Memahami Zakat Emas dan Kadar Nisab
EMAS merupakan satu daripada harta kenaan zakat yang telah dilaksanakan oleh institusi-institusi zakat dalam memastikan masyarakat Islam melunaskan tanggungjawab berzakat.
Emas merupakan sejenis logam bernilai yang dijadikan simbol kekayaan harta dan mampu berkembang. Justeru itu, emas mesti dikenakan zakat sama seperti sumber-sumber harta dan kekayaan yang lain.
Kewajipan menunaikan zakat emas telah disebutkan secara jelas di dalam al-Quran dan hadis. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan orang yang menyimpan emas serta perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka beritahulah kepada mereka (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih.” (Surah al-Taubah: 34)
Ibn Qudamah dalam mengulas ayat di atas, menyatakan bahawa Allah SWT tidak menjanjikan keseksaan ke atas mereka yang tidak membayar zakat berkenaan kecuali zakat itu telah wajib.
Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa sahaja yang menjadi tuan punya emas dan perak dan tidak menunaikan zakatnya, pada hari kiamat nanti akan disediakan kepadanya hamparan api yang dipanaskan oleh neraka, dengan api itulah akan diselarkan rusuk dan belakangnya.” (Riwayat Muslim)
Menurut Imam al-Nawawi, hadis di atas secara jelas menunjukkan hukum wajib zakat pada emas dan perak tanpa khilaf lagi dalam kalangan para ulama fiqh. Ibn Qudamah menegaskan kewajiban zakat ke atas emas ini telah diterima secara ijmak oleh para ulama fiqh.
Para ulama berbeza pandangan terhadap nisab zakat emas kerana tidak terdapat hadis-hadis yang jelas maksud dan memiliki sanad atau periwayatan yang kukuh. Sebaliknya, para ulama sependapat dalam perkara nisab zakat perak iaitu dua ratus dirham.
Menurut al-Qaradawi, wang perak atau dirham yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat Arab sewaktu Islam diturunkan menjadikan banyak hadis menyebut tentang dirham berbanding dinar.
Walau bagaimanapun, majoriti ulama berpendapat nisab zakat emas ialah 20 mithqal, iaitu dua puluh dinar. Ibn Qudamah pula menegaskan berlaku ijmak dalam kalangan para ulama dalam menentukan nisab emas.
Hal ini kerana terdapat satu riwayat sahaja yang menyebut bahawa al-Hasan al-Basri berpendapat 40 mithqal atau dinar. Sementara al-Syawkani, pula menyebut ada riwayat lain yang menyebut bahawa al-Hasan al-Basri juga berpendapat seperti para ulama yang lain.
Berikut ialah dalil-dalil yang menjelaskan bahawa nisab emas 20 mithqal atau dinar ialah hadis ‘Ali ibn Abi Talib yang menyebut bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak wajib atas kamu sesuatu pun iaitu pada emas, sehingga kamu memiliki 20 dinar. Apabila kamu ada 20 dinar dan telah cukup haul wajib baginya setengah dinar. Apa yang lebih dari itu mengikut kiraan yang sama.” (Riwayat Abu Daud)
Seterusnya wujud persoalan dalam kalangan para fuqaha tentang nisab zakat emas ini, adakah penentuan 20 mithqal berasaskan perkiraan emas sendiri 20 dirham.
Faktor yang menimbulkan persoalan ini adalah kerana yang menjadi asas pertukaran paling popular pada zaman permulaan Islam ialah wang perak atau dirham.
Menurut Ibn Qudamah, majoriti ulama berpendapat bahawa ketentuan sebanyak 20 mithqal adalah berdasarkan perkiraan emas sendiri dan bukan kerana ia bernilai 200 dirham.
Manakala sebahagian para ulama, termasuk Ata', Tawus, al-Zuhri, Sulaiman ibn Harb dan Ayub al-Sakhtiani berpendapat kerana berasaskan perak atau dalam erti kata lain setiap jumlah yang seharga 200 dirham dikenakan zakat.
Sebaliknya, jika selagi tidak bernilai 200 dirham, maka tidak dikenakan zakat. Antara alasan pendapat yang kedua ini ialah kerana tidak ada satu pun hadis yang sah daripada Nabi SAW yang menyebut tentang perkiraan nisab berasaskan emas itu sendiri.
Namun, dakwaan golongan kedua ini tertolak kerana terdapat banyak riwayat yang menyebut tentang dinar secara tersendiri dari dirham.
Menurut al-Qaradawi, riwayat-riwayat tersebut walaupun tidak kuat dari segi sanadnya tetapi secara keseluruhannya boleh memperkukuhkan antara satu sama lain.
Antara hadis berkaitan ialah riwayat Muhammad Abd Rahman al-Ansari yang menyebut: Terjemahan: “Dalam surat Nabi SAW dan dalam surat Umar tentang zakat (ada disebutkan): Tidak dipungut apa pun daripada emas sehinggalah ia berjumlah 200 dinar. Apabila ia mencapai jumlah 20 dinar maka dikenakan padanya setengah dinar. Sementara perak pula tidak diambil sesuatu daripadanya sehinggalah ia mencapai 200 dirham. Apabila ia mencapai jumlah 200 dirham dikenakan padanya lima dirham.” (Riwayat Abu Ubaid)
Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada zakat pada yang kurang dari 20 mithqal emas dan tidak ada zakat pada yang kurang dari 200 dirham.” (Abu Ubaid)
Selain itu terdapat hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Nabi SAW mengambil dari 20 dinar ke atas(sebanyak) setengah dinar dan dari 40 dinar (sebanyak) satu dinar‛. (Riwayat Ibn Majah)
Selain daripada hadis-hadis yang telah disebutkan, pandangan majoriti ulama ini juga diperkukuhkan oleh fakta sejarah. Al-Qaradawi menjelaskan bahawa daripada catatan-catatan yang ada pada zaman Nabi SAW iaitu satu dinar sama dengan 10 dirham.
Kesimpulannya, Ibn Qudamah menjelaskan bahawa emas dikenakan zakat atasnya sendiri dan bukan atas harganya. Justeru, emas patut ditentukan berasaskan zatnya sendiri dan tidak berasaskan sesuatu yang lain, samalah juga dengan harta-harta lain yang dikenakan zakat. - DagangNews.com
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD