Inovasi Academy in Factory mampu tangani isu kekurangan pekerja dalam sektor pembuatan | DagangNews Skip to main content

Inovasi Academy in Factory mampu tangani isu kekurangan pekerja dalam sektor pembuatan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Feb - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Persatuan Indusri Semikonduktor Malaysia (MSIA), badan-badan kerajaan berkaitan dan kilang-kilang pembuatan terpilih kini dalam usaha merealisasikan projek perintis Academy in Factory (AiF) bagi menangani isu kekurangan pekerja di sektor pembuatan. 

 

Pada masa sama, inisiatif AiF dijangka mampu meningkatkan prestasi pencapaian pendidikan Malaysia melalui pengiktirafan pendidikan tidak formal yang berasaskan kerja.

 

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, AiF bakal menjadi program pembangunan bakat berimpak tinggi yang mampu memberi kesan yang baik terhadap tenaga kerja masa hadapan dan pencapaian pendidikan di Malaysia.

 

Katanya, AiF masih dalam peringkat permulaan, justeru, kejayaan akademik ini dilihat akan meletakkan pendidikan tidak formal yang berasaskan kerja dalam arus perdana dan pada masa sama mendapat pengiktirafan yang sewajarnya dalam pencapaian pendidikan di Malaysia.

 

“Di pihak industri, AiF mampu menangani masalah kekurangan tenaga buruh dan kebergantungan terhadap pekerja asing dengan melatih rakyat tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

MPC telah mengadakan bengkel koordinasi strategik dengan pihak berkaitan di Pulau Pinang bagi merangka pelan tindakan pelaksanaan AiF yang dijangka menerima kumpulan pertama peserta pada 15 Mac ini dan penyertaan dibuka terutama kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan TVET.

 

Sebanyak 11 kilang pembuatan telah menyatakan komitmen untuk menerima peserta AiF, manakala Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kementerian Pendidikan telah bersetuju untuk menyalurkan peserta.

 

AiF merupakan usaha sama inovatif awam-swasta yang diterajui MPC di bawah program Pembangunan Bakat dalam usaha melonjakkan pertumbuhan produktiviti industri dan pekembangan ekonomi dengan menjajarkan semula bakat ke arah sektor yang berproduktiviti tinggi. 

 

Program Pembangunan Bakat MPC dijangka menyumbang kepada sasaran pertumbuhan produktiviti dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) pada kadar 3.6% setahun.

 

Sementara itu, Presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai yang mewakili industri berkata, syarikat-syarikat semikonduktor, automotif, dan perkhidmatan pembuatan elektronik telah menyatakan komitmen untuk melaksanakan AiF di kilang masing-masing.

 

“AiF mampu menyediakan tenaga kerja yang konsisten untuk memaksimakan operasi di kilang, lantas meningkatkan produktiviti pengeluaran. Ini adalah satu situasi menang-menang baik kepada pihak kerajaan dan industri," katanya. - DagangNews.com