Keistimewaan Hijrah dalam al-Quran | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 05 Jul 2024 07:00 AM

 

Keistimewaan Hijrah dalam al-Quran

 

 

 

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi masyarakat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi SAW dari kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

 

Perkataan ‘hijrah’ berasal dari bahasa Arab yang bermaksud berpindah tempat atau keadaan atau sifat.

 

Makna lain adalah memutuskan hubungan antara dirinya dengan sesuatu atau juga sebagai keadaan yang memaksa orang berpindah atau meninggalkan pekerjaan yang tidak baik atau merugikan.

 

Manakala menurut istilah pula bermaksud perpindahan Nabi SAW dan para Sahabat dari Mekah ke Madinah dengan tujuan untuk menyelamatkan diri dari ancaman orang kafir dan musyrik menuju ke kota yang aman dan penuh keimanan.

 

 

mekah
Gambar Kaabah di Masjidil Haram Mekah pada 1909

 

 

Terdapat pelbagai keistimewaan melakukan hijrah dalam kehidupan seperti yang telah dijelaskan dan dijanjikan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang boleh dijadikan motivasi dan semangat.

 

Pertama, jaminan rezeki, tempat yang luas dan pahala dari Allah SWT. Sesuatu yang lebih baik sama ada di dunia mahu pun di akhirat akan diperolehi oleh golongan yang berhijrah tanpa perlu risau dan bimbang.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Nisa: 100)

 

Ibn Kathir dalam kitabnya ‘Tafsir al-Quran al-‘Azim’ mentafsirkan bahawa ini merupakan galakan dan saranan supaya berhijrah disamping menjarakkan dari musuh Allah dalam kalangan musyrikin dan orang yang beriman di mana sahaja berada sudah pasti memperolehi tempat perlindungan.

 

 

madinah
Kota Madinah pada 1907

 

 

Kedua, penghapusan dosa dan dimasukkan ke dalam syurga. Pengorbanan yang dilakukan kerana berhijrah meninggalkan golongan kafir untuk bersama golongan beriman demi kebaikan. 

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).” (Surah Ali ‘Imran: 195)

 

Ibn Jarir al-Tabari dalam kitabnya ‘Tafsir al-Tabari’ mentafsirkan bahawa ayat di atas menyatakan golongan yang berhijrah dari kaumnya dalam kalangan oang kafir semata-mata kerana Allah menuju kepada saudaranya dalam kalangan orang beriman dan dikeluarkan daripada kampung halaman maka Allah janjikan balasan disisi-Nya.

 

Selain itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.” (Surah al-Nahl: 41)

 

Ibn Jarir mentafsirkan ayat di atas bahawa golongan yang berpisah dengan kaumnya dan meninggalkan tanah watan kerana permusuhan semata-mata kerana Allah nescaya akan ditempatkan Allah di dunia yang mereka reda dengannya.

 

 

irsyad
Masjidil Nabawi di Madinah

 

 

Ketiga, ganjaran syurga sekiranya meninggal dunia dalam keadaan hijrah. Ganjaran dan rezeki yang besar dan berlipat kali ganda dijanjikan kepada golongan yang berhijrah sehingga terkorban nyawa.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, benar-benar Allah akan memberikan kepada mereka rezeki yang baik (syurga). Dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah al-Hajj: 58)

 

Ibn Jarir mentafsirkan ayat di atas bahawa golongan yang berhijrah meninggalkan tanah watan dan keluarga semata-mata mencari keredhaan Allah, mentaati-Nya dan menentang musuh-Nya. Kemudian mati terbunuh nescaya Allah rezekikan mereka pada hari kiamat dengan syurga dan rezeki yang baik atau pahala yang banyak.

 

Keempat, dikurniakan darjat atau kedudukan yang lebih besar dan tinggi di sisi Allah SWT. Golongan yang berhijrah dijanjikan oleh Allah SWT darjat yang lebih tinggi berbanding golongan yang memberi minum orang mengerjakan haji.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar.” (Surah al-Taubah: 20-22)

 

Ibn Jarir dalam kitabnya ‘Tafsir al-Tabari’ mentafsirkan bahawa orang yang beriman membenarkan dengan tauhidnya. Berhijrah dan berjihad menentang orang musyrikin pada agama Allah dengan harta benda dan jiwa mereka. Itulah sebesar-besar darjat dan setinggi-tinggi kedudukan berbanding dengan hanya pemberi minum bakal haji, pemakmur Masjid al-Haram dari kalangan musyrikin.

 

 

mekah

 

 

Demikianlah, terdapat pelbagai hikmah dan kelebihan hijrah yang tiada tandingan dan bandingan. Pengorbanan merupakan perkara asas dalam hijrah yang telah dibuktikan oleh Nabi SAW dan para Sahabat. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews