Niat dan ikhlas dalam beramal demi mendapat keredaan Allah SWT
NIAT adalah satu perkara yang mudah tetapi memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seorang mukmin bagi menentukan sama ada ibadat diterima atau ditolak oleh Allah SWT.
Niat menurut bahasa ialah tujuan hati atau kehendak hati. Niat menurut istilah syarak ialah gerak hati ke arah sesuatu pekerjaan untuk mencari keredaan Allah serta menyatakan tunduk dan patuh kepada perintah Allah.
Oleh itu, setiap amal perlu disertai dengan niat hanya kerana Allah SWT.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap amal itu bergantung pada niat, dan setiap orang hanya mendapatkan apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang hijrahnya itu kerana kesenangan dunia atau kerana seorang wanita yang akan dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ditujunya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebahagian ulama menyatakan bahawa hadis tentang niat di atas merangkumi satu pertiga daripada Islam kerana menunjukkan kepentingan niat dalam kehidupan seharian terutamanya ketika beribadah kepada Allah SWT.
Bahkan kepentingan hadis tersebut juga menyebabkan kebanyakan para ulama hadis yang mengarang kitab-kitab hadis lazimnya akan memulakan dengan hadis berkaitan niat.
Hadis tersebut dikaitkan sempena kisah seorang lelaki badawi daripada satu kabilah telah meminang seorang perempuan bernama Ummi Qais.
Namun, Ummi Qais enggan menerima lamaran kecuali jika turut sama berhijrah.
Oleh kerana lelaki tersebut ingin menikahi Ummi Qais, maka turut ikut berhijrah.
Akhirnya berjaya menikahi Ummi Qais. Justeru, sesiapa yang berhijrah kerana menuntut sesuatu perkara, maka akan memperoleh perkara itu sahaja.
Semua amalan yang disyariatkan sama dengan konteks hijrah ini, seperti berjihad, menuntut ilmu dan berniaga. Keelokan dan kerosakannya adalah berdasarkan niat yang mendorongkan kepadanya.
Walaupun lelaki tersebut telah melakukan sesuatu yang besar iaitu berhijrah dari Mekah ke kota Madinah sama seperti orang lain, tetapi pahala yang diperoleh mungkin sedikit atau tiada langsung yang menjadikan perbuatan tersebut sia-sia.
Allah tidak sekadar menilai yang zahir sahaja, bahkan Allah turut menilai yang tersirat di dalam hati seseorang. Niat di hati kerana Allah dan amalan yang dilakukan mesti selari dan menepati syariat yang dibawa oleh Nabi SAW.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa bentuk kamu dan harta kamu, tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim)
Niat adalah neraca bagi mensahihkan setiap amalan. Lantaran itu, apabila niat seseorang baik, maka baiklah amalannya. Jika rosak niat seseorang, maka rosaklah amalan tersebut.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah dalam diri manusia ada seketul daging, apabila baik, maka baiklah jasadnya, dan apabila rosak, maka rosaklah jasad keseluruhannya itu, ketahuilah iaitu hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Niat berfungsi memandu seseorang agar ikhlas dalam melakukan amal ibadah supaya mendapat taufik dan hidayah dari Allah SWT. Niat yang ikhlas akan mendapat ketenangan dan kejayaan dalam hidup. Berusahalah untuk memperelokkan niat dan keikhlasan hanya kepada Allah.
Fudhail bin Iyadh telah berkata: “Meninggalkan amal kerana manusia adalah riak, beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu ialah Allah menyelamatkan kamu dari keduanya”.
Seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW lalu menyatakan terdapat seorang lelaki yang bersedekah dan suka supaya dipuji dan diberikan pahala kepadanya.
Nabi SAW tidak dapat menjawab apa-apa sehinggalah diturunkan ayat yang bermaksud: “Maka sesiapa mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah kerjakan amal yang soleh, dan janganlah sekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya.” (Surah al-Kahfi: 110)
Demikianlah, hadis berkaitan niat di atas menegaskan dua perkara dalam kehidupan, pertamanya niat yang tulus agar diberi pahala oleh Allah SWT.
Tujuan niat adalah untuk membezakan antara adat dengan ibadah, jika ibadah akan dikurniakan pahala oleh Allah SWT.
Kedua, perlu berhijrah daripada baik kepada yang lebih baik dan menggunakan hijrah untuk membaiki kehidupan.
Sejarah telah membuktikan bermulanya kejayaan Nabi SAW dan para Sahabat selepas berhijrah. - DagangNews.com
DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.