Mewah benar rakyat Malaysia sehingga tidak sedar membazir | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 08 Aug 2022 07:00 AM

Mewah benar rakyat Malaysia sehingga tidak sedar membazir

Oleh Dr. Marziah Mokhtar & Sabariah Yusoff

 

 

 

 

SEBUT sahaja istilah mewah, maka tergambarlah di minda kita pada kehidupan yang serba berlebih atau ekstrem yang penuh dengan lambakan wang ringgit, banglo dan kereta mewah, perhiasan intan permata dan berbagai kemewahan lain.

 

Tidak dinafikan itu merupakan satu ukuran kemewahan yang biasa diguna pakai secara umum.

 

Namun, pada kupasan kali ini, fokus perbincangan dikaitkan dengan konsep mewah dari perspektif jumlah pengambilan makanan rakyat negara ini.

 

Malaysia diibaratkan 'syurga makanan'. Rata-rata kita dapat lihat rakyat Malaysia dikelilingi dengan makanan yang pelbagai dan merentasi cita rasa masyarakat serta bangsa terutamanya pada musim perayaan.

 

Mewahnya kita sehingga sebahagian besar makanan dibazirkan sebagaimana yang dilaporkan oleh berbagai sumber.


 

mulanya di sini

 


Berdasarkan pelbagai laporan, situasi pembaziran makanan di Malaysia adalah sangat getir seperti berikut:

  • Secara purata rakyat Malaysia melupuskan satu kilogram makanan sehari atau sebanyak 17,000 tan metrik sisa makanan yang boleh mengisi perut tiga juta rakyat setiap hari.  
     
  • The Solid Waste Management and Public Cleansing Corporation (SWcorp), selaku syarikat pengurusan sisa pepejal dilantik kerajaan, melapurkan sekitar 4,005 tan metrik makanan yang masih sesuai untuk dimakan dibuang setiap hari. Jumlah ini boleh menampung pemakanan satu hari untuk 2.9 juta orang.
     
  • Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), mengatakan hampir 15,000 tan metrik makanan dibazirkan setiap hari. Sungguh malang sekali, kerana daripada jumlah itu, sebanyak 20 % atau 3,000 tan metrik adalah lebihan makanan tidak disentuh dan masih boleh dimakan. Jumlah itu cukup untuk menampung seramai 5.3 juta orang dengan hidangan tiga kali sehari, khususnya di negara tertentu seperti Syria dan Palestin.
     
  • The Lost Food Project (TLFP), sebuah badan NGO, telah mengumpul dan membahagikan lebihan makanan tidak kurang dari 1.17 million kg sehingga November 2021, yang bersamaan secara purata sekitar 26.5 tan metrik seminggu atau 3.8 tan metrik sehari.
     
  • SWCorp menyatakan pembaziran makanan tertinggi berlaku di rumah iaitu sebanyak 39.78 %, diikuti pasar makan 25.43 %, pasar basah 25.43 % dan restoran 24.19 %. SWCorp menganggarkan RM250 sebulan dari jumlah pendapatan RM900 akan dibuang.
     
  • Syarikat Electrolux Malaysia, dari kajiannya, mengesahkan, kira-kira tiga perempat atau 77 % rakyat negara ini memang suka membazir makanan ini.


 

mulanya di sini

 


Jumlah pembuangan ini semakin bertambah di musim perayaan atau selepas sesuatu majlis berlangsung.

 

Sebagai contoh, waktu berbuka puasa di buffet Ramadan secara umum dapat dilihat pengunjung akan mengambil sejumlah makanan yang melebihi kadar yang munasabah.

 

Mungkin ada yang berprinsip bahawa itu hak mereka kerana mereka telah membayar sejumlah yang tinggi untuk hidangan buffet

 

Sikap dan pemikiran yang begini adalah sangat tidak tepat dan sangat merugikan.

