Menghayati Iktibar Pengorbanan Hijrah Nabi SAW | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 29 Jul 2022 08:44 AM

Menghayati Iktibar Pengorbanan Hijrah Nabi SAW

 

 

 

SABAN tahun peristiwa hijrah diperingati oleh seluruh masyarakat Islam dengan sejarah suka duka dan pelbagai cabaran yang ditempuhi oleh Nabi SAW yang berhijrah dari Kota Mekah ke Madinah.

 

Peristiwa hijrah menggambarkan sebuah kejayaan dan kecemerlangan yang terhasil dari sebuah pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi SAW bersama para sahabat.

 

Hijrah Nabi SAW bukan hanya sekadar melibatkan proses perpindahan dari suatu tempat ke tempat yang lain. Bahkan, dijadikan iktibar sebagai satu proses perubahan dari satu keadaan ke satu keadaan yang lebih baik.

 

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" (Surah al-Nisa': 100).

 

 

Mekah

 

 

Sewajarnya, masyarakat Islam perlu menghayati konsep hijrah dengan melakukan pengorbanan yang tinggi demi mengharapkan keredaan Allah SWT di dunia dan juga di akhirat seperti berikut:

 

1. Sentiasa bersiap sedia melaksanakan perintah

Nabi SAW dan Abu Bakar RA telah berusaha semampu dan sebaiknya untuk menjayakan proses hijrah.

 

Persediaan sebegini yang dituntut daripada setiap orang beriman agar bersedia dengan perintah dan arahan serta melaksanakan dengan sebaiknya sebagai hamba Allah SWT.

 

2. Berserah diri kepada Allah SWT setelah berusaha

Nabi SAW tidak hanya mengharap tanpa tindakan dan berserah kepada Allah SWT tanpa usaha.

 

Justeru, selepas Nabi SAW melaksanakan segala perintah dengan sempurna, maka diiringi dengan keyakinan yang tinggi atau bertawakal bahawa segala yang dikehendaki Allah itulah yang pasti akan berlaku.


 

Mekah
Gambar Masjidil-Haram ini dikatakan dirakam pada 1903.

 


3. Berharap dan yakin atas kejayaan yang akan datang

Nabi SAW sentiasa berharap dan yakin pada janji Allah SWT walau pun dalam situasi hijrah yang sangat bahaya sehingga mengancam nyawa Baginda SAW.

 

Dalam situasi bahaya ini, Nabi SAW tetap memberikan berita gembira kepada Suraqah bahawa bukan setakat dengan kemenangan Islam ke atas pihak Quraish atau bangsa Arab, bahkan berita gembira keruntuhan singgahsana Kisra di bawah kuasa orang Islam dan mengambil harta karun Kisra sebagai harta rampasan perang.

 

4. Keperluan kepada persahabatan yang baik dan setia

Nabi SAW sentiasa mengambil berat soal persahabatan dalam setiap urusan kehidupan dan dakwah yang dilakukan.

 

Ketika Nabi SAW berada di Mekah memiliki sahabat, keluar ke Taif juga dengan sahabat, bertemu dengan tetamu iaitu ‘Aus dan Khazraj juga dengan sahabat, memeterai baiah akujanji yang telah membina negara Islam turut dengan sahabat, sehinggakan Nabi SAW sendiri bertanya kepada Jibrīl tentang siapakah sahabat ketika dalam Hijrah.

 

5. Menjadi pemimpin teladan

Nabi SAW telah merasakan kepayahan rakyat melalui berhijrah sepertimana rakyat berhijrah, diburu sepertimana rakyat juga diburu, penat sepertimana rakyat juga penat, sedih sepertimana rakyat juga bersedih.

 

Padahal, Allah SWT mampu memindahkan Nabi SAW daripada Mekah ke Madinah dengan Buraq yang telah memindahkan sekelip mata daripada Mekah ke Baitul Maqdis. Justeru, Nabi SAW menjadi teladan kepada masyarakat Islam dengan segala kepedihan dan pengorbanan yang telah dilakukan.

 

 

Mekah
Gambar ini pula dikatakan dirakam pada 1907

 

 

6. Sentiasa melaksanakan dakwah di setiap masa dan tempat

Nabi SAW sentiasa mengambil peluang untuk berdakwah dalam setiap ruang dan peluang yang ada.

 

7. Kesediaan dan persiapan sahabat untuk membantu melaksanakan perintah Allah SWT

Abu Bakar sentiasa menjadi sahabat yang baik dan setia kepada Nabi SAW dalam setiap masa dan tempat.

 

8. Kecintaan yang dipamerkan oleh seorang sahabat

Kecintaan Abu Bakar RA kepada Nabi SAW telah dizahirkan melalui menyediakan persiapan dan kelengkapan yang rapi.

 

Abu Bakar RA telah menyediakan kenderaan untuk berhijrah, berjalan di hadapan terlebih dahulu untuk melindungi, mengeluarkan harta atau berinfak demi jalan Allah SWT.
 

 

Mekah
Gambar Kaabah dalam Majalah National Geographic terbitan Julai 1953

 


Demikianlah, pengajaran dan iktibar peristiwa hijrah yang boleh diambil dan digali oleh masyarakat Islam untuk kebaikan bersama.

 

Peristiwa hijrah akan terus relevan dalam konteks semasa ataupun pada masa akan datang. Nilai-nilai yang terkandung dalam peristiwa hijrah itu tetap sesuai dijadikan rujukan dan panduan dalam kehidupan. - DagangNews.com

 

 

 
DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.