Keazaman Beramal Soleh Jemaah Haji
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar menyatakan kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia berjaya melaksanakan ibadat haji dengan lancar.
Kecuali 14 jemaah haji yang meninggal dunia, manakala dua jemaah haji tidak dapat berwuquf kerana memerlukan rawatan di Hospital Arab Saudi.
Para jemaah haji dari Malaysia akan mula berangkat pulang ke Tanah Air bermula pada 24 Jun 2024 dan penerbangan akhir dijangka berlepas pada 20 Julai 2024.
Seharusnya para jemaah haji menanam keazaman dan istiqamah untuk terus melaksanakan amalan soleh dan ibadah setelah kembali dari Tanah Suci.
1. Berniat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dalam melaksanakan amalan
Pelaksanaan ibadah haji perlu dimulakan dengan niat yang jelas dan tertib mengikut susunan ibadah seperti niat, tawaf, saie, wukuf di Arafah dan sebagainya.
Bermakna seseorang yang pulang daripada Mekah akan berterusan melaksanakan amalan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT dan bukan sebab lain seperti riyak, sum’ah, ‘ujub dan sebagainya.
2. Sentiasa bertaubat, mengingati kematian dan perbanyakkan amalan soleh
Pakaian putih melambangkan kesucian dan fitrah melalui pakaian jemaah haji yang sama warna ketika wukuf di Arafah.
Falsafah wukuf di Arafah memberi gambaran Padang Mahsyar di Akhirat kelak. Sewajarnya jemaah yang pulang terkesan mengingati hari akhirat yang semua manusia akan berkumpul serta memberi fokus yang melebihi kehidupan sementara di dunia ini.
Ketika berwukuf, jemaah haji juga dianjurkan supaya banyak berdoa, solat sunat dan istighfar sehingga terkesan terus istiqamah atau konsisten melaksanakan ibadah seperti yang telah dilakukan sepanjang tempoh wukuf tersebut dari gelincir hingga terbenam matahari.
Padang Arafah juga adalah tapak bersejarah dalam kehidupan manusia kerana di Jabal Rahmah yang terletak di kawasan itu, Nabi Adam dan isterinya telah bertemu kembali selepas diturunkan dari syurga. Nabi SAW turut menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam di kawasan tersebut juga.
3. Membenci iblis dan syaitan melalui simbolik melontar ‘jamrah’
Ketika Nabi Ibrahim diberi wahyu menyembelih puteranya Nabi Ismail berhampiran lereng gunung di Mina, iblis telah muncul dengan menyamar sebagai manusia untuk menggoda Nabi Ibrahim supaya membatalkan niat tersebut.
Menerusi peristiwa inilah umat Islam diwajibkan melontar Jamrah menggunakan kerikil kecil, sebagai simbol mengusir iblis dan syaitan dari dalam diri manusia. Oleh itu, jemaah yang pulang akan berusaha untuk menjauhi perlakuan musuh utama orang beriman dan para Nabi.
4. Melaksanakan ibadah korban yang membawa pengertian pengorbanan diri dan harta benda
Seseorang yang pulang dari haji tidak akan kedekut atau bakhil dengan harta yang dimiliki, sebaliknya tetap meneruskan kesinambungan amalan sedekah dan infaq di jalan Allah SWT walupun jumlah yang sedkit.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Surah al-Kauthar: 2)
5. Berusaha menunjukkan akhlak yang lebih baik
Ini termasuk menjaga masa dan tidak melakukan perkara lagha atau sia-sia.
Ketika jemaah di Tanah Suci tidak membuang masa, sebaliknya ke Masjidil Haram lebih awal untuk menjaga waktu solat.
Begitu juga, sentiasa memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, solat tahajjud, solat jemaah dan sunat serta mengimarahkan masjid.
6. Mentaati perintah Allah SWT
Nabi SAW bertahalul dengan menggunting atau mencukur rambut sebagai tanda tamatnya amalan haji.
Simbolik ‘tahallul’ adalah manusia harus patuh dalam melakukan perkara yang dibolehkan syariat dan meninggalkan perkara yang dilarang Allah dan Rasul-Nya.
Semoga Allah SWT memberikan ganjaran berlipat ganda dan mengurniakan haji mabrur kepada seluruh para jemaah haji yang berpeluang menjejakkan kaki di Tanah Haram pada tahun ini. - DagangNews.com
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD