Kualiti ibadah dan amalan adalah bergantung kepada keikhlasan
ISLAM telah menjadikan ikhlas sebagai syarat sesuatu amalan ibadah diterima dan dinilai oleh Allah SWT. Tanpa keikhlasan, sesuatu amalan yang dilihat besar nilainya di mata manusia belum tentu mempunyai nilai di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu, maka sembahlah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, sekalipun orang kafir tidak menyukai amalan kamu itu” (Surah Ghafir: 14).
Menurut Ibnu Faris dalam ‘Mu’jam Maqayis al-Lughah’ menjelaskan makna ikhlas ialah mengosongkan sesuatu dan membersihkannya. Sementara Hamka pula menjelaskan ikhlas adalah bersih dan tiada bercampur sesuatu pun.
Seterusnya, Ali al-Jurjani dalam kitab ‘al-Ta’rifat’ menjelaskan ikhlas adalah tidak mencari orang yang menyaksikan amalmu selain Allah. Ikhlas juga diertikan sebagai membersihkan amal dari pelbagai kotoran.
Imam al-Ghazali menjelaskan dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din; “Setiap manusia akan binasa kecuali orang yang berilmu, dan orang yang berilmu akan binasa kecuali yang beramal dengan ilmunya, dan orang yang beramal juga binasa kecuali yang ikhlas dalam amalannya”.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim: no.2564).
Menurut Syaikh Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani seorang tokoh ulama Nusantara dalam bukunya ‘Nasaih al-‘Ibad’ telah mengkategorikan ikhlas kepada tiga tahap.
Pertama, tingkatan tertinggi. Tahap ini ialah ketika seseorang mampu membersihkan perbuatan atau amalan dari perhatian dan pengetahuan orang lain.
Tahap ini menjadikan seseorang beramal seakan-akan tiada yang diinginkan dari ibadah selain menjalankan perintah Allah SWT dan melakukan hak sebagai hamba. Amalan yang dilakukan bukan bertujuan mencari perhatian manusia samada kecintaan, pujian, harta dan sebagainya.
Seseorang yang beramal dengan keikhlasan tingkat ini sama sekali tidak memikirkan ganjaran dan balasan di atas amalannya, begitu juga samada masuk ke dalam syurga atau neraka. Sebaliknya hanya mengharapkan keredhaan dari Allah SWT semat-mata.
Kedua, tingkatan pertengahan. Tahap ini ialah seseorang yang melakukan amalan dan ibadah adalah dengan mengharapkan Allah SWT memberi ganjaran atau menganugerahkan balasan baik di akhirat.
Pada tahap ini, seseorang beribadah dan beramal dengan harapan di hari akhirat kelak diselamatkan dari pelbagai keadaan yang mengerikan, terlindung dari panas yang membakar, dipermudahkan urusan hisab sehinggalah tidak dimasukkan ke dalam api neraka.
Namun, sebaliknya Allah SWT berkenan memasukkan ke dalam syurga sehingga dapat menikmati pelbagai nikmat tanpa tandingan.
Beribadah dengan niat dan motivasi seperti ini adalah dibenarkan dan dibolehkan kerana terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang memotivasikan masyarakat Islam mendapatkan pahala yang besar dan ganjaran istimewa di akhirat kelak.
Ketiga, tingkatan terendah. Tahap ini ialah seseorang yang melakukan ibadah dan amalan supaya Allah SWT memberi ganjaran dan bahagian di dunia.
Contohnya ialah seseorang yang melakukan solat sunat dhuha dengan semangat dan motivasi bahawa akan diluaskan rezeki, rajin melakukan solat sunat di malam hari dengan harapan akan mendapatkan kemuliaan di dunia, banyak membaca istighfar supaya dikurniakan anak dan sebagainya.
Tahap ini masih lagi dianggap sebagai ikhlas, ini adalah kerana Islam itu sendiri menawarkan pelbagai ganjaran ketika memotivasikan masyarakat Islam untuk melakukan sesuatu amalan.
Demikianlah pelaksanaan ibadah dan amalan dengan keikhlasan adalah suatu yang sukar dan sulit dalam kehidupan.
Syaitan selalu bertindak dan memainkan peranan untuk menimbulkan perasaan riak supaya dilihat dan dipamerkan kepada orang lain.
Namun, pada masa yang sama syaitan juga licik dengan mengelirukan seseorang supaya menangguhkan beramal dan beribadah melalui bisikkan terhadap ketakutan riyak yang muncul ketika beramal. - DagangNews.com
DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD