Malu - Perhiasan diri yang perlu dimiliki setiap individu
MALU adalah perhiasan diri yang perlu dimiliki oleh setiap individu dalam menjalani urusan kehidupan seharian samada malu terhadap diri sendiri, sesama manusia dan Allah SWT.
Sifat malu akan mendorong seseorang individu untuk sentiasa bersikap dan berperilaku baik dalam kehidupan.
Pada masa yang sama juga dapat mencegah dan menjauhkan seseorang daripada melakukan perbuatan dosa, maksiat dan tercela.
Selain itu, sifat malu akan membuatkan seseorang individu untuk lebih berwaspada dan berhati-hati dalam setiap perkara sama ada dari segi perkataan mahupun perbuatan.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah sifat buruk berada dalam sesuatu (pada seseorang) melainkan akan memburukkannya, dan tidaklah sifat malu ada dalam sesuatu (pada seseorang) kecuali akan menghiasinya.”
Sifat malu terbahagi kepada dua jenis iaitu malu yang tercela.
Contohnya adalah malu bukan pada tempatnya seperti malu untuk bertanya mengenai sesuatu ilmu yang tidak diketahui.
Seterusnya, malu yang terpuji iaitu meletakkan malu pada tempatnya seperti malu kepada Allah SWT kerana
- melakukan dosa dan sebagainya,
- malu kepada manusia kerana melakukan fitnah,
- menzalimi dan sebagainya serta terakhirnya
- malu kepada diri sendiri kerana menilai dan membandingkan keburukan orang lain sedangkan diri sendiri juga banyak melakukan kesalahan.
Saranan dan anjuran menghiasi diri dengan sifat malu telah banyak dijelaskan dalam al-Quran dan hadis sebagai panduan dalam kehidupan manusia.
Penegasan bahawa Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Melihat
Setiap kali keimanan dan keyakinan meningkat dalam memahami ayat tentang kekuasaan Allah SWT akan bertambah sifat malu individu.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidakkah dia mengetahui bahwa sesungguhnya Allah melihat segala perbuatannya?” (Surah al-‘Alaq: 14)
Selain itu, firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah al-Nisa’: 1)
Wajib seseorang hamba menghayati ayat-ayat tersebut di dalam hati supaya timbul, tumbuh dan mendidik sifat malu dalam diri.
Malu mendatangkan kebaikan
Sifat malu merupakan faktor pencetus perubahan dalam diri dan mampu menjadi penghalang seseorang dari perkara buruk dan negatif.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Rasa malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan.” (Riwayat al-Bukhari)
Malu sebahagian dari iman
Malu dan iman mempunyai hubungan yang sangat rapat sehingga mempunyai keselarian dari sudut turun dan naik secara bersama.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman.” (Riwayat al-Bukhari)
Ketiadaan sifat malu menyebabkan diri melakukan semahu dan sebebasnya
Keadaan ini menyebabkan seseorang melakukan mengikut nafsu, dosa, maksiat dan sebagainya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu tidak malu, maka berbuatlah mengikut kehendak kamu.”
Hadis di atas menjelaskan sifat malu menjadi penghalang kepada perbuatan buruk dan keji.
Sebaliknya, jika ketiadaan sifat malu akan menyebabkan seseorang berani melakukan keburukan dan kesesatan tanpa batas.
Demikianlah panduan yang telah diberikan oleh Islam tentang kepentingan sifat malu kepada seseorang supaya menjadi perhiasan diri dalam kehidupan untuk sentiasa melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan.
Sifat malu perlu dididik dan diasuh sejak dari seawal usia kanak-kanak lagi supaya terbiasa dan tumbuh seiring kematangan seseorang individu. - DagangNews.com
DR. AZRI BIN BHARI adalah Pakar Rujuk, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.