Pentingnya kemahiran Perundingan Perniagaan di Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 19 April 2024

Pentingnya Kemahiran Perundingan Perniagaan di Malaysia

 

 

RUNDINGAN dalam perniagaan merupakan satu proses di mana dua atau lebih pihak bertemu untuk mencapai persetujuan atau kompromi mengenai isu atau transaksi perniagaan.

 

Rundingan boleh berlaku antara syarikat, antara syarikat dan pengguna, atau antara syarikat dan pembekal. Matlamat rundingan adalah untuk mencapai persetujuan yang bermanfaat kepada semua pihak yang terlibat.

 

Sektor perniagaan di negara kita yang berkembang pesat memerlukan bakat baru yang mahir dengan kemahiran perundingan perniagaan. Dalam rundingan perniagaan, pihak yang terlibat biasanya mempunyai matlamat atau kepentingan yang berbeza.

 

Oleh itu, proses perundingan boleh menjadi rumit dan memerlukan kemahiran komunikasi yang baik, sikap terbuka, dan kebolehan mengurus emosi.

 

Beberapa contoh situasi di mana rundingan boleh berlaku dalam perniagaan adalah, apabila syarikat ingin membeli produk atau perkhidmatan daripada pembekal pada harga yang lebih murah.

 

 

infiniti

 

 

Kemahiran perundingan juga dituntut apabila syarikat ingin menjual produk atau perkhidmatan kepada pengguna pada harga yang lebih tinggi.

 

Selain daripada itu skill perundingan juga menjadi tumpuan utama apabila syarikat ingin bekerjasama dengan syarikat lain dalam projek atau perniagaan.

 

Kemahiran ini juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya apabila syarikat ingin mencapai persetujuan dengan pihak lain mengenai hak cipta, pelesenan atau hak harta intelek yang lain.

 

Mengapakah mengasah kemahiran perundingan dalam perniagaan penting?

Mengasah kemahiran perundingan dalam perniagaan adalah sangat penting kerana perundingan adalah sebahagian yang tidak dapat dipisahkan dalam dunia perniagaan.

 

Dalam kedua-dua perniagaan kecil dan besar, rundingan adalah proses yang sering berlaku dan boleh mempengaruhi kejayaan perniagaan.

 

Rundingan yang baik boleh memberi manfaat kepada syarikat dengan mengurangkan kos, meningkatkan hasil, dan menjadi lebih cekap dalam mengurus sumber.

 

Selain itu, rundingan yang berjaya juga dapat membantu syarikat mengembangkan pasaran dan membina hubungan baik dengan pihak lain, yang boleh memberi manfaat untuk kesinambungan perniagaan pada masa hadapan.

 

 

infiniti

 

 

Mengasah kemahiran perundingan jugaadalah kritikal keranakemahiran ini boleh membantu syarikat menguruskan konflik yang mungkin berlaku dengan cara yang lebih produktif dan meminimumkan risiko kerugian.

 

Keadaan persekitaran yang tidak stabil dan perubahan tingkah laku pengguna yang mendadak adalah ancaman pada perniagaan. Rundingan yang lemah boleh mengakibatkan syarikat kehilangan peluang perniagaan, menanggung kos yang lebih tinggi dan merosakkan hubungan dengan pihak lain.

 

Untuk mencapai kejayaan dalam proses perundingan, terdapat beberapa kebolehan yang perlu dimiliki iaitu kebolehan berkomunikasi secara berkesan dan kebolehan mengurus emosi.

 

Kemahiran berunding dalam perniagaan adalah penting kerana ia dapat meningkatkan kemahiran tawar-menawar.

 

Kemahiran tawar-menawar yang baik akan membantu mencapai persetujuan yang sesuai dengan minat sesuatu perniagaan . Ini boleh berlaku dengan menetapkan harga yang sesuai untuk produk atau perkhidmatan yang dijual, atau dengan meminta diskaun atau faedah tambahan daripada pembekal.

 

Kemahiran perundingan yang baik boleh membantu sesebuah syarikat mengembangkan rangkaian perniagaan anda dengan membina hubungan baik dengan pihak lain dalam perniagaan.

 

Ini akan membuka peluang perniagaan baharu dan membantu anda meningkatkan kejayaan perniagaan anda.

 

Kemahiran perundingan yang baik juga akan membantu syarikat memahami minat dan matlamat pihak lain. Ini akan membantu mereka mencari penyelesaian menang-menang yang memuaskan hati semua pihak yang terlibat.

 

Oleh itu, adalah sangat penting bagi syarikat untuk mempunyai kakitangan yang mempunyai kemahiran perundingan yang baik. Syarikat dilihat boleh memperoleh keuntungan yang lebih besar dan menguruskan risiko dengan lebih baik.

 

 

infiniti

 

 

Faktor Yang Boleh Gagalkan Perundingan Perniagaan

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan rundingan dalam perniagaan gagal, termasuk ini termasuklah matlamat tidak realistik. Jika matlamat yang ingin dicapai oleh satu pihak terlalu tinggi atau tidak realistik, maka rundingan akan sukar dicapai.

 

Selain dari itu kemahiran komunikasi yang lemah. Ini boleh berlaku kerana salah faham, kurang kepercayaan, atau kurang persetujuan tentang apa yang ingin dicapai.

 

Emosi yang tidak terkawal juga boleh menyebabkan rundingan gagal. Ini boleh berlaku kerana satu pihak berasa sakit hati atau tidak berpuas hati dengan hasil rundingan.

 

Untuk mengelakkan rundingan gagal, adalah penting untuk memahami kepentingan dan matlamat setiap pihak, berkomunikasi secara berkesan, mengurus emosi, dan membuat kompromi yang memuaskan hati semua pihak yang terlibat.

 

Selain itu, kepercayaan dan kesediaan untuk bekerjasama juga penting bagi memastikan rundingan dapat dicapai dengan jayanya. - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews

 

 

 

Portfolio Tags