Sikap Mangsa, Sukarelawan dan Pemerhati Bencana Banjir | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 31 Dec 2021 09:15 AM

Sikap Mangsa, Sukarelawan dan Pemerhati Bencana Banjir

 

 

 

PALING terbaharu, kerajaan menyatakan tujuh pakar cuaca dan bencana tempatan berpendapat bahawa Malaysia bakal berdepan bencana alam di luar jangkaan dalam seminggu dua ini.

 

Beberapa kawasan yang biasanya `selamat' juga boleh dilanda bencana alam berikutan cuaca yang tidak menentu. Silalah berwaspada.

 

Banjir yang berlaku di beberapa kawasan negeri Selangor telah menjadikan masyarakat mula cakna dan mengambil tahu tentang ramalan cuaca di sekitar kawasan tempat tinggal.

 

Banjir yang telah berlaku di Lembah Klang, Shah Alam dan Hulu Langat adalah di luar jangkaan pada sekitar 18-20 Disember 2021 yang lalu.

 

Lantaran itu, ramai dalam kalangan masyarakat terkesan bukan sahaja kehilangan harta benda, malah turut mengorbankan nyawa.

 

Terdapat pelbagai senario yang boleh dilihat dan diperhatikan berkaitan gelagat serta sikap golongan yang terlibat dalam bencana banjir yang berlaku di Malaysia untuk menjadi renungan dan iktibar.

 


 

irsyad

 


 

1. Sabar dan reda mangsa banjir menghadapi musibah banjir

 

Akibat musibah banjir, terdapat mangsa yang kehilangan ahli keluarga, tempat tinggal dan harta benda yang pastinya perlu mengharungi dengan penuh sabar dan reda.

 

Dr Yusuf Qaradawi menjelaskan bahawa seorang Islam harus reda terhadap diri sendiri dan Tuhannya, alam dan hidup, takdir serta rezeki yang dikurniakan Allah SWT.

 

Secara umum, reda adalah sifat lapang hati ketika menerima ketentuan Allah dengan bersangka baik terhadap segala aturanNya sekalipun bertentangan dengan kehendak dan keinginan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Jikalau mereka bersungguh-sungguh reda dengan apa yang yang diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka serta berkata, "Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan kepada kami sebahagian daripada kurnia-Nya, dan demikian (pula) Rasul-Nya, sesungguhnya kami adalah orang yang berharap kepada Allah. (Tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka)" (Surah al-Taubah: 59).

 

Dalam usaha mengharungi kehidupan, seseorang harus berasa senang menerima ketentuan Allah. Lazimnya, ketentuan disebut sebagai takdir merangkumi dua perkara iaitu nikmat yang pasti akan diterima manusia dengan perasaan senang dan bencana yang datang dalam pelbagai bentuk.


 

irsyad

 


2. Keikhlasan dan pengorbanan para sukarelawan dan dermawan dalam membantu

 

Hikmah di sebalik musibah banjir yang sudah lebih seminggu berlaku, terlihat kebangkitan luar biasa pasukan sukarelawan dan dermawan daripada pelbagai latar belakang tampil menghulurkan bantuan.

 

Keprihatinan dan kepedulian terhadap situasi banjir yang berlaku, tidak putus-putus bekalan bantuan dihulurkan di lokasi bencana termasuk di pusat pemindahan sementara (PPS).

 

Bencana alam dan banjir telah menjalinkan rasa kebersamaan dan menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat untuk bersama-sama menghulurkan bantuan. Sikap tolong-menolong dan mengambil tahu dalam masyarakat ini perlu diperkukuhkan kerana menjadi lambang perpaduan, kedamaian dan kesejahteraan negara.

 

Sukarelawan perlu melayan mangsa banjir dengan penuh rasa kasih sayang, perlu dihargai dan dijaga emosi supaya wujud rasa bahagia dan senang dengan kehadiran para sukarelawan. Sukarelawan wajar sentiasa bersikap positif dan pandai menyesuaikan diri semasa menjalankan aktiviti sukarela.

 

Namun, ada perkara penting yang perlu diutamakan oleh para sukarelawan dan dermawan iaitu keikhlasan dalam membantu mangsa banjir yang terkesan. Elakkan dari mengambil kredit dan populariti dalam melakukan kerja amal tersebut. Apatah lagi mengambil kesempatan mengumpul dan menyeleweng dana awam untuk menipu dengan cara yang tidak beretika.

 

Nabi SAW mengingatkan soal keikhlasan dalam hadis yang bermaksud: “Segala amal (tidak berlaku) melainkan dengan adanya niat dan sesungguhnya setiap seorang hanya akan beroleh balasan berdasarkan niatnya…” (Riwayat Bukhari dan Muslim).


 

irsyad
Gambar di atas penduduk Taman Sri Muda Shah Alam menyelamatkan diri semasa kemuncak banjir pada 19 Disember. Gambar bawah selepas air banjir surut. - Foto Bernama


 

3. Komentar dan kritikan para pemerhati banjir

 

Masyarakat sewajarnya memberi komentar dan kritikan yang membina berkaitan dengan bencana alam, bukannya menyalahkan atau mencari kesalahan orang lain.

 

Tidak dinafikan bahawa kekurangan yang berlaku dan wujud dari sudut penyelarasan antara pelbagai agensi kerajaan diperingkat persekutuan atau negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun kepantasan respon setelah banjir melanda.

 

Terlalu fokus dan menularkan kelemahan yang berlaku menyebabkan perkara yang lebih penting untuk berganding bahu menyelamatkan dan membantu mangsa banjir terencat dan terganggu.

 

Namun, introspeksi dan muhasabah perlu dilakukan secara berterusan untuk penambahbaikan pada masa akan datang.

 

irsyad

 


Demikianlah di sebalik ujian, tragedi dan bencana yang berlaku dapat menyatukan hati seluruh masyarakat di Malaysia.

 

Tatkala diuji dengan kehilangan nyawa dan harta benda, wujud tanda kasih sayang daripada barisan sukarelawan dan dermawan yang hadir menghulurkan bantuan tanpa syarat.

 

Justeru, marilah bersama terus berdoa semoga bencana alam dan banjir yang melanda negara agar kembali pulih seperti biasa dan semua mangsa diberi kesabaran serta ketabahan dalam menghadapi musibah. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD