Perhebatkan amalan ibadah di bulan Zulhijjah | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 07 Jun 2024 07:00 AM

Perhebatkan amalan ibadah di bulan Zulhijjah

 

 

TERDAPAT kelebihan dan keistimewaan beramal di bulan Zulhijjah dengan pelbagai kelebihan khususnya pada tanggal 1 sehingga 10 Zulhijjah (al-‘asyr al-awa’il).

 

Bulan Zulhijjah dikenali dengan kelebihan menggandakan amalan pada sepuluh hari awalnya.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah) (Surah Al-Fajr: 2).

 

Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair, Mujahid dan Ibnu Kathir dalam mentafsirkan mengenai malam yang sepuluh itu adalah merujuk kepada sepuluh malam yang pertama pada bulan Zulhijjah.

 

Seterusnya tafsiran tersebut disokong oleh hadis Nabi SAW yang bermaksud "Tidak ada hari yang amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah daripada sepuluh hari ini (diawal Zulhijjah). Mereka berkata; Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan Allah, melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun (Riwayat al-Bukhari).

 

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani mengulas lanjut bahawa antara faktor diistimewakan sepuluh hari di awal bulan Zulhijah ini adalah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadah yang utama dan besar nilainya iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Sedangkan pada waktu lain, semua ibadah tersebut tidak pernah terhimpun sebegitu (Fath al-Bari).

 

 

nabawi

 

 

Selain itu, Ibn Qayyim al-Jauziyah pula menjelaskan kelebihan sepuluh hari awal bulan Zulhijah ditinjau dari sudut hari (siangnya) kerana di dalamnya terdapat hari al-Nahr (korban), hari Arafah (9 Zulhijah) dan hari at-Tarwiyah (8 Zulhijah)” (Zad al-Ma’ad).

 

Anjuran beramal dalam tempoh masa sepuluh hari di awal bulan Zulhijah bukan bermakna tidak perlu lagi melaksanakan ibadah pada masa lain, namun tempoh tersebut adalah sebagai titik permulaan proses mendidik dan mentarbiah diri melakukan pelbagai amal soleh pada masa lain.

 

Terdapat pelbagai amalan yang boleh dilaksanakan untuk mendekatkat diri dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT di sepuluh hari awal dalam bulan Zulhijah ini.

 

Antara amalan yang boleh dilaksanakan bagi meraih kelebihan dan keistimewaan di sisi Allah SWT adalah seperti berikut.

 

1. Meningkatkan amalan solat

Ibadah solat adalah amalan yang pertama sekali dihisab pada hari akhirat kelak. Solat-solat sunat berperanan menyempurnakan kekurangan yang berlaku atau terdapat pada solat fardu lima waktu.

 

Umat Islam boleh melazimi pelbagai solat sunat antaranya solat sunat rawatib, solat sunat tahajjud, solat sunat witir dan sebagainya.

 

Oleh kerana sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah ini merupakan hari-hari yang amal ibadah dilakukan padanya paling disukai oleh Allah SWT, maka amalan solat-solat sunat wajar dipertingkatkan dan diperbanyakkan.

 

 

irsyad

 

 

2. Melazimi puasa sunat

Pusat sunat adalah antara amalan yang paling utama pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah. Kelebihan berpuasa terdapat di dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: ”Allah SWT telah berfirman: semua amal ibadah anak adam adalah bagi dirinya sendiri kecuali ibadat puasa. sesungguhnya ibadah puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan mengurniakan ganjaran pahala baginya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

 

Seterusnya berpuasa menjadi sunnah Nabi SAW seperti hadis yang bermaksud: “Empat perkara yang tidak pernah ditinggalkan oleh baginda Rasulullah: puasa 'Asyura, puasa sepuluh hari (di bulan Zulhijjah), puasa tiga hari dalam setiap bulan dan dua rakaat sebelum Subuh (Riwayat al-Nasai).

 

3. Mengingati Allah SWT

Mengingati Allah SWT pada hari-hari yang sangat dicintai Allah adalah satu amalan yang sangat baik melalui amalan berzikir seperti takbir, tahmid, tasbih dan tahlil. 

 

Segala bentuk amalan yang mengingatkan kita kepada Allah merupakan satu amalan yang sangat dituntut seperti maksud hadis Nabi SAW: “Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain sepuluh hari ini. Maka, perbanyakanlah tahlil, takbir, dan tahmid pada-Nya (Riwayat Ahmad).

 

4. Melaksanakan ibadah korban

Ibadah korban adalah salah satu ibadah yang agung. Pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup berkorban demi melaksanakan perintah Allah SWT walaupun terpaksa mengorbankan nyawa perlu dicontohi dan diambil iktibar.

 

Terdapat hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Hari Idul Adha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban) (Riwayat al-Tirmizi).

 

5. Mohon keampunan dan bertaubat

berusaha memohon keampunan (istighfar) dan bertaubat kepada Allah SWT. Setiap umat Islam perlu melazimi melakukan taubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat. Akibat perbuatan dosa yang menyekat manusia daripada kebaikan dan menjauhkannya dari Allah SWT.

 

Sewajarnya umat Islam menzahirkan semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “dan orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik” (Surah al-Ankabut: 69).

 

 

irsyad

 

 

6. Memperbanyakkan doa

Hadis Nabi SAW yang bermaksud “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah” (Riwayat Malik). Amalan terbaik pada hari wukuf di Arafah adalah berdoa kepada Allah SWT. Ia merupakan waktu berdoa yang paling mustajab dan yang paling dekat untuk dimakbulkan.

 

Wukuf dan doa mustajab adalah amalan ‘khususiyyat’ (perkara yang dikhususkan) untuk jemaah haji yang berada di Arafah bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga tenggelam matahari waktu maghrib.

 

Namun bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, boleh mengambil peluang dan kelebihan hari wukuf di Arafah ini untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut, berdasarkan zon waktu di tempat masing-masing, tanpa mengehadkan tempoh berdoa kepada jam atau masa yang tertentu.

 

Malah, umat Islam digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf itu. Hal ini adalah kerana tiada dalil khusus yang mengehadkannya.

 

 

irsyad

 

 

Selain amalan-amalan yang dinyatakan di atas, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan soleh seperti bersedekah, membaca al-Quran, menuntut ilmu dan amar makruf nahi munkar.

 

Demikianlah setiap amalan yang dilakukan pada sepuluh hari berkenaan akan dinilai istimewa oleh Allah SWT. Rebutlah peluang keemasan ini untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengangkat darjat di sisi-Nya. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews