Menghadapi cabaran ekonomi kitaran pasca PRU15
MENGAMBIL peluang dari pertukaran pucuk kepimpinan negara pada PRU15 baru-baru ini, tumpuan membangunkan ekonomi kitaran ataupun “circular economy” haruslah digerakkan dengan lebih jitu lagi.
Konsep ekonomi kitaran merupakan konsep guna, pulang dan cipta semula yang mana berbeza dengan “linear economy” yang lebih bersifat sehala iaitu beli, guna dan buang.
Di peringkat Kerajaan Persekutuan sebelum ini, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara telah memasukkan elemen ekonomi kitaran bagi menggalakkan inisiatif sisa sebagai sumber pendapatan di dalam penggubalan Dasar Kebersihan Negara.
Kerangka ekosistem ekonomi kitaran ini sewajar diperkukuhkan oleh kerajaan kini kerana ia merupakan satu strategi yang dapat menyelesaikan banyak masalah sampingan yang negara hadapi seperti kos mengekalkan rantaian makanan yang tinggi, menghadapi bencana alam dan juga mengurus penggunaan hasil bumi dengan lebih baik.
Kerajaan seharusnya menilai potensi ekosistem ekonomi kitaran dalam mendorong pengganti kepada barangan import yang mempengaruhi harga barangan di pasaran tempatan seperti makanan ternakan yang dihasilkan dari luar negara.
Langkah memperkukuhkan mempertingkatkan inovasi baru melalui strategi ekosistem ekonomi kitaran ini diharapkan dapat memacu pertumbuhan yang lebih kukuh dan menjadi asas daya pembangunan nasional.
Konsep ekonomi kitaran penting diketengahkan pada zaman ini kerana konsepnya yang bukan sekadar menitikberatkan pemodenan model industri dengan prinsip tiada pembaziran “zero waste” , tetapi juga fokus terhadap perubahan faktor sosial dan sumber guna daya tenaga buruh yang terancang dan berterusan.
Pendekatan 5R
Konsep ekonomi kitaran yang bakal menerajui dalam sektor industri boleh diaplikasikan dengan menggunakan pendekatan 5 R (Reduce, Reuse, Recycle, Recovery, Repair).
Konsep ini mempunyai kaitan langsung dengan salah satu usaha yang dipromosikan kerajaan iaitu industri hijau.
Pelaksanaan industri hijau adalah meliputi keperluan untuk mengupayakan kecekapan dan keberkesanan terhadap penggunaan sumber daya secara berterusan dengan mampan.
Dengan daya usaha untuk mengukuhkan ekosistem ekonomi kitaran ia dengan sendiri nanti akan membawa peluang kepada sejumlah industri lain yang berkaitan untuk mengurangkan kos operasi dan seterusnya membantu menghasilkan barangan yang menawarkan harga yang lebih baik untuk kegunaan dalam negara atau domestik.
Penjimatan kos akan berlaku melalui ekonomi kitaran kerana model ini berfokus kepada pengurangan penggunaan bahan asas, penggunaan semula, dan kitar semula yang mengurangkan penggunaan sumber hasil utama dan pengurusan sisa buang yang lebih cekap.
Transformasi untuk mengukuhkan ekosistem ekonomi kitaran menjadi penting bagi Malaysia kerana akan membawa banyak kesan positif dan amalan pengurusan industri yang baik bagi persekitaran serta pertumbuhan pelbagai sektor pembangunan di masa hadapan menjelang revolusi industri 4.0.
Ekosistem ekonomi kitaran juga dijangka mampu meningkatkan pertumbuhan produk domestik Malaysia, dan menyokong penerapan konsep tambahan industri hijau/kitaran.
Ia juga berpotensi menghasilkan pekerjaan baru yang berimpak tinggi, di mana tiga perempatnya bersesuaian dengan guna tenaga wanita dengan peluang yang lebih baik menjelang tahun 2030.
Ekonomi kitaran dan ekonomi hijau sememangnya mempunyai tujuan yang sama, iaitu mendorong pertumbuhan ekonomi sekaligus memenuhi tujuan pembangunan sosial dan masyarakat.
Namun kedua-duanya mempunyai fokus yang berbeza. Ekonomi hijau fokus untuk mendorong pertumbuhan ekonomi yang tetap memastikan penggunaan sumber alam yang mampan serta keseimbangan ekologi agar berterusan.
Manakala, ekonomi kitaran lebih tertumpu kepada mengoptimumkan penggunaan sumber pengeluaran, seperti memulihkan dan mengguna pakai semula produk dan bahan.
Agenda ekosistem ekonomi kitaran seharusnya difahami dan sampai maklumatnya kepada masyarakat akar umbi. Ia tidak wajar sekadar berdegar-degar dalam kalangan penggubal dasar, pemain industri, ahli akademik dan aktivis.
Maka dengan itu, diplomasi awam tentang ekonomi kitaran di negara ini perlu digerakkan melalui saluran pendidikan dan penyertaan generasi muda yang bakal menerima tempiasnya kelak ke masyarakat umum Malaysia.
Ekosistem ekonomi kitaran ini akhirnya akan menjadi satu konsep yang tepat untuk menjaga dunia daripada kekurangan sumber tenaga yang akan datang sekaligus juga merupakan suatu konsep yang tepat diketengahkan bagi menghadapi ancaman perubahan cuaca ekstrem kerana kesan pencemaran global yang sedang berlaku dengan berleluasa. – DagangNews.com