Insan jujur kelak dibangkitkan di akhirat bersama Nabi
SEJAK kecil pasti setiap individu telah dididik oleh ibu bapa dan guru untuk selalu bersikap jujur dan tidak berbohong. Jujur dalam bahasa Arab disebut dengan istilah ‘al-sidqu’ atau ‘al-siddiq’ yang membawa erti benar.
Kejujuran boleh diertikan keselarian antara ucapan dan perbuatan atau antara informasi dan kenyataan.
Kejujuran juga membawa erti bebas dari kecurangan, mengikuti aturan yang berlaku dan kelurusan hati.
Kejujuran merupakan asas utama bagi manusia untuk menegakkan kebenaran dalam kehidupan dan segala sesuatu yang benar di atas muka bumi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.” (Surah al-Ahzab: 70)
Allah SWT tidak hanya memerintahkan untuk bersikap jujur sahaja, bahkan perlu berusaha untuk bersama-sama dengan orang yang jujur.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang yang sidiqin.” (Surah al-Taubah: 119)
Lawan sifat jujur adalah khianat atau berbohong yang dibenci oleh Allah SWT dan termasuk dalam ciri-ciri orang yang munafik.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, apabila berbicara selalu bohong, jika berjanji selalu tidak menepati dan jika dipercayai selalu khianat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Terdapat pelbagai hikmah dan manfaat bersikap jujur yang bakal diperoleh setiap individu yang mengamalkan dan melazimi dalam kehidupan harian:
1. Memiliki kemuliaan dan darjat yang tinggi di sisi Allah SWT
Ini adalah anugerah dan keistimewaan yang Allah SWT berikan kepada golongan yang bersikap jujur.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang siddiqin (benar), lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab: 35)
2. Menjamin keselamatan dari azab di akhirat kelak
Masyarakat Islam perlu sentiasa bersikap jujur untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya kejujuran menunjukkan kepada kebaikan, sesungguhnya kebaikan menunjukkan kepada syurga, sesungguhnya seorang lelaki benar-benar telah jujur sehingga dicatat di sisi Allah sebagai orang jujur. Sesungguhnya kebohongan itu menunjukkan kepada kezaliman. Sesungguhnya kezaliman itu menunjukkan kepada neraka, sesungguhnya seorang lelaki telah berbuat dusta sehingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
3. Kejujuran akan membawa kepada ketenangan kerana sesuai dengan fitrah manusia
Sebaliknya, kebohongan akan mengakibatkan kebimbangan dan kegelisahan kerana bertentangan dengan fitrah.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tinggalkanlah perkara yang membimbangkan kalian kepada sesuatu yang tidak membimbangkan, sesungguhnya kejujuran adalah ketenangan, dan kebohongan adalah kebimbangan.” (Riwayat al-Tirmizi)
4. Peluang untuk seseorang dibangkitkan kelak di hari akhirat bersama golongan para Nabi, orang syahid, dan orang soleh
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahkan nikmat oleh Allah, iaitu para Nabi, orang yang jujur, orang yang mati syahid, dan orang soleh. Mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Nisa’: 69)
Demikianlah kesan dari sikap jujur yang diamalkan dalam kehidupan seharian untuk mendapat dan memperolehi kebaikan di dunia dan juga di akhirat.
Sungguh, kejujuran itu adalah sangat mahal harganya dan tinggi nilainya.
Usaha untuk mendidik dan melatih sikap jujur perlu diterapkan sejak kecil lagi supaya terbiasa dan melazimi sikap ini dalam setiap ucapan dan tindakan seharian.
Ibubapa dan para guru mempunyai peranan dan fungsi tersendiri dalam merealisasikan penerapan sikap jujur dalam kalangan masyarakat di Malaysia. - DagangNews.com
DR. AZRI BIN BHARI adalah Ahli Jawatankuasa Wakaf dan Zakat Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk)