OPR naik: BNM juga terpaksa demi mengawal inflasi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 9 July 2022

OPR NAIK: BNM JUGA TERPAKSA DEMI MENGAWAL INFLASI

Sin Che Jit Poh 6-8 Julai 2022

 

 

 

DALAM sekelip mata Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR), kali ini sebanyak 25 mata asas.

 

Pada ketika situasi semasa global yang tidak boleh diramalkan, kegilaan mengadakan PRU15 yang semakin rancak, mampukah BNM mencapai ‘tiga sasaran stabil’ iaitu ekonomi, harga barangan dan kadar pertukaran mata wang?

 

Memandangkan negara kini telah memasuki tahap peralihan kepada wabak endemik, bidang ekonomi telah dibuka dengan sepenuhnya dan momentum pertumbuhan juga menjadi semakin positif.

 

Walau bagaimanapun, impak daripada perang Rusia-Ukriane telah menjejaskan rantaian bekalan global dan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat secara mendadak telah mencetus inflasi global. Keadaan ini boleh membawa tekanan ke atas ekonomi negara.

 

Jadi kadar faedah 1.75% sudah tidak lagi sesuai kerana untuk jangka panjang ia boleh memberi kesan negatif pemulihan ekonomi.  Kenaikan kali ini adalah masih rendah daripada kadar sebelum pandemik iaitu sekitar 3.00 hingga 3.25%.

 

Diramalkan juga BNM akan menaikkan lagi kadar pada bulan September.

 

Begitu juga BNM ada memberi bayangan langkah-langkah seterusnya yang akan dilaksanakan pada masa hadapan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi berterusan dalam persekitaran harga yang stabil.

 

Menurut BNM sebarang pelarasan tetapan dasar monetari pada masa hadapan, akan dibuat secara terkawal dan berperingkat bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif.

 

 

BNM

 

 

Mesej yang disampaikan oleh BNM adalah sangat jelas. Apabila inflasi meningkat maka harga akan terus naik. Oleh itu rakyat adalah disarankan untuk berbelanja dengan berhati-hati.

 

OPR yang lebih tinggi bermakna kadar faedah pinjaman bank juga akan meningkat, dan ini adalah masanya untuk menambah simpanan. Orang yang menyimpan deposit tetap boleh menikmati kadar pulangan yang lebih tinggi.

 

Apabila modal yang mengalir dalam pasaran dikurangkan, maka inflasi domestik dapat dikekang.

 

Selain itu, tindakan BNM ini juga adalah untuk mengelakkan ringgit menjadi terus lemah. Dalam keadaan nilai ringgit dapat dikekalkan buat sementara waktu, jadi harga bahan mentah dan produk import yang utama dapat dikekalkan pada tahap munasabah dan peniaga tidak perlu lagi mengalihkan kos yang tinggi kepada pengguna.

 

Berita buruknya ialah kenaikan OPR bermakna kenaikan faedah pinjaman terutamanya bagi mereka yang mempunyai pinjaman perumahan akan merasai beban meningkat. 

 

Pada masa ini barulah kita sedar kebenaran kata pepatah lama “cash is king”. Sesiapa yang mempunyai wang terlebih, adalah lebih simpan dahulu dan jangan membelanjakannya untuk tujuan yang tidak perlu kerana kita masih belum terlepas daripada risiko inflasi yang tidak stabil.

 

Semua orang memahami bahawa kadar faedah lebih tinggi akan menarik aliran asing yang akan membantu meningkatkan nilai ringgit atau sekurang-kurangnya mengekalkan kekuatan relatifnya.

 

Apabila kadar faedah Rizab Persekutuan (FED) AS naik, dana asing telah melihat AS sebagai tempat perlindungan yang selamat. Kita tidak boleh membiarkan dana asing terus menarik diri daripada negara.

 

 

feds

 

 

Jika tujuan menaikkan OPR adalah untuk membendung kenaikan harga tetapi akar kepada masalah bukan kerana orang ramai terlalu banyak duit untuk berbelanja, jadi kenaikan tidak akan membawa kebaikan.

 

Melihat kepada keadaan hari ini, kenaikan kos adalah faktor utama kenaikan harga barang. Jadi menaikkan OPR akan meningkatkan beban kredit syarikat.

 

Kadar inflasi yang rendah di negara kita adalah kerana pemberian subsidi oleh kerajaan, kenaikan OPR tidak semestinya dapat membendung inflasi.

 

Langkah BNM mungkin dapat menyokong ringgit, tetapi kesannya kepada pengurangan inflasi masih samar-samar lagi.

 

Sesetengah penganalisis ekonomi berpendapat, meskipun ekonomi semakin pulih, kemampanan dan kestabilannya masih diragui, lebih banyak masa yang diperlukan untuk menyatukan momentum pertumbuhan ekonomi.

 

Ekonomi negara masih lagi berada dalam fasa pertama pemulihan, kerajaan harus menyokongnya kerana kita tidak boleh meletakkan risiko kepada sistem kewangan yang stabil.

 

Sebagai persediaan untuk meningkatkan simpanan negara dan menarik modal asing, kecekapan pasaran kewangan domestik mesti dipertingkatkan secara serentak.

 

Menaikkan kadar faedah adalah salah satu langkah. Tetapi kerajaan masih perlu melalui dasar lain untuk memastikan pai ekonomi menjadi lebih besar dan dapat diagihkan dengan baik agar semua rakyat boleh menikmatinya dengan adil.

 

 

putrajaya

 

 

Dasar perdagangan yang kukuh dan saksama, serta penggubalan dan pelaksanaan dasar makroekonomi akan memacu pembangunan sektor ini.

 

Dari segi pengeluaran dan pembekalan makanan, kerajaan mesti menggalakkan pengeluaran pertanian selain daripada tanaman kontan, agar kita tidak lagi terlalu bergantung kepada import untuk mencapai matlamat sara diri.

 

Harap-harap tiada lagi politikus yang tidak tahu tetapi acah tahu masuk campur dalam usaha kerajaan hari ini. - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 6-8 Julai 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags