Mencontohi sifat kepimpinan Nabi SAW dan Sahabat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 10 Nov 2023 07:00 AM

Mencontohi Sifat Kepimpinan Nabi SAW dan Sahabat

 

 

 

TERDAPAT persoalan dalam kalangan segelintir manusia berkaitan “Mengapa Allah tidak jadikan malaikat sebagai teladan kepada manusia? Bukankah malaikat lebih sempurna?

 

Jawapannya, menjadikan malaikat sebagai teladan adalah tidak realistik dan praktikal. Antara contohnya, malaikat tidak ada nafsu, jadi manusia tidak akan belajar mengenai cara kawalan nafsu.

 

Nabi SAW adalah manusia hebat yang dipilih oleh Allah SWT menjadi contoh dan teladan terbaik kepada seluruh manusia dalam kehidupan di dunia untuk mencapai kejayaan di akhirat.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sungguh telah datang kepada kalian seorang Rasul daripada kalangan kaum kalian sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), seorang yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kalian, seorang yang sangat tamak (inginkan) kebaikan untuk kalian, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (Surah al-Taubah: 128)

 

Teladan Nabi SAW boleh dilihat dalam pelbagai aspek seperti kepimpinan di institusi kekeluargaan, institusi sosial sehingga ke peringkat institusi negara menjadi ketua atau seorang pemimpin.


 

irsyad

 


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kalian pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (rahmat) Allah dan (balasan baik) pada Hari Akhirat, serta dia juga menyebut-nyebut dan mengingati Allah sebanyaknya (ketika masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab: 21)

 

Jawatan atau kedudukan sebagai ketua atau pemimpin adalah amanah yang paling besar bagi manusia sehingga ditolak oleh makhluk langit dan bumi kerana takut pada balasan Allah SWT.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah (tanggungjawab) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tiada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan amat jahil.” (Surah al-Ahzab: 72)

 

Teladan ketegasan prinsip menegakkan keadilan dalam menjatuhkan hukuman tanpa kompromi ahli keluarga boleh dilihat dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya telah binasa golongan-golongan terdahulu kerana membiarkan golongan mulia (atasan) yang mencuri daripada dihukum, sedangkan jika golongan marhaen (rakyat bawahan) mencuri, mereka dihukum dengan hukuman hudud. Aku bersumpah dengan nama Allah, sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya.” (Riwayat Tirmizi no.1430)


 

irsyad

 


Seterusnya, teladan sikap kerendahan hati Abu Bakar RA ketika dipilih menjadi Khalifah Islam yang pertama telah mengungkapkan seperti yang tercatat dalam buku ‘al-Kamil fi al-Tarikh’: “Wahai semua orang (yang hadir)! Aku telah dilantik menjadi pemimpin kalian, padahal aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kalian. Maka, jika sekiranya aku seorang yang berlaku baik, bantulah aku. Sekiranya aku berlaku buruk, perbetulkanlah diriku. Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kalian menjadi kuat di sisiku, sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat pula menjadi lemah di sisiku, sehingga aku bertindak ke atasnya dengan cara yang benar (adil) insya-Allah. Janganlah kalian meninggalkan kewajipan jihad (menegakkan Islam), kerana tiada sesuatu kaum yang meninggalkan kewajipan itu nescaya Allah timpakan kehinaan ke atas mereka. Taatilah aku, selagi aku mentaati Allah dan Rasul. Maka, apabila aku menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka kalian jangan mentaatiku.”

 

Selain itu, contoh keteladanan lain ialah sikap kerendahan hati Umar bin al-Khattab RA setelah dilantik menjadi Khalifah Islam yang kedua seperti yang tercatat dalam karya ‘Mahd al-Sawwab fi Fada’il Amir al-Mu’minin ‘Umar bin al-Khattab’ dan karya ‘al-Isobah fi Tamyiz al-Sohabah’ turut mengungkapkan: “Wahai kalian semua, jika sekiranya kalian melihatku terpesong, maka perbetulkanlah diriku.”

 

Selanjutnya, Khalifah Umar bin al-Khattab RA turut mempamerkan sikap kerendahan hati ketika dinasihati oleh seorang wanita tua melalui ungkapan: “Wahai ‘Umar! Bertaqwalah kamu kepada Allah dalam mengendalikan urusan rakyat! Ketahuilah bahawa sesiapa yang takut akan azab (pada Hari Kiamat), nescaya yang jauh (selamat di syurga) akan dirasakan hampir. Sebaliknya, sesiapa yang takutkan mati, nescaya dia akan takut kehilangan.”

 

Pengiring Khalifah Umar bin al-Khattab RA dalam peristiwa tersebut telah menegur wanita tua kerana terlalu banyak bicara.

 

Lantas Khalifah Umar bersuara: “Biarkan dia! Tahukah kamu siapa perempuan ini? Inilah Khaulah binti Tha‘labah. Perkataannya telah didengari oleh Allah dari tujuh petala langit (pengaduannya menjadi sebab turunnya beberapa ayat daripada Surah al-Mujadilah). Maka, ‘Umar lebih berhak untuk mendengar percakapannya. Kalau dia bercakap panjang lagi sehingga tiba waktu malam, nescaya, ‘Umar akan berdiri mendengarnya, kecuali kerana pergi sembahyang, kemudian aku datang lagi mendengarnya.”


 

irsyad

 


Terdapat ramai lagi rujukan tokoh dan pemimpin yang boleh menjadi idola, contoh dan teladan.

 

Namun, tetap tidak dapat menandingi keunggulan keperibadian Nabi SAW dan seterusnya para Sahabat sebagai pemimpim yang hebat dan cemerlang. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

dagangnews