 

SWCorp pernah merekodkan 615,000 tan metrik makanan dibazirkan selepas majlis berbuka tamat.

 

Semua statistik yang dipaparkan ini menunjukkan rakyat Malaysia sangat mewah dalam berbelanja membeli makanan sehingga membazir.

 

Budaya negatif ini seakan telah berakar umbi sehingga dapat dikatakan sebagai pandemik di kalangan masyarakat negara ini.  Sikap suka membazir makanan ini tidak mampu diatasi dengan mudah.


 

mulanya di sini

 


Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maklumat SWCorp menunjukkan ada penurunan dari 2.1 tan metrik kepada 1.7 tan metrik sehari dibuang dari bulan Mac ke bulan April 2020.

 

Malangnya, tren ini tidak bertahan lama kerana sebaik sahaja PKP berakhir, jumlah yang dibuang kembali meningkat kepada 2.2 tan metrik (Jun) dan 2.3 tan metrik (Julai) sehari.

 

Isu ini sangat kritikal kerana setelah berdepan dengan kemelut ekonomi seperti ini pun, masih ada lagi pembaziran makanan yang berlaku.

 

Justeru, tidak keterlaluan untuk kita labelkan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat berbudayakan pembaziran makanan. 

 

Susulan tabiat pemakanan rakyat Malaysia yang berlebihan, menyebabkan negara terpaksa mengimport makanan dari luar. 


 

mulanya di sini

 


Kebergantungan kita kepada import makanan boleh disifatkan sebagai ekstrem, sehinggakan apa yang kita mampu hasilkan sendiri pun turut diimport.

 

Antara produk yang diimport ialah kambing (RM879.4 juta), mangga (RM87.9 juta), kelapa (RM266.1 juta) dan daging lembu (RM2.2 bilion) pada tahun 2020. Malahan beras pun diimport dengan nilai AS$620 juta pada 2020.

 

Ringkasnya, menurut laporan, yang sangat memeranjatkan adalah Malaysia merupakan pengimport kesembilan paling besar di dunia dalam kategori 10 negara terbesar iaitu Arab Saudi, China, Iraq, Perancis, dan Amerika Syarikat.

 

Hebatnya kita apabila kedudukan negara ini yang berkaitan dengan makanan setara dengan negara-negara besar. Parahnya lagi kos import makanan Malaysia akan makin meningkat ekoran nilai ringgit yang semakin menurun.


 

mulanya di sini

 


Pada masa yang sama, sumber laporan juga menyentuh tentang kesan pereputan makanan yang dibuangkan ini akan menjejas ekosistem alam semulajadi.

 

Pereputan sisa makanan akan menghasilkan karbon dioksida (CO2), iaitu setiap 1kg makanan yang dibuang akan menghasilkan 2.5kg greenhouse gas (GhG).  

 

Dengan kata lain, 11 % greenhouse gas (GhG) adalah terkait dengan makanan. Keadaan ini akan mengakibatkan pencemaran yang akhirnya merosakkan rantaian ekosistem alam semulajadi. 

 

Budaya pembaziran ini merupakan amalan buruk yang secara tidak langsung akan diwarisi oleh generasi muda.

 

mulanya di sini

 


Kadar pembaziran makanan yang berterusan ini, dibimbangi akan menjejaskan jaminan bekalan makanan negara.

 

Oleh itu, isu pembaziran makanan ini merupakan isu moral yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.

 

Rancanglah dengan teliti segala jenis dan kuantiti barang makanan agar tidak berbelanja secara berlebihan. Berbelanjalah secara berhemah.

 

Sedaya yang mungkin, setiap dari kita wajib mengubah tabiat membazir makanan demi kelangsungan kehidupan generasi akan datang. Kita mesti bertindak sekarang! - DagangNews.com

 

Dr. Marziah Mokhtar adalah Koordinator Keusahawanan MASMED UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil
dan
Sabariah Yusoff adalah Pensyarah Kanan (Ekonomi) Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam