Anjuran Puasa Sunat Tasua’ dan ‘Asyura di bulan al-Muharram
TANGGAL 1 al-Muharam adalah permulaan kepada tahun baharu yang merupakan peristiwa penting dalam takwim Hijrah kerana pada tarikh inilah Nabi SAW berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah pada 622 Masihi.
Awal al-Muharam dicatat sebagai antara hari terpenting, terdapat beberapa lagi hari penting dalam bulan ini yang wajib diketahui, iaitu 9 dan 10 al-Muharam, atau disebut juga Tasua’ dan ‘Asyura.
Bulan al-Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar hijrah juga dinisbahkan sebagai ‘Syahrullah’ yang bermaksud ‘bulan Allah’. Bulan ini mulia kerana telah dinisbahkan dan disandarkan dengan nama Allah SWT sebagaimana sebutan ‘Baitullah’ (rumah Allah) atau ‘Ahlulullah’ (keluarga Allah)
Imam al-Suyuti pula menjelaskan bahawa dinisbahkan lafaz Allah adalah kerana nama bulan al-Muharram adalah nama dan perkataan yang Islamik berbanding nama bulan-bulan yang lain sudah terdapat di zaman Jahiliyyah.
Selain disebut ‘Syahrullah’, turut disebut ‘Syahrullah al-Asham’ yang bermaksud ‘bulan Allah yang sunyi’ kerana bulan ini sangat dihormati dan dilarang mencetuskan konflik dan perbalahan.
Bulan al-Muharram adalah salah satu daripada bulan-bulan Haram (al-Asyhur al-Hurum). Turutan susunan dalam takwim atau kalendar Hijrah adalah sebagai bulan pertama yang menandakan permulaan tahun baru dalam Islam.
Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Taubah: 36).
Empat bulan Haram ini telah diperincikan dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Sya’ban.” (Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa bulan al-Muharram dimuliakan kerana termasuk dalam empat bulan haram iaitu dinyatakan haram berperang dalam bulan-bulan tersebut.
Selain itu, bulan-bulan haram ini juga diistimewakan dari sudut amalan soleh yang dilakukan di dalamnya dengan mendapat ganjaran pahala yang besar, sebagaimana dosa dan maksiat yang dilakukan juga turut menjadi besar di dalam bulan-bulan ini.
Amalan soleh yang dianjurkan dan disarankan oleh Nabi SAW kepada masyarakat Islam dalam bulan al-Muharram antaranya ialah berpuasa sunat.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Sebaik-baik puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardu adalah solat malam ‘Qiyamullail’.” (Riwayat Abu Daud)
Seterusnya, terdapat hadis khusus yang menganjurkan berpuasa pada tanggal 10 Muharram dengan menyatakan kelebihan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Berpuasa pada hari ‘Asyura, sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.” (Riwayat Ibn Majah)
Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Rasulullah SAW datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.” (Riwayat al-Bukhari)
Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘Asyura adalah sunat dari sudut hukum dan sangat dianjurkan kepada umat Nabi SAW.
Walaupun dianjurkan berpuasa pada 10 Muharram, namun sangat dianjurkan untuk diiringi dengan berpuasa pada hari sebelum atau selepas untuk menunjukkan perbezaan dengan golongan Yahudi yang hanya berpuasa tunggal pada 10 al-Muharram sahaja.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.” (Riwayat Ahmad)
Sebahagian ulama berpandangan kaedah puasa ‘Asyura mempunyai tiga kaedah iaitu pertama, berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya. Kedua, berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal. Ketiga, berpuasa sehari dan selepasnya.
Manakala Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah dalam kitab ‘Zaad al-Ma’ad’ telah menjelaskan kaedah terbaik mengikut turutan puasa ‘Asyura ialah pertama, berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya. Kedua, berpuasa pada 9 (Tasu’a) dan 10 (‘Asyura) Muharram sahaja. Ketiga, berpuasa pada 10 Muharram sahaja.
Demikianlah disunatkan berpuasa sunat pada hari ‘Asyura dengan diiringi berpuasa sebelum iaitu pada 9 Muharram atau selepas iaitu pada 11 Muharram untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi. - DagangNews.com
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD