Mesej khutbah Jumaat untuk pelbagai lapisan golongan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 01 Jul 2022 07:00 AM

Mesej khutbah Jumaat untuk pelbagai lapisan golongan

 

 

 

 

SEJARAH telah membuktikan bahawa masjid telah dijadikan sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam mendidik masyarakat Islam.

 

Mimbar masjid juga telah dijadikan medium untuk memyampaikan mesej Islam yang pelbagai seperti nasihat, peringatan, dakwah dan sebagainya.

 

Khutbah bermaksud seni pertuturan yang diucapakan kepada orang ramai semasa solat pada hari Jumaat bertujuan untuk memberi kepuasan serta menarik perhatian mereka secara pendengaran dan penglihatan.

 

Allah SWT menggesa ketika khutbah disampaikan, maka hendaklah para pendengar diam dan menumpukan perhatian terhadap khutbah tersebut.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.” (Surah al-A’raf: 204)

 

Selain kegunaan khutbah sebagai rukun menunaikan solat Jumaat, ia juga dibaca dalam solat Aidilfitri, solat Aidiladha, solat al-Istisqa’, ucapan al-Nikah, solat gerhana matahari dan gerhana bulan.

 

Secara umumnya, ulama mazhab Syafie menjelaskan rukun khubah Jumaat mempunyai lima iaitu memuji Allah SWT, berselawat ke atas Nabi SAW dan pesanan untuk bertakwa. Ketiga-tiga rukun tersebut menjadi rukun bagi kedua-dua khutbah.

 

Seterusnya, membaca satu ayat al-Quran pada satu daripada dua khutbah.dan terakhir mendoakan orang beriman pada khutbah yang kedua.

 

Betapa penting dan istimewanya khutbah Jumaat, maka seluruh masyarakat Islam perlu menghormati dengan diam dan fokus ketika khatib sedang berkhutbah.

 

Seorang khatib juga perlu serius memanfaatkan peluang untuk kepentingan agama dan masyarakat Islam.


 

irsyad

 


Terdapat pelbagai tujuan dan objektif khutbah disampaikan oleh khatib kepada masyarakat Islam yang menghadiri solat Jumaat pada setiap minggu.

 

1. Memperkukuhkan keimanan dan melindungi akidah masyarakat Islam

Khutbah Jumaat perlu mengisi perkara yang dapat memperkukuhkan keimanan dan mengajak masyarakat Islam agar sentiasa mempertingkatkan kekuatan iman melalui amalan-amalan soleh.

 

Sekaligus, kandungan khutbah perlu turut menyeru masyarakat Islam agar sentiasa memelihara kesucian akidah dan tidak merosakkan dengan permasalahan yang kecil dan remeh. Justeru, khatib harus serius dan benar dalam menguasai isu-isu akidah sehingga tidak berlaku terpesong akidah atau terpengaruh dengan ajaran sesat.

 

2. Menasihati masyarakat Islam agar sentiasa bertakwa dan mengingati Allah SWT

Isi khutbah perlu mendorong seseorang agar selalu mengingati Allah SWT dan memperbanyakkan zikir.

 

Selain itu, khatib juga perlu mendorong masyarakat Islam agar selalu ingat kepada kematian dan hari akhirat seperti balasan syurga dan neraka. Khatib turut perlu mengingatkan masyarakat Islam untuk menghindari dari perbuatan-perbuatan yang boleh menghalang kedekatan kepada Allah SWT.

 

3. Memberi pendidikan dan pengajaran kepada masyarakat Islam

Al-Quran dan Hadis Nabi SAW penuh dengan nilai-nilai pendidikan akhlak dalam konteks masyarakat, keluarga dan anak-anak.

 

4. Menegur dan memperbaiki akhlak masyarakat Islam

Nasihat dan teguran memperbaiki akhlak perlu dimuatkan dalam mesej khutbah yang disampaikan supaya masyarakat terdorong dan termotivasi bersifat ‘mahmudah’ dalam kehidupan  

 

Masyarakat Islam perlu berpegang teguh dengan akhlak-akhlak yang mulia dan menghindari sikap-sikap yang dapat merosakkan kerukunan bermasyarakat atau keluarga.

 

5. Mengarahkan untuk memperkukuhkan persaudaraan

Persaudaraan perlu dipelihara untuk menzahirkan kekuatan dan kebersamaan masyarakat Islam.

 

Selain itu, kandungan khutbah juga perlu lebih tegas dalam membanteras isu perselisihan dan sensitif yang boleh merugikan masa, fikiran dan tenaga masyarakat Islam.


 

irsyad


 

Demikianlah tujuan dan objektif yang perlu dicapai dalam setiap penyampaian khutbah setiap minggu yang menjadi kewajipan kepada kaum lelaki dalam menunaikan solat Jumaat.

 

Namun, kajian dan penambahbaikan perlu dibuat terhadap khatib dan isi khutbah dalam rangka memastikan keberkesanan mesej khutbah sampai kepada para pendengar yang hadir menunaikan solat Jumaat.

 

Faktor khutbah yang efektif perlu memastikan isi kandungan teks khutbah yang baik dan menyeluruh supaya sampai dan mengenai sasaran kepada pelbagai lapisan golongan dewasa, muda dan remaja bahkan kanak-kanak yang hadir.

 

Selain itu, cara penyampaian khatib yang meliputi intonasi suara, bahasa badan termasuk juga elemen-elemen komunikasi bukan lisan (non-verbal) perlu dimantapkan lagi.

 

Sinergi pihak Jabatan Agama Islam Negeri, ahli akademik dan agamawan perlu sentiasa diperkasakan dalam rangka memastikan impak maksimum mesej khutbah sampai kepada  seluruh masyarakat Islam.- DagangNews.com

 

DR. AZRI BHARI adalah Pakar Rujuk, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK di sini untuk koleksi artikel IRSYAD