Menjaga adab dan akhlak dengan menghormati orang dalam bersosial | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 09 Aug 2024 07:00 AM

Menjaga Adab dan Akhlak dengan Menghormati Orang dalam Bersosial

 

 

Rukun kesejahteraan dan keharmonian adalah salah salah satu prinsip gagasan Malaysia Madani iaitu hormat wajar dihayati dan diterapkan oleh semua lapisan masyarakat agar maruah serta martabat insan dapat dikembalikan.

 

Sikap saling menghormati adalah menjadi asas kepada perpaduan dalam masyarakat khususnya dalam negara berbilang kaum dan bangsa sebagaimana di negara tercinta Malaysia.

 

Sekiranya tidak kerana perbezaan bangsa atau agama sekali pun, sifat hormat-menghormati membawa kepada keutuhan hubungan antara sesama bangsa dan agama.

 

Menghormati orang lain adalah sifat terpuji. Semua manusia secara fitrah ingin dihormati dan dihargai dalam apa jua keadaan. Perasaan suka dihormati adalah menjadi penghubung antara sesama manusia tanpa mengira agama dan bangsa.

 

Hormat atau adab yang membawa maksud budi bahasa, kesopanan dan ketawadukan dilihat bukan semata-sama menjadi asas kepada tingkah laku, tetapi juga sebagai teras utama kepada sebuah peradaban bangsa.

 

 

irsyad

 

 

Hanya manusia yang memiliki sikap hormat, beradab dan berakhlak akan dianugerahkan kejayaan dalam kehidupan di dunia dan akhirat seperti yang ditetapkan oleh syariat Islam.

 

Adab dan akhlak sewajarnya menjadi pakaian serta perhiasan dalam kehidupan manusia. Oleh itu, objektif utama pengutusan Nabi SAW untuk memperbaiki kerosakan akhlak masyarakat Arab jahiliyah yang dilanda krisis moral.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (Riwayat Ahmad)

 

Selain itu, Nabi SAW adalah contoh terbaik manusia yang beradab dan berbudi pekerti tinggi sebagaimana sabda baginda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tuhanku (Allah) mendidikku dengan pendidikan yang terbaik.” (Riwayat Ibnu Hibban)

 

Perkataan ‘ta‘dib’ dalam hadis tersebut bermaksud suatu proses untuk membentuk keperibadian manusia agar menyedari tentang tanggungjawab dan janji mereka kepada Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi.

 

 

irsyad

 

 

Seterusnya, Nabi SAW juga seorang yang memiliki ketinggian dan keagungan akhlak seperti yang telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah al-Qalam: 4)

 

Adab dan akhlak ditekankan dalam segenap aspek kehidupan meliputi muamalah sesama manusia.

 

Tuntutan sifat sopan atau bermoral terhadap saudara-mara, jiran tetangga serta masyarakat secara umumnya, sama ada di rumah, tempat kerja dan sebagainya adalah termasuk akhlak yang mulia.

 

Amalan memelihara hubungan baik sesama manusia walaupun berbeza darjat dan kedudukan, pandangan dan pemikiran akan melahirkan masyarakat yang saling menghormati. Perkara tersebut penting selain menjaga hubungan dengan Allah SWT.

 

 

irsyad

 

 

Lumrah untuk berbeza pandangan dan pendapat antara sesama manusia adalah perkara lazim. Bahkan, tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada hubungan yang baik sesama manusia.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat: 13)

 

Ayat di atas menjelaskan bahawa kepelbagaian bangsa di dunia ini adalah untuk tujuan saling mengenal dan menghubungkan jalinan perhubungan yang baik. Kepelbagaian bukan membawa kepada perpecahan dan tidak kesefahaman antara sesama manusia.

 

Demikianlah, saranan Allah SWT dan Nabi SAW supaya manusia memiliki sikap saling menghormati dalam kehidupan seharian supaya mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan.  - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews