Pengajaran pengorbanan Nabi Ibrahim AS | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 28 Jun 2024 07:00 AM

Pengajaran Pengorbanan Nabi Ibrahim AS

 

 

 

MASYARAKAT Islam masih berada dalam bulan Zulhijjah, walaupun sambutan Aidil Adha telah pun berlalu, terdapat peristiwa yang sinonim dengan perayaan tersebut sewajarnya diambil pengajaran dari pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS.

 

Martabat Nabi Ibrahim AS selayaknya diangkat di sisi Allah SWT dan dianugerahkan gelaran rasul Ulul ‘Azmi lantaran kejayaan menempuh ujian-ujian berat keimanan sepanjang kehidupan dalam menyampaikan risalah kenabian.

 

Pengorbanan Nabi Ibrahim AS bersama keluarga telah meninggalkan kesan yang amat mendalam dan memberikan inspirasi keimanan yang kekal abadi dalam coretan lakaran sejarah umat Islam.

 

 

irsyad

 

 

Terdapat beberapa pengajaran dan pelajaran yang boleh diambil daripada kisah keluarga Nabi Ibrahim AS agar dapat memahami keberadaan di dalam dunia ini dengan penuh tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, iaitu:

 

1. Setiap insan pasti menghadapi ujian dalam kehidupan

Ujian adalah daya ketahanan iman seseorang terhadap dugaan lahir dan batin yang menimpa serta sudah pasti memiliki hubung kait dengan kehidupan kekal abadi di alam akhirat kelak.

 

Pastinya setiap orang yang mengaku beriman akan diuji oleh Allah SWT. Para Nabi dan Rasul adalah orang yang paling banyak dan hebat menerima ujian daripada Allah SWT walaupun terpelihara dari melakukan dosa berbanding manusia biasa yang banyak melakukan dosa kerana lalai, leka dan alpa.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.” (Surah al-‘Ankabut: 2-3)

 

Baik musibah mahupun nikmat, pastinya ujian daripada Allah SWT adalah merupakan peringatan, teguran, penghapusan dosa dan juga untuk mengangkat darjat manusia sekiranya manusia tersebut akur, patuh serta kembali bertakwa kepada Allah SWT.

 

2. Ikhlas dalam melaksanakan ibadah

Setiap orang yang beriman perlulah melaksanakan ibadah secara ikhlas dengan tidak mengharapkan sebarang imbuhan melainkan keredhaan Allah SWT.

 

Terdapat segelintir masyarakat Islam yang ketika melakukan sesuatu amalan, tetapi tidak memperoleh satu kebaikan pun kerana amalannya tidak didasari dengan keikhlasan dalam hati dan mengharapkan keredhaan Allah SWT.

 

Ikhlas menjadi faktor utama sesuatu ibadah diterima Allah SWT. Setiap individu muslim perlu memahami makna keikhlasan yang sebenarnya agar boleh melakukan amalan tanpa sia-sia.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab (al-Quran) kepadamu (Nabi Muhammad) dengan hak. Maka, sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya.” (Surah al-Zumar: 2)

 

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa paras dan hartamu, tetapi Dia hanya melihat hati dan amalmu.” (Riwayat Muslim)

 

 

irsyad

 

 

3. Keutamaan menunaikan dan melaksanakan perintah Allah SWT

Setiap invidu muslim perlu mendahulukan perintah Allah SWT kerana rasa cinta dan kasih kepada-Nya mengatasi kecintaan terhadap dunia dan keluarga.

 

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Aulawiyat menjelaskan bahawa segala hukum hakam, amal dan nilai dalam Islam terikat dengan fiqh keutamaan yang didasarkan kepada prinsip mengutamakan suatu perkara ke atas suatu perkara yang lain.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba-Ku, yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang yang mempunyai akal.” (Surah al-Zumar: 17-18)

 

4. Menjadikan kepatuhan dan ketaatan Nabi Ibrahim AS bersama keluarga sebagai teladan

Masyarakat Islam perlu meneladani kehidupan keluarga bahagia Nabi Ibrahim AS yang dibina atas dasar keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT sehingga akhirnya dapat menuju kepada Syurga Allah secara bersama-sama.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam syurga ‘Adn yang Telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang saleh di antara bapak-bapak mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Ghaafir: 8)

 

 

irsyad

 

 

Demikianlah, ibrah daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang boleh dijadikan sebagai teladan, sumber inspirasi dan motivasi dalam kehidupan seharian untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews