Memperbanyakkan amalan Zikir dalam kehidupan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 05 Aug 2022 08:31 AM

 Memperbanyakkan amalan Zikir dalam kehidupan

 

 

Zikir adalah amalan yang disyariatkan dalam Islam. Masyarakat Islam boleh melaksanakan zikir dalam pelbagai keadaan seperti melalui lisan, hati dan anggota tubuh badan.

 

Menurut Bahasa, zikir ialah melepaskan diri daripada sifat lalai dan lupa dengan menghadirkan hati atau sedar secara berterusan kerana sifat lupa yang ada pada manusia.

 

Kata dasar perkataan ‘insan’ dalam Bahasa Arab adalah ‘nisyan’ yang bermaksud ‘lupa’ iaitu telah mengisyaratkan manusia merupakan makhluk yang lupa.

 

Manakala, zikir menurut istilah pula ialah menyebut nama sesuatu dengan hati dan lisan, baik menyebut nama Allah atau sifatNya atau hukumNya atau  perbuatanNya atau menyebut nama para rasulNya, para nabiNya atau berbuat amal kebajikan seperti membaca al-Quran, bertasbih, memberi nasihat dan sebagainya.

 

Zikir ada pelbagai jenis merangkumi tasbih, tahmid, takbir, tahlil, baca al-Quran dan sebagainya, namun yang menjadi intipati dari semua jenis-jenis zikir ini ialah ingat kepada Allah (zikrullah).

 

Justeru, dapat dinyatakan bahawa zikir merangkumi dua perkara iaitu sebutan (zikir lisan) dan ingatan (zikir hati) terhadap Allah dan perkara yang berkaitan dengannya. Ingatan adalah hakikat zikir manakala sebutan itu pula adalah laluan untuk mencapai ingatan tersebut.

 

Allah SWT menganjurkan memperbanyakkan zikir melalui firman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan Allah dengan ingatan yang banyak.” (Surah al-Ahzab: 41)

 

Selain itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya zikrullah itu adalah pekerjaan yang sangat agung, dan Allah mengetahui setiap yang kamu lakukan.” (Surah al-Ankabut: 45)

 

Seterusnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah, tidak ada tuhan melainkan Aku, maka beribadahlah kepadaKu dan dirikanlah solat untuk ingat kepadaKu.” (Surah Taha: 14)

 
 

irsyad

 


Terdapat pelbagai fungsi zikir yang dapat diterima dan diperolehi oleh masyarakat Islam yang sentiasa melazimi amalan zikir dalam kehidupan seharian:

 

  1. Menggilap dan menyuci hati daripada kekotoran sifat tercela

Hati akan mencapai hakikat ketenteraman, ketenangan dan kebahagiaan setelah dapat dibersihkan, disucikan dan penyakit-penyakit dapat dibuang.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra’d: 28)

 

  1. Menyedarkan hati yang lalai dan mendorong kepada taubat

Individu yang telah melakukan kejahatan, kemudian kembali ingat kepada Allah SWT, menunjukkan individu tersebut mengalami ‘intibah’ iaitu kesedaran jiwa atau menyedari kesilapan, dosa, keaiban dan kejahatan dirinya.

 

Lantaran itu, individu tersebut akan terdorong untuk bertaubat dan tidak lagi meneruskan atau mengulangi kesilapan yang telah lalu.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang apabila mereka telah melakukan perkara keji atau menzalimi diri mereka sendiri, lalu mereka ingat akan Allah, maka mereka terus meminta keampunan bagi dosa-dosa mereka, dan tiada yang mengampunkan dosa kecuali Allah, dan mereka tidak meneruskan lagi apa yang telah mereka lakukan, sedangkan mereka itu mengetahui.” (Surah Ali Imran:135)

 

Ayat di atas jelas menunjukkan kesan zikir ke atas orang yang melakukan dosa dan kesalahan.

 

Apabila ingatkan Allah SWT menyebabkan seseorang itu mendapat kesedaran dan mendorong untuk beristighfar serta bertaubat.

 
 

irsyad

 

 

  1. Mengukuh dan memantapkan keimanan

Keimanan seseorang itu akan menjadi pudar sekiranya tidak diperbaharui dan dikukuhkan.

 

Pengukuhan keimanan boleh dilaksanakan melalui cara menanam pengertian tauhid ke dalam jiwa menerusi jalan zikir kalimah tauhid.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Perbaharuilah iman kamu. Baginda ditanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kami dapat memperbaharui iman kami? Baginda bersabda: Perbanyakkanlah menyebut La Ilaha Illallah.” (Riwayat Ahmad)

 
 

irsyad

 


Demikianlah fungsi dan manfaat zikir dalam kehidupan seharian yang boleh diperolehi oleh seluruh masyarakat Islam.

 

Berusahalah untuk sentiasa melakukan amalan zikir supaya hati sentiasa berhubung dengan Allah SWT.- DagangNews.com

 

 
DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD