Syiar dan hikmah pelaksanaan ibadah korban
MASYARAKAT Islam akan meraikan Hari Raya Aidiladha dalam bulan Zulhijjah dan dituntut untuk memperbanyakkan bertakbir, bertahmid dan bertasbih.
Selain itu, ibadah yang sangat dituntut untuk dilaksanakan juga ialah ibadah korban dengan menyembelih binatang ternak seperti unta, kambing, kerbau atau lembu pada waktu yang tertentu.
Waktu tertentu yang dimaksudkan ialah menyembelih binatang korban pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah iaitu selepas naik matahari pada Hari Raya Aidiladha (setelah selesai sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha pada sepuluh Zulhijjah) sehingga terbenam matahari akhir hari tashrik iaitu hari ketiga belas Zulhijjah.
Sekiranya melaksanakan ibadah korban sebelum waktu tersebut, maka tidak sah dan tidak dikira sebagai ibadah korban.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Bahawa yang mula-mula kami lakukan pada hari ini (Hari Raya Aidiladha), kami sembahyang, kemudian kami balik ke rumah, selepas itu kami menyembelih korban, maka siapa yang membuat seperti yang demikian maka dia memperolehi sunat (ibadah) kami dan siapa yang menyembelih sebelum sembahyang, maka yang demikian itu hanyalah daging biasa yang dibahagi-bahagikan kepada keluarga, bukanlah yang demikian itu termasuk dalam ibadah korban.” (Riwayat al-Bukhari)
Hukum pelaksanaan ibadah korban ke atas umat Islam adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut bagi individu yang baligh, berakal, merdeka serta berkemampuan.
Berkemampuan adalah merujuk kepada individu yang mampu untuk berkorban setelah ada lebihan dari keperluan untuk dikeluarkan bagi tujuan melaksanakan ibadah korban.
Majoriti ulama menjelaskan hukum melakukan korban adalah sunat bagi individu yang mampu dan hukum makruh pula jika seseorang yang mampu itu tidak melakukan ibadah korban.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban tetapi dia tidak berkorban, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini.” (Riwayat Ibn Majah)
Terdapat pelbagai hikmah dan objektif pensyariatan ibadah korban yang telah boleh diperoleh oleh seluruh masyarakat Islam samada yang membuat korban dan juga yang menerima manfaat korban.
1. Menzahirkan tanda ketaatan seorang hamba kepada Allah SWT
Ibadah korban mengingatkan tentang peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih putera baginda Nabi Ismail AS.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai anakku, sesungguhnya aku telah melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu, maka telitikanlah apa pandangan kamu. (Ismail berkata) wahai bapaku, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Nescaya kamu akan mendapati bahawa aku ini – Insha Allah – tergolong dalam kalangan mereka yang sabar.” (Surah al-Saffat: 102)
Peristiwa tersebut merupakan pengorbanan yang benar-benar menguji keimanan dan kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Perintah yang berat tersebut telah dilaksanakan atas dasar iman dan taqwa yang dilakukan tanpa ragu-ragu atau was-was.
Hasil ketaatan dan ketulusan yang dipamerkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam melaksanakan perintah tersebut, maka Allah SWT telah memerintahkan agar Nabi Ismail AS digantikan dengan seekor kibas.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Serta Kami menyerunya, wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan." (Surah al-Saffat: 104-105)
Jelas bahawa peristiwa ini hanya sekadar satu bentuk ujian untuk melihat samada Nabi Ibrahim benar-benar beriman dan taat akan perintahNya ataupun sebaliknya. Kisah-kisah Nabi Ibrahim yang dinyatakan dalam beberapa surah mempunyai naratif pengkisahan yang memfokuskan kepada tema Tauhid dan ketaatan kepada Allah.
2. Menzahirkan kesyukuran terhadap nikmat rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah SWT
Ibadah korban yang dilaksanakan sebagai tanda bersyukur di atas rezeki yang Allah SWT telah berikan dalam kehidupan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan penyembelihan korban sampai mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka.” (Surah al-Hajj: 34)
Selain itu, firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (daripada mendapat sebarang perkara yang diingininya)." (Surah al-Kauthar: 1-3)
Berdasarkan ayat diatas, segala nikmat yang diterima samada kebaikan yang banyak atau segala bentuk kelebihan dimiliki, sewajarnya dizahirkan kesyukuran dengan bersembahyang dan menyembelih korban.
3. Membina sifat sabar dan redha dengan takdir Allah SWT
Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dapat menjadi tauladan supaya bersikap sabar terhadap segala ujian yang diberikan oleh Allah SWT dalam kehidupan, tidak mudah mengeluh atau menyerah dan bertawakal kepada Allah SWT.
Perlu difahami bahawa setiap yang berlaku dalam kehidupan ini samada nikmat atau musibah merupakan ketentuan dan ketetapan daripada Allah SWT untuk setiap hambaNya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata, sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami Kembali.” (Surah al-Baqarah: 156)
4. Mendidik keprihatinan terhadap masyarakat dan golongan yang memerlukan
Pengagihan daging korban perlu diberikan dan diutamakan kepada golongan yang berhak menerima seperti fakir, miskin dan yang memerlukan.
5. Mengikis sifat tamak dan mendidik sifat pemurah membelanjakan harta ke jalan Allah SWT
Harta yang dimiliki di dunia ini bukanlah hak milik mutlak peribadi, bahkan di dalam harta tersebut ada hak orang lain seperti golongan fakir, miskin dan sebagainya yang perlu dikongsikan.
Harta yang dimilik tersebut hendaklah disalurkan melalui sistem kewangan sosial yang telah dianjurkan oleh Islam seperti sedekah, infaq, zakat dan membantu golongan yang memerlukan melalui ibadah korban.
Pengajaran kisah pengorbanan yang diperintahkan oleh Allah SWT dapat dilihat juga dalam kisah Nabi Adam melalui wahyu disampaikan kepada kedua puteranya seperti dinukil dalam tafsir Ibnu Katsir: "Wahai anakku (Qabil dan Habil) hendaknya masing-masing di antara kalian menyerahkan korban, maka siapa di antara kalian berdua yang korbannya diterima Allah SWT dialah yang berhak menikahinva (Iklimah)."
Korban yang dilakukan Habil adalah seekor binatang yang besar dan baik. Manakala, Qabil pula melaksanakan korban atas dasar hasad (kedengkian) dan disebabkan kebakhilan telah memilih binatang peliharaan yang kurus sehingga ditolak dan tidak diterima oleh Allah SWT.
Laksanakanlah ibadah kepada Allah SWT tanpa berkira soal wang ringgit dan harta benda kerana segala rezeki yang dimiliki adalah daripada kurniaanNya. Berusahalah melaksanakan setiap amalan dengan penuh kecintaan dan ketaatan yang tinggi kepadaNya.
Demikianlah sebahagian hikmah dan objektif pensyariatan ibadah korban yang dilaksanakan oleh masyarakat Islam setiap tahun yang akan diperolehi oleh pembuat korban dan juga penerima manfaat korban.
Semoga ibadah korban yang kita lakukan atas dasar keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah SWT pada setiap tahun diterima dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. - DagangNews.com
DR. AZRI BIN BHARI merupakan Pakar Rujuk Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.