Hargai, junjunglah nilai dan sifat Amanah
AMANAH merupakan sifat yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya oleh setiap individu Islam kerana memberi kesan dosa dan pahala serta mempengaruhi nilai kehidupan seseorang.
Individu yang memiliki sifat amanah akan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan agama. Amanah adalah antara sifat ‘mahmudah’ (terpuji), bahkan merupakan antara empat sifat yang wajib bagi Rasul.
Nabi SAW terkenal sebagai orang yang sangat amanah dalam melaksanakan segala perkara yang dipertanggungjawabkan, sehingga diberi gelaran ‘al-Amin’ oleh masyarakat Arab Quraisy Mekah ketika itu.
Sifat amanah merupakan perkara yang sangat penting dalam diri seorang individu kerana akan memandu manusia, sehingga akan menentukan sama ada akhlak seseorang baik atau buruk dalam urusan seharian.
Menurut Kamus Dewan, amanah adalah sesuatu yang dipercayakan kepada orang sebagai contoh diserahkan sesuatu untuk disimpan. Amanah adalah satu tanggungjawab yang diberikan sebagai satu prinsip untuk tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan pengaruh dan kuasa yang sedia ada.
Secara etimologi, amanah adalah perkataan dari bahasa Arab dalam bentuk ‘masdar’ dari (amina-amanatan) yang bererti dapat dipercaya, tenteram, aman, terselamat dan harmonis.
Menurut Ahmad Mustafa al-Maraghi, amanah adalah sesuatu yang harus dipelihara dan dijaga agar sampai kepada yang berhak memilikinya. Manakala, Ibn al-Araby pula menjelaskan amanah adalah segala sesuatu yang diambil dengan izin pemiliknya atau sesuatu yang diambil dengan izin pemiliknya untuk diambil manfaatnya.
Berdasarkan pengertian di atas, dapat difahami bahawa amanah adalah menyampaikan hak apa saja kepada pemiliknya, tidak mengambil sesuatu melebihi haknya dan tidak mengurangi hak orang lain.
Islam telah menganjurkan dan menggalakkan masyarakat Islam untuk berpegang teguh dengan sifat amanah melalui pelbagai ayat al-Quran dan juga hadis Nabi SAW.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada (orang) yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)
Amanah boleh difahami dan ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan. Antonim atau istilah lain yang membawa maksud bertentangan dengan amanah ialah 'khianat' atau juga disebut disebut ‘pecah amanah’.
Nabi SAW telah menjelaskan tentang sifat orang munafik melalui hadis yang bermaksud: “Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkir dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya.” (Riwayat al-Bukhari).
Lazimnya, seseorang individu yang mempunyai sifat amanah, pasti tidak akan timbul dalam hati dan fikiran untuk melakukan pengkhianatan atau penipuan terhadap perkara yang telah diamanahkan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Di antara Ahli Kitab ada orang yang jika kamu mengamanahkan kepadanya harta yang banyak, dikembalikan kepadamu; dan ada di antara mereka orang yang jika kamu mengamanahkan kepadanya satu dinar, tidak dikembalikannya kepadamu, kecuali jika kamu selalu menuntutnya.” (Surah Ali Imran: 75)
Konsep amanah ialah tanggungjawab yang boleh dipersoalkan juga boleh difahami dan dilihat melalui hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seseorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala, seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.” (Riwayat Muslim)
Demikianlah, amanah adalah tanggungjawab setiap individu, sewajarnya setiap masyarakat Islam perlu menjadikan sifat amanah tetap utuh dalam diri agar mampu menghadapi cabaran dalam kehidupan harian. - DagangNews.com
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD