Bukan rupa, harta yang dinilai Allah tetapi hati kaum Muslimin | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 23 Dec 2022 07:30 AM

Bukan rupa, harta yang dinilai Allah tetapi hati kaum Muslimin

 

 

 

DALAM bahasa Arab, hati disebut ‘qalbu’ yang memiliki dua makna.

 

Pertama, inti dan kemuliaan sesuatu. Manusia dikatakan memiliki ‘qalbu’ kerana di dalam diri manusia ada sesuatu yang paling inti dan mulia.

 

Kedua, sesuatu yang bolak-balik dari satu arah ke arah yang lain. Tidak dinamakan ‘qalbu’ kecuali kerana selalu bersifat ‘taqallub’ (berbolak-balik).

 

Kualiti hati mesti diutamakan dan didahulukan berbanding kuantiti material dalam kehidupan seharian manusia.

 

Kemuliaan dan ketinggian manusia di sisi Allah SWT terletak pada nilai takwa yang tersemat di hati.


 

irsyad

 


Sementara kemuliaan dan ketinggian manusia sesama manusia pula terletak pada nilai akhlak yang turut dipupuk dari hati. Oleh itu, takwa dan akhlak adalah bersumberkan dari hati setiap individu.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat (menilai) jasad dan harta kamu, tetapi Allah melihat hati kamu.” (Riwayat al-Tabrani)

 

Seterusnya, Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa paras kamu, tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim)

 

Selain itu, firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu.” (Surah al-Hujurat: 13)

 

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis di atas, jelas bahawa kriteria dan piawaian Allah SWT dalam menilai manusia adalah pada kualiti hati setiap individu. Lantaran itu, pencapaian kejayaan dan ketenangan di dunia atau akhirat perlu mengutamakan pandangan Allah pada hati berbanding pandangan manusia pada jasad.


 

irsyad

 


Hati adalah elemen yang sangat penting dan utama dalam diri seseorang individu sehingga menjadi pemerintah kepada seluruh anggota tubuh bagi mencapai kemahuan atau memberi dorongan.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Dalam diri anak Adam ada seketul daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh jasad, ketahuilah itulah hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Selain itu, Allah SWT telah memerintahkan supaya menjaga hati kerana akan dipersoalkan di akhirat kelak.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan dipersoalkan.” (Surah al-lsrak: 36)

 

Usaha dan perjuangan untuk mendapatkan ‘qalbun salim’ (hati yang sejahtera) perlu dilaksanakan bersungguh oleh setiap individu. ‘Qalbun salim’ perlu ditunjangi tauhid yang kukuh dan dihiasi akhlak mahmudah.


 

irsyad

 


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hari yang tidak berguna bagi segala harta dan anak pinak kecuali mereka yang menghadap Allah dengan membawa hati yang sejahtera.” (Surah al-Syu’ara’: 88-89)

 

Berdasarkan ayat di atas, seseorang yang memiliki ‘qalbun salim’ akan beruntung dan bertuah kerana mendapat kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Seseorang yang beriman walaupun sejenak sebelum maut datang menjelma juga turut berpeluang menikmati syurga Allah SWT.

 

Begitu juga seseorang yang berakhlak ‘mahmudah’ (terpuji) turut akan merasakan ketenangan dalam diri ketika berada di dunia lagi. Ketenangan tersebut adalah disifatkan ‘al-jannah al-‘ajilah’ (syurga yang disegerakan) sebagai balasan awal sebelum di akhirat kelak.

 

Namun, manusia perlu berwaspada dan berhati-hati terhadap hati yang bersifat berbolak-balik umpama air yang sedang mendidih dan menggelegak.

 

Begitulah sifat hati yang mudah dan cepat boleh berada dalam keadaan yang baik dan juga sebaliknya iaitu buruk dalam keadaan yang singkat.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya hati semua manusia itu berada di antara dua jari dari sekian jari Allah yang Maha Pemurah. Allah SWT akan memalingkan hati manusia menurut kehendak-Nya. Setelah itu, Rasulullah SAW berdoa, ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu.” (Riwayat Muslim)


 

irsyad

 


Demikianlah, hati perlu sentiasa diasuh dan dididik ke arah yang baik supaya memberi manfaat kepada setiap individu sama ada di dunia dan juga akhirat dalam rangka mencapai redha Allah SWT.

 

Sentiasalah berdoa supaya diberi petunjuk dan diteguhkan hati untuk tetap kekal melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan teguh bergegang dengan ajaran agama yang suci. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor