perlukan. Sentiasa berlapang dada menjadi mentor dan mendidik para ahli pimpinannya.

 

Sebagai ketua, ambil peluang bersama staf berkongsi maklumat dan membimbing mereka tidak mengira masa. Pemimpin yang baik bukan dinilai pada bilangan pencapaian, tetapi berapa ramai ketua yang dilahirkan.

 

Kebijaksanaan dan kesabaran pemimpin dalam mengemudi bahtera organisasi amat diperlukan dalam menyelesaikan kemelut dan permasalahan ummah. - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews