Isu halal dalam aktiviti Penghantaran Makanan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 31 October 2022

Isu halal dalam aktiviti Penghantaran Makanan

Oleh Dr. Marziah Mokhtar & Sabariah Yusoff

 

 

 

LANDSKAP industri makanan negara telah berubah kesan dari pandemik COVID-19, di mana perkhidmatan penghantaran makanan sudah jadi  keperluan asas kehidupan terkini.

 

Kewujudan beberapa syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran seperti Foodpanda dan Grabfood menyemarakkan lagi penggunaan perkhidmatan itu dalam kalangan pengguna.

 

Nilai industri perkhidmatan penghantaran makanan negara berjumlah lebih RM800 juta pada 2020 dan kerajaan mengunjurkan peningkatan kepada lebih RM1.5 bilion menjelang 2024.

 

Jelas sekali, aktiviti ini memberi sumbangan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi.  

 

Menyedari hal ini, kerajaan mengambil inisiatif membentuk dua garis panduan agar aspek penjagaan kesihatan dan kebersihan operator serta penghantar makanan yang meliputi ciri–ciri selamat, bersih dan kualitinya, terjamin.

 

Kerajaan, melalui Kementerian Pengangkutan telah membentuk garis panduan untuk perkhidmatan penghantaran makanan dan bungkusan menggunakan motosikal (Parcel Hailing-P Hailing) pada 20 April 2020.

 

Ini seterusnya dimantapkan lagi dengan pembentukan garis panduan keselamatan makanan bagi produk makanan yang dijual secara dalam talian pada 24 April 2020.

 

Aspek logistik halal juga turut dititikberatkan oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan manual operasi standard iaitu MS 2400-1: 2019 Sistem Pengurusan Rantaian Halal Bahagian1-Keperluan Umum (Pengangkutan), demi menjadikan aktiviti penghantaran makanan menepati prinsip 'halal lagi suci' sebagaimana yang dikehendaki untuk pengguna Islam.

 

Manual dikeluarkan buat kali pertama pada 2010 dan versi kedua pada 2019.

 

 

mulanya di sini

 

 

Secara umumnya, perkhidmatan penghantaran makanan dikawal dengan baik oleh pihak kerajaan namun dalam konteks makanan halal, masih belum ada mekanisme khusus bagi mengawal perkhidmatan penghantaran makanan.

 

Persoalannya ialah bagaimana perkhidmatan penghantaran makanan dikawal bagi memastikan makanan yang dihantar memenuhi keperluan halal, bersih, selamat dan berkualiti. Ini adalah sesuatu yang bukan senang untuk di kawal selia.

 

Namun keperluan kepada kaedah pelaksanaannya sangat kritikal memandangkan sekitar 63.5 peratus daripada 32.4 juta populasi rakyat Malaysia adalah beragama Islam.

 

Sudah tentu perkara ini sangat memerlukan kepada kerjasama dan sikap jujur kedua pihak iaitu pengusaha dan penghantar makanan berkenaan.

 

Pihak pengusaha makanan sewajarnya bertanggungjawab dalam mengkelaskan restoran atau tempat mereka berpandukan syarat yang telah digariskan kerajaan.

 

Sepatutnya pengusaha mengambil peluang untuk lebih menyerlahkan lagi status halal mereka demi meningkatkan keyakinan pengguna memandangkan saiz pasaran yang didominasi oleh pengguna Islam adalah besar.

 

Bayangkan kesan negatif yang bakal berlaku kepada perniagaan sekiranya isu halal ini dipermainkan pengusaha, Pengguna akan hilang kepercayaan yang membawa kerugian kepada pengusaha akhirnya.

 

Seterusnya, tanggungjawab yang sama penting turut digalas oleh penghantar makanan atau food rider, dimana food rider mesti dengan penuh kesedaran membeli makanan yang dipesan dari tempat yang sahih kehalalannya.

 

 

mulanya di sini

 

 

Mengikut desas desus kebelakangan ini, ada food rider yang berkongsi tentang pengalaman mereka menghantar makanan yang dipesan oleh pengguna Islam dari restoran yang rupa-rupanya bukan dimiliki oleh orang Islam yang didaftarkan seolah-olah halal dalam aplikasi talian.  

 

Insiden begini sangat serius yang tidak wajar sama sekali untuk dipandang remeh.

 

Hal ini diketahui pun kerana food rider yang ada rasa tanggungjawab untuk melaporkan berbuat demikian.

 

Malang sekali sekiranya food rider ambil sikap tidak endah dengan hanya mengutamakan jumlah pendapatan mereka semata-mata, sudah tentu pemakanan yang tidak tepat dengan prinsip suci dan halal akan berpanjangan.

 

Jadi disini, food rider terutamanya yang beragama Islam, mempunyai peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada pengguna dan agensi kerajaan agar langkah yang bersesuaian boleh diambil seterusnya, seperti menyenarai hitam pengusaha makanan yang berkenaan.

 

Seseorang food rider yang beragama Islam, perlu sedar yang pendapatan dari hasil kerja yang melibatkan bahan yang tidak halal adalah haram di mana akan membawa impak yang sangat negatif berkaitan isu keberkatan kehidupan.

 

Tidak dinafikan corak kehidupan kita sebagai pengguna telah dipermudahkan dengan sistem pesanan makanan secara talian tanpa perlu menghabiskan masa untuk ke restoran yang berkenaan.

 

Namun, kita tidak boleh selesa dengan hal ini kerana dikhuatiri apa yang dimakan atau diguna itu diragui kesahihan status halalnya bahkan mungkin haram sama sekali. 

 

 

mulanya di sini

 

 

Sebagai pengguna Islam, kita mesti cakna tentang perkara ini kerana isu makanan ini merupakan isu yang berat. Pengguna Islam wajar sentiasa peka dan lakukan pemesanan makanan dari pengusaha yang sahih halal statusnya.

 

Sewajarnya kita perlu menentukan status pengusaha makanan berkenaan terlebih dulu dengan berpandukan kepada sumber terkini yang di keluarkan oleh pihak kerajaan.

 

Jangan kita mudah terleka dengan gimik pemasaran seperti menu atau juga harga istimewa yang ditawarkan.

 

Sebagai pengusaha yang bermotifkan keuntungan, mereka sudah tentu akan cuba sedaya mungkin menarik perhatian pengguna, apa lagi secara dalam talian.

 

Oleh itu, tidak pelik sekiranya gambar makanan yang menarik diguna pakai, sungguhpun pada realitinya tidak begitu.

 

Pada masa yang sama, agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan dan pengeluaran sijil halal, wajib melakukan pemantauan yang berterusan untuk memastikan setiap yang halal adalah sememangnya halal.  

 

Status halal pengusaha makanan mestilah sentiasa di kemaskini agar pengguna Islam tidak tertipu.

 

Isu halal yang terkait dengan pemesanan dan penghantaran makanan ini memerlukan keprihatinan semua pihak yang terlibat iaitu pengguna, pengusaha, penghantar dan kerajaan.

 

 

mulanya di sini

 

 

Saiz pasaran makanan yang terkait dengan pengguna Islam adalah besar memandangkan majoriti penduduk negara ini adalah beragama Islam.

 

Status halal adalah faktor utama yang diambil kira oleh pengguna Islam dalam membeli makanan.

 

 Justeru, makanan yang diragukan statusnya adalah satu isu sensitif yang tidak boleh diambil mudah sama sekali.

 

Oleh itu semua aspek yang berkait dengan kehalalan makanan ini wajib diurus tadbir dengan penuh tanggungjawab oleh semua pihak yang terlibat.

 

Usaha memantapkan lagi perkhidmatan penghantaran makanan dengan menekankan aspek kehalalan ini sudah pasti menjamin pertumbuhan aktiviti penghantaran makanan sebagai sumber pendapatan yang reliable yang akhirnya menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara. – DagangNews.com

 

 

Dr. Marziah Mokhtar adalah Pensyarah Kanan Ekonomi, Pusat Asasi, UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil
dan 
Sabariah Yusoff adalah Pensyarah Kanan (Ekonomi) Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam
Portfolio Tags