Terap dan amalkan sikap ta‘awun dalam masyarakat
SIFAT ta‘awun atau tolong menolong sesama insan merupakan ciri keperibadian yang sangat mulia dan diberi perhatian dalam Islam.
Manusia merupakan makhluk sosial yang tidak dapat hidup bersendirian tanpa interaksi dan bantuan orang lain. Oleh itu, sifat tolong-menolong sangat diperlukan dalam kehidupan seharian.
Ajaran Islam tidak hanya mementingkan hubungan antara Allah SWT dengan hamba-Nya sahaja, bahkan mementingkan hubungan antara manusia dengan manusia lainnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tolong menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu tolong menolong dalam dosa dan permusuhan.” (surah al-Maidah: 2)
Menurut Ibnu Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, Allah SWT telah memerintahkan semua hambaNya agar saling tolong-menolong (ta‘awun) di dalam aktiviti kebaikan iaitu melaksanakan kebajikan (al-birr) serta meninggalkan kemungkaran yang merupakan ketaqwaan. Allah SWT turut melarang saling membantu dalam perkara kebatilan, perbuatan dosa dan haram.
Perincian tentang kebajikan dan ketakwaan telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala Malaikat dan segala kitab dan sekalian Nabi-nabi dan mendermakan seorang akan hartanya- sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta-minta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi…” (Surah al-Baqarah: 177)
Terdapat pelbagai manfaat dan kebaikan yang akan diperoleh oleh masyarakat kesan daripada mengamalkan sifat tolong-menolong dalam kehidupan seharian seperti berikut:
1. Dihormati dan dihargai oleh manusia sekeliling
Pertolongan yang diberikan mestilah dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan imbalan balasan daripada orang yeng sudah ditolong.
Pastinya balasan daripada pertolongan kebaikan yang telah dilakukan oleh seseorang individu dicatat sebagai amalan soleh dan akan diganjarkan oleh Allah SWT dengan pelbagai cara di kemudian hari.
2. Meningkatkan rasa syukur
Bantuan pertolongan yang diberikan dan dihulurkan kepada orang lain akan mencetuskan dan meningkatkan lagi rasa bersyukur dalam diri kerana masih ramai orang lain yang masih memerlukan bantuan.
3. Mengurangkan tekanan dalam jiwa
Bantuan yang diberikan akan mewujudkan rasa bahagia dan gembira dalam diri kerana dapat melihat kegembiraan dan kemanfaatan yang diperoleh oleh orang yang telah dibantu.
4. Meningkatkan kepedulian dan kepekaan sosial
Sikap membantu orang yang memerlukan dan dalam serba kekurangan akan meningkatkan rasa bertangggungjawab dan kepedulian terhadap masyarakat sekeliling.
5. Mewujudkan semangat persaudaraan dan kesatuan
Sikap saling menolong akan akan menumbuhkan semangat persaudaraan dan perasaan saling memerlukan antara satu sama lain.
Seterusnya, sikap tolong-menolong juga akan mencetuskan kesatuan dalam kalangan masyarakat yang berbilang dan berbeza latar belakang agama, kaum, politik dan sebagainya.
6. Menyebar dan menularkan kebaikan dalam kalangan masyarakat
Sikap tolong menolong bukan sahaja memberi manfaat kepada pemberi dan penerima bantuan, malah masyarakat sekeliling yang memerhatikan secara tidak langsung akan termotivasi dan terinspirasi untuk melakukan kebajikan tersebut.
Demikianlah manfaat dan kebaikan sikap tolong-menolong yang dianjurkan oleh Islam untuk dilaksanakan dalam kehidupan supaya kehidupan bermasyarakat saling melengkapi ke arah kesejahteraan bersama. - DagangNews.com
DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.