Umat Islam harus waspada syirik terhadap Allah SWT | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 16 Dec 2022 07:39 AM

Umat Islam harus waspada syirik terhadap Allah SWT

 

 

SIKAP tidak teliti dan berhati-hati segelintir masyarakat dalam menyusun perkataan, melaksanakan perbuatan dan menetapkan keyakinan yang boleh menjejaskan akidah perlu diberi perhatian yang serius.

 

Penyembahan, pemujaan, pengagungan, penyamaan dan sebagainya kepada makhluk adalah tidak selayaknya bagi Allah SWT yang Maha Suci dari sifat kekurangan dan kelemahan makhluk.

 

Perkataan, perbuatan dan keyakinan yang boleh menjejaskan akidah serta menjerumus seseorang ke lembah kesyirikan perlulah diinsafi segera dan bertaubat kepada Allah SWT.

 

Allah SWT menjelaskan bahawa ancaman keras dikenakan kepada manusia kerana melakukan dosa syirik. Terdapat ayat dengan jelas dan tegas menyatakan semua dosa dan maksiat ada harapan untuk mendapat pengampunan Allah kecuali syirik.

 

Syirik adalah dosa yang sangat besar disisi Allah SWT yang memusnahkan sama sekali amalan kebajikan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah al-Nisa: 48)


 

irsyad

 


Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.: (Surah al-Maidah: 72)

 

Syirik ialah penyembahan kepada makhluk seperti disembah Allah atau pemujaan seperti dipuja Allah, pengagungan seperti diagungkan Allah atau diberi kepadanya beberapa ketentuan yang hanya wujud pada Allah.

 

‘Abd al-Rahman al-Sa’di dalam kitab ‘al-Qaul al-Sadid fi Maqasid al-Tauhid’ menjelaskan pengertian syirik adalah menjadikan bagi Allah sekutu iaitu antaranya penyembahan kepada makhluk seperti disembah Allah, pemujaan seperti dipuja Allah, pengagungan seperti diagungkan Allah atau diberi kepadanya beberapa ketentuan yang hanya wujud pada Allah sahaja.

 

Syirik terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

 

1. Syirik uluhiyyah - iaitu menyedari adanya kekuatan di sebalik hukum sebab dan akibat serta hukum alam yang ada di tangan sesuatu selain Allah SWT.

 

2. Syirik rububiyyah - bermaksud mengikut sesuatu hukum agama, contohnya menghalalkan atau mengharamkan sesuatu berdasarkan kepada ucapan sebahagian orang bukan daripada wahyu.


 

irsyad

 


Selain itu, Imam al-Sanusi dalam bukunya al-Muqaddimat membahagikan syirik kepada enam jenis.

 

i) Syirik istiqlal iaitu menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi seperti Hormazd dan Yazdan (Ahura Mazdan dan Aingra Mainyu).

 

ii) Syirik tab‘id iaitu menyatukan Tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.

 

iii) Syirik taqrib iatu beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti menyembah malaikat, bulan, bintang, matahari dan lain-lain.

 

iv) Syirik taqlid iaitu beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain sebagaimana yang disebutkan dalam ayat yang bermaksud: “Dan demikianlah, Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang pemberi peringatanpun dalam suatu negeri, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: "Sesungguhnya kami mendapati bapak-bapak kami menganut suatu agama dan sesungguhnya kami adalah pengikut jejak-jejak mereka.” (Surah al-Zukhruf: 23)

 

v) Syirik asbab iaitu menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, bukan kerana Allah SWT yang mengenyangkannya. Syirik ini seperti ahli falsafah dan naturalis.

 

vi) Syirik aghrad iaitu beramal kerana selain daripada Allah SWT untuk mendapat pujian dan sanjungan manusia iaitu riyak.

 

Syirik istiqlal, tab‘id, taqrib dan taqlid akan menyebabkan seseorang individu dikira kufur secara ijmak. Syirik aghrad pula dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak.

 

Manakala, syirik asbab pula memerlukan perincian. Sekiranya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dikira kufur secara ijmak. Sekiranya meyakini bahawa memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, maka dikira fasiq dan ahli bidaah.


 

irsyad

 


Seterusnya, syirik juga boleh dibahagi kepada tiga kategori yang lain.

a) Syirik ‘jali’ (jelas) atau ‘akbar’ (besar)

Syirik ini paling buruk kerana menjadikan sekutu kepada Allah seperti menyembah berhala, patung, jin atau manusia yang berkuasa seperti Firaun, Namrud dan sebagainya, atau menyembah alam tabii seperti matahari, bulan, binatang, lautan, daratan, bumi kelahirannya dengan memuja batu dan tanah.

 

b) Syirik ‘asghar’ (kecil), malah semua dosa dan maksiat termasuk dalam syirik ini

Sekiranya hilang petanda iman dan takwa disebabkan tewas kepada nafsu dan kecintaan yang terlalu tinggi terhadap dunia dan kemewahan. Dosa ini dikira syirik, tetapi lebih rendah martabatnya berbanding yang pertama.

 

c) Syirik ‘khafi’ (tersembunyi) kerana tidak jelas atau tersembunyi daripada penglihatan umum

Contoh syirik ini ialah riak atau melakukan sesuatu amal kebajikan dengan niat kerana mencari nama dan bukannya keredaan Allah SWT.


 

irsyad

 


Demikianlah antara pembahagian syirik yang telah dijelaskan oleh para ulama supaya setiap masyarakat Islam benar-benar faham hakikat syirik dan berhati-hati dalam setiap perkataan, perbuatan dan keyakinan dan sebagainya.

 

Pengajaran dan hikmah disebalik tidak diberi keampunan terhadap dosa syirik adalah kerana agama Allah SWT diciptakan untuk membersihkan dan menyucikan jiwa serta memajukan akal fikiran. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.