Tawaduk membentuk ketaatan kepada Allah SWT
SIFAT tawaduk adalah sifat (mahmudah) terpuji yang dianjurkan oleh Islam dalam kehidupan seharian dan telah dicontohkan melalui perilaku Nabi SAW serta (salafussoleh) orang soleh terdahulu.
Menurut al-Raghib al-Isfahani, tawaduk bermaksud berpuas hati atau menerima dengan lapang dada terhadap satu kedudukan yang lebih rendah daripada sesuatu yang sepatutnya diperoleh disebabkan ketinggian kedudukan dan kemuliannya.
‘Tawaduk’ berbeza dengan ‘tazallul’ yang bermaksud menghina diri. Sifat tazallul didefinisikan sebagai seseorang yang tiada harga diri dengan tunduk kepada manusia demi memperoleh sesuatu hajat meskipun terpaksa melanggar batasan agama.
Perlu difahami bahawa sifat tawaduk adalah sifat mulia, sebaliknya sifat tazallul adalah suatu sifat yang hina di sisi agama.
Lawan kepada sifat tawaduk pula ialah sifat takabbur yang bermaksud sombong dan meninggi diri.
Gambaran manusia yang dihinggapi sifat takabbur seumpama seseorang yang berdiri di atas bukit atau di tempat yang tinggi seterusnya melihat kepada orang yang di bawah, semuanya akan kelihatan kecil dan kerdil.
Hamba ciptaan Allah pertama yang memiliki sifat takabbur adalah Iblis. Iblis menjadi takabbur apabila melihat satu lagi hamba Allah yang diciptakan tidak sehebat kejadiannya, namun diperintahkan untuk sujud memberi penghormatan pada ciptaan tersebut.
Iblis menjadi sangat takabbur ketika itu kerana merasakan dirinya ciptaan terhebat berbanding hamba Allah SWT yang lain. Akibat sifat takabbur dan angkuh iblis tersebut menjadikan dirinya dimurkai dan makhluk yang paling dilaknat Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunungganang." (Surah al-Israa': 37)
Seterusnya, Allah SWT telah mendidik Nabi SAW iaitu hamba yang paling tawaduk menerusi firmanNya yang bermaksud: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang yang beriman yang mengikutimu.” (Surah al-Syu‘ara: 215)
Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku agar kamu bertawaduk, sehingga seseorang tidak merasa bangga lagi sombong terhadap orang lain dan tidak pula berlaku aniaya kepada orang lain.” (Riwayat Muslim, no.2198)
Imam al-Ghazali turut melihat ada dalam kalangan para ilmuan tersasar dari tujuan asal menuntut ilmu. Ilmu telah dijadikan bahan untuk perdebatan yang tidak menguntungkan, menzahirkan kehebatan diri serta mencari kemasyhuran diri semata-mata.
Selanjutnya, Imam al-Ghazali menegaskan bahawa ilmu yang dipelajari sepatutnya mampu menambahkan ketakwaan dan kekaguman sifat Maha Bijaksana Allah SWT. Namun, sebaliknya telah bertukar menjadikan penuntut ilmu kagum terhadap dirinya, suka merendah-rendah dan memperlekehkan orang lain.
Lantaran itu, Imam al-Ghazali telah memberikan nama karya agungnya ‘Ihya ‘Ulumiddin’ yang bertujuan untuk menghidupkan kembali fungsi ilmu dan ibadah bagi melahirkan manusia yang tunduk kepada Allah SWT dan tawaduk dalam kehidupan.
Perlu ditegaskan, apabila menjadi orang yang rendah diri bukan bererti menghina diri. Bahkan, merendah diri akan meningkatkan lagi kualiti seseorang individu di sisi Allah SWT dan mendapat penghormatan pada pandangan manusia.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang itu bersifat tawaduk kerana Allah, melainkan akan diangkat kedudukannya oleh Allah.” (Riwayat Muslim, no.69)
Demikianlah, tanda individu yang tawaduk adalah akhlaknya terpuji, perilakunya merendah diri, taat perintah Allah SWT kerana takut azabNya atau dengan kata lain, individu yang tawaduk adalah benar-benar ikhlas melaksanakan segala amalan kerana Allah SWT. - DagangNews.com
DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.