Memahami Peranan dan Tanggungjawab Pemuda Islam
TERDAPAT ayat al-Quran yang memberi gambaran bahawa usia muda adalah golongan kemuncak dan penting dalam kehidupan manusia kerana mempunyai pelbagai kekuatan yang optimum dari sudut fizikal, mental dan keazaman.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” (Surah al-Rum: 54)
Shaikh Ali al-Shabuni di dalam tafsirnya ‘Shafwah al-Tafasir’ menjelaskan bahawa terdapat tiga fasa atau peringkat kehidupan yang akan dilalui setiap manusia.
Permulaan sebagai makhluk yang sangat lemah ketika menjadi segumpal darah sehingga janin bayi yang tidak mampu melakukan sesuatu.
Kemudian, mula menjadi kuat pada peringkat kanak-kanak, remaja sehingga puncak di saat pemuda atau dewasa. Seterusnya mula menjadi lemah menuju usia tua yang semakin lemah tidak berdaya.
Justeru itu, wajar sekiranya pengharapan selalu digantungkan di tangan pemuda untuk mencapai dan menggapai masa depan agama, bangsa dan negara yang lebih cemerlang dan gemilang.
Terdapat beberapa peranan dan tanggungjawab pemuda Islam yang perlu diberi perhatian dan dilaksanakan pada masa kini:
1. Membina dan memelihara jati diri dalam kehidupan seharian
Cabaran utama atau penyakit berbahaya yang dihadapi golongan pemuda masa kini adalah kehilangan jati diri.
Segelintir golongan pemuda menghadapi kekeliruan dalam kehidupan dan tidak memiliki tujuan hidup yang jelas. Malangnya, ada golongan pemuda secara sedar atau tidak sedang merangkak, menuju dan mengikuti budaya negatif yang akan merosakkan diri, bangsa dan agama.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan meniru budaya dan tradisi orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, dan sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun kamu masih lagi mengikutinya.”
Pada masa kini, penjajahan model baru diterapkan dalam bentuk penjajahan pemikiran yang akan merosakkan cara pandang, nilai dan sikap hidup masyarakat, khususnya golongan muda sehingga banyak pemuda yang menjadikan barat sebagai ukuran kebenaran dan kiblat kehidupan.
2. Konsisten melakukan dan melaksanakan tanggungjawab berdakwah dalam masyarakat
Dakwah adalah suatu kewajiban setiap masyarakat Islam pada setiap masa, tempat dan sebagainya umpama aur dengan tebing atau lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang mengajak manusia kepada Allah, dan mereka melakukan amal soleh serta dengan bangga berkata, Sesungguhnya saya seorang muslim.” (Surah Fussilat: 33).
3. Prihatin dan cakna terhadap permasalahan ummah
Golongan pemuda perlu saling membantu dan membahu antara satu sama lain dalam menyelesaikan permasalahan ummah yang dihadapi.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak memberi perhatian pada persoalan kaum muslimin, sesungguhnya dia bukanlah bahagian dari kaum muslimin itu sendiri.”
Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara…” (Surah al-Hujurat: 10)
Sekiranya golongan kafir mampu untuk bersatu menentang Islam, jadi kenapakah masyarakat Islam tidak mampu berganding bahu dan saling membantu untuk melaksanakan tanggungjawab ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang kafir sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Jika kamu (orang Islam) tidak melaksanakan perkara yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Surah al-Anfal: 73)
Demikianlah beberapa peranan dan tanggungjawab golongan pemuda Islam yang perlu disedari dan dilaksanakan untuk menjamin kecemerlangan di dunia dan juga di akhirat.
Sinergi dan kerjasama pelbagai pihak seperti kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dalam membina serta membentuk kesedaran golongan pemuda terhadap peranan dan tanggungjawab demi manfaat agama, bangsa dan negara. - DagangNews.com