Konsep, kepentingan dan sejarah pemimpin dalam Islam
Oleh DR. AZRI BIN BHARI
SEMPENA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah wajar melihat konsep, kepentingan dan sejarah pemimpin dalam Islam sebagai pencerahan dan pertimbangan kepada rakyat memilih pemimpin yang terbaik.
Khilafah Islamiyah telah bermula sejak dari kewafatan Nabi SAW, berawal dengan zaman Khulafa’ al-Rasyidin, diikuti dengan pemerintahan Bani Umayyah, Abbasiyah dan seterusnya zaman kerajaan Ayyubiyah di Mesir, pemerintahan Islam di Sepanyol, Dinasti Saljuk Rum dan seterusnya Mamalik di Mesir hingga berakhir dengan zaman Khilafah Uthmaniyah di Turkiye.
Khilafah Uthmaniyah Turkiye merupakan satu pemerintahan yang merangkumi bahagian dunia yang paling besar iaitu hampir dua pertiga dunia dan paling panjang dalam sejarah Islam yang telah bermula pada tahun 1299 dan berakhir pada tahun 1924 selama 625 tahun.
Semenjak kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada sekitar tahun 1924, umat Islam dilihat lemah dan menandakan berakhirnya kekuasaan politik umat Islam selama 1,342 tahun semenjak zaman Nabi SAW berhijrah meninggalkan Mekah untuk mendirikan negara Islam yang pertama di Madinah pada tahun 622 Masehi.
Seterusnya, musuh-musuh Islam mengambil kesempatan untuk memecah-belahkan umat Islam, membahagikan negara Islam kepada beberapa buah negara kecil, meletakkan negara-negara Islam di bawah naungan pelbagai negara seperti United Kingdom, Perancis, Jerman, Belanda, Sepanyol, Portugis dan sebagainya.
Kepimpinan
Kamus Dewan menyatakan secara ringkas bahawa kepimpinan adalah keupayaan memimpin melalui teladan.
Secara umumnya kepimpinan ditakrifkan sebagai satu seni atau pendekatan bagi mempengaruhi orang lain di dalam kumpulan atau organisasi agar mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang diarahkan secara sukarela bagi mencapai matlamat kumpulan atau organisasi.
Menurut al Mawardi dalam bukunya ‘al-Ahkam al-Sultaniyah wa al-Wilayat al-Dinniyah’ menjelaskan bahawa kepimpinan (al-Imamah) adalah tanggungjawab menggantikan tugas kenabian bagi menjaga agama dan mengurus kehidupan dunia.
Sementara, Ibn Khaldun dalam bukunya ‘al-Muqaddimah’ pula menjelaskan bahawa khilafah (kepimpinan) ialah membawa seluruh manusia berada di atas landasan syarak bagi kepentingan akhirat dan urusan keduniaan yang menguntungkan akhirat.
Ini kerana urusan dunia bagi Allah SWT semuanya diukur penerimaannya menurut neraca akhirat.
Terdapat pelbagai ayat al-Quran dan hadis yang memberi petunjuk kepentingan melantik pemimpin menurut Islam untuk membawa ke arah kebaikan di dunia dan juga akhirat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Daud! Sesungguhnya kami menjadikan kamu (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsumu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surah Sad: 26)
Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi WALI (pemimpin, teman setia, pelindung) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah, kecuali karena (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa)-Nya, dan hanya kepada Allah kamu kembali.” (Surah Ali Imran: 28)
Selain itu, firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.” (Surah al-Sajdah: 24)
Terdapat juga hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Jika ada tiga orang pergi keluar, hendaknya mereka melantik salah seorang di antara mereka menjadi pemimpinnya.” (Riwayat Abu Daud).
Perlu diinsafi bahawa kesan negatif ketiadaan kepimpinan Islam tidak hanya dirasai oleh umat Islam tetapi juga umat bukan Islam bahkan oleh seluruh umat di dunia. Kepimpinan yang tidak berlandaskan kepada syariat boleh membawa kerosakan dan bencana yang besar kepada kehidupan manusia.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)
Demikianlah, kepentingan melantik pemimpin menurut Islam sebagai panduan dan pedoman yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dan Nabi SAW dalam rangka mencapai kebaikan dan menolak keburukan. - DagangNews.com
DR. AZRI BIN BHARI adalah Pakar Rujuk Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.