Hikmah-hikmah di sebalik larangan amalan riba dalam aktiviti ekonomi   | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 26 Nov 2021 07:00 AM

Hikmah-hikmah di sebalik larangan riba dalam aktiviti ekonomi

 

 

AMALAN amalan riba dalam kegiatan ekonomi bukan merupakan suatu perkara yang baru, bahkan telah wujud sebelum kedatangan Islam.

 

Sejarah mencatatkan bahawa masyarakat Yahudi yang tinggal di Madinah telah menjadikan sistem riba dalam urusan perniagaan dan perdagangan dengan masyarakat Arab.

 

Lantaran itu, menyebabkan masyarakat Arab hidup dalam kemiskinan dan tertindas dengan bebanan hutang yang kian bertambah dan meningkat.

 

Setelah kedatangan Islam, praktis riba telah dihapuskan secara berperingkat sama seperti pengharaman ke atas arak dalam kalangan masyarakat ketika itu.

 

Proses pengharaman riba melalui empat peringkat wahyu pada masa yang berlainan:

  1. Peringkat pertama dalam surah al-Rum: ayat 39 larangan riba menggunakan pendekatan emosi.
     
  2. Peringkat kedua dalam surah al-Nisa’: ayat 160-161 memberi isyarat akan muncul larangan riba.
     
  3. Peringkat ketiga dalam surah Ali Imran: ayat 130 menyebut secara jelas larangan riba.
     
  4. Peringkat keempat dalam surah al-Baqarah ayat 275 dan 278-279 menyatakan larangan riba secara kukuh dan tegas.

 

 

 

riba

 

 


Riba bermaksud 'ziyadah' iaitu kenaikan atau berlebihan pada perkara tertentu dan menjurus kepada suatu bentuk lebihan yang tidak halal berlaku pada sesuatu jenis kontrak seperti bayaran pinjaman yang bertambah.

 

Contoh dalam konteks memberi pinjaman sebanyak RM5,000, perlu bayar semula RM5,500. Lebihan RM500 adalah riba sama ada rasa terbeban atau pun tidak. Lazimnya berlaku di bank konvensional untuk pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, membeli rumah atau kenderaan.  

 

Selain itu, riba turut berlaku dalam konteks pertukaran barang dengan barang yang diklasifikasikan sebagai item ribawi, contohnya tukar emas lama seberat  10 gram dengan emas baharu 10 gram. Sekiranya wujud pertambahan atau pengurangan, maka ia adalah riba.

 

Islam telah melarang dan mengharamkan praktis sistem riba dalam semua jenis urusan jual-beli. Pengharaman tersebut adalah untuk menjaga kemaslahatan manusia dari segi akhlaknya, kemasyarakatan dan ekonomi.

 

Pertama, riba adalah sama dengan mengambil harta dan hak manusia tanpa ada gantian. Sesiapa yang menjual satu ‘dirham’ dengan dua ‘dirham’, maka dia telah memperoleh tambahan satu dirham tanpa ada gantian barang atau sebagainya, Sedangkan harta manusia itu berkait rapat dengan keperluan dan penghormatan. Sabda Nabi SAW menjelaskan yang bermaksud: “Pengharaman harta manusia itu samalah seperti pengharaman darahnya” (Riwayat Abu Nu’aim, al-Hilyah).

 

Kedua, riba menghalang manusia daripada bekerja dan berusaha untuk mencari keuntungan. Sekiranya seseorang yang mendapatkan keuntungan melalui riba, sama ada dengan tunai mahupun dengan bertempoh, maka akan menyebabkan wujud sikap malas dan tidak kreatif untuk mencari keuntungan dalam menjalani kehidupan.

 

Keadaan ini menyebabkan seseorang tidak mahu menanggung kesusahan dan kepayahan dalam mencari keuntungan perniagaan yang memberatkan diri. Sedangkan, kemaslahatan dunia tidak akan tercapai dan teratur kecuali dengan aktiviti perniagaan, mengadakan kerja-kerja dalam perindustrian dan pembangunan.

 

Ketiga, riba menghalang perbuatan bantuan dan kebajikan terhadap manusia dalam bentuk pinjaman. Sekiranya riba dibenarkan, maka individu yang sedang dalam keperluan mendesak terpaksa mengambil pinjaman satu ‘dirham’ dengan pulangan sebanyak dua ‘dirham’ atau sebagainya. Perlakuan seumpama ini akan menyebabkan terputusnya semangat saling membantu dan membuat kebajikan sesama manusia.

 

Keempat, lazimnya peminjam yang miskin akan tertindas dan terbeban dengan hutang. Sekiranya riba dibenarkan di sisi syarak, maka akan mewujudkan suasana golongan miskin akan ditindas dan diperas oleh golongan kaya. Situasi ini akan menimbulkan perasaan dengki dan permusuhan dalam kalangan masyarakat.

 

 

duit

 


 

Demikianlah, antara beberapa hikmah dan justifikasi larangan praktis riba kerana boleh  merosakkan dan menghancurkan kehidupan bermasyarakat.

 

Sejarah telah membuktikan bahawa bahaya riba dan golongan pengamal sistem riba akan merosakkan dan menghancurkan kestabilan politik, pemerintahan dan keamanan negara.   - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD