Keperluan bertaubat bagi setiap individu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 19 Jul 2024 07:00 AM

 

Keperluan Bertaubat Bagi Setiap Individu

 

 

MENURUT Kamus Dewan, taubat ialah sesal akan dosa (perbuatan jahat dan lain-lain) dan berazam tidak akan berbuat dosa (jahat) lagi, perasaan tidak senang (rasa kesal) kerana telah melakukan kesalahan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi.

 

Sementara, menurut Ibn Manzur di dalam ‘Lisan al-Arab’ pula menjelaskan taubat ialah kembali kepada Allah daripada dosa, kembali kepada Allah sahaja atau kembali mentaati selepas melakukan dosa, atau memberi maksud kembali daripada dosa.

 

Hukum bertaubat adalah wajib dilakukan oleh setiap individu menurut pandangan Islam, tiada yang boleh mengambil alih tugas itu walau siapapun mereka. Kesalahan terhadap Allah tidak dapat diselesaikan melainkan orang yang melakukan kesalahan memohon ampun kepada-Nya.

 

 

irsyad

 

 

Firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.” (Surah Toha: 82)

 

Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: “dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur: 31)

 

Ibn Kathir menjelaskan ayat tersebut di dalam ‘Tafsir al-Quran al-‘Azim’ bahawa lakukanlah segala yang telah diperintahkan kepadamu daripada sifat-sifat yang indah dan akhlak-akhlak yang mulia. Tinggalkanlah kebiasaan kaum jahiliyyah yang memiliki akhlak dan sifat yang tercela, kerana kejayaan hanya dapat dicapai dengan mengerjakan segala yang telah diperintahkan Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya.

 

Setiap individu yang terpesong daripada jalan kebenaran perlulah bersegera kembali kepada Allah SWT tanpa bertangguh kerana peluang yang ada hari ini belum tentu ada keesokan harinya.

 

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Tahrim: 8)

 

Terdapat tiga syarat yang menyebabkan taubat diterima iaitu meninggalkan maksiat, menyesali perbuatan maksiat dilakukan dan berazam dengan bersungguh-sungguh bahawa tidak akan mengulangi perbuatan itu selama-lamanya.

 

Sekiranya maksiat berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ditambah satu syarat lagi menjadi empat, iaitu hendaklah meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya.

 

Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya, maka harus mengembalikan semula. Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dibersihkan namanya atau meminta maaf kepadanya.

 

 

irsyad

 

 

Keperluan bertaubat bukan sahaja untuk golongan tertentu, bahkan individu yang taat kepada Allah SWT juga perlu bertaubat seperti orang yang melakukan maksiat berdasarkan beberapa faktor.

 

Pertama, seseorang itu perlu bertaubat daripada kesilapan yang mungkin berlaku dalam perkara ibadah, jarang sekali orang melakukan ibadah tanpa cacat cela seperti membaca al-Quran atau bersolat, kemungkinan wujud kelalaian di dalam hati.

 

Pahala ibadah akan terjejas dan akan ditolak dengan kesilapan yang telah dilakukan. Oleh itu, Nabi SAW menganjurkan beristighfar sebanyak tiga kali selepas selesai menunaikan solat untuk memohon keampunan bagi kesalahan yang dilakukan ketika beribadah.

 

Kedua, ibadah yang dituntut kepada setiap individu adalah pelbagai, segelintir hanya menumpukan ibadah tertentu dan meninggalkan kewajipan lain. Misalnya, seorang hartawan yang menumpukan ibadah solat, tetapi meninggalkan keperluan bersedekah wajib bertaubat daripada kelakuan tersebut.

 

Begitu juga seorang yang dikatakan warak sentiasa lidahnya berzikir tetapi mendiamkan diri walaupun berlaku maksiat dihadapannya, maka menjadi satu keperluan memohon ampun kepada Allah dan mengubah sikap negatifnya.

 

Ketiga, mengawal ibadah selepas menyempurnakannya daripada kecacatan dan kekurangan yang mungkin boleh berlaku walaupun sedikit.

 

Misalnya, individu yang memberi sesuatu pemberian kemudian mengungkit dan meminta pujian manusia terhadapnya pasti pahala amalan akan terjejas. Sewajarnya individu seperti ini perlu bertaubat kepada Allah SWT supaya ibadah kembali diterima.

 

Demikianlah, bertaubat atau kembali kepada Allah SWT adalah supaya manusia memperbaiki dirinya, menyusun balik cara hidup dan menyambung kembali perhubungan dengan Allah dalam bentuk yang lebih baik. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews