USAS jalin kerjasama dengan TNB, GSPARX teroka penggunaan tenaga solar  | DagangNews Skip to main content

USAS jalin kerjasama dengan TNB, GSPARX teroka penggunaan tenaga solar 

Kampus USAS di Kuala Kangsar, Perak
Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 27 Julai - Penggunaan tenaga solar yang diteroka Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)  bakal memberi nilai ekonomi apabila lebihan tenaga itu nanti boleh dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Universiti tersebut boleh mendapat kredit tenaga bagi asas ‘satu-bagi-satu’ untuk mengurangkan lagi bilnya menerusi skim Net Energy Metering (NEM).

 

USAS juga tidak mengeluarkan kos awalan bagi pemasangan photovoltaics (PV) solar di bangunan yang telah dipilih di kampusnya.

 

Dalam tempoh kontrak selama 20 tahun, penjimatan bil elektrik keseluruhan USAS dijangka berjumlah RM2.8juta.

 

 

USAS
Tan Sri Prof Dr. Nordin Kardi (tengah) bertukar dokumen pada majlis menandatangani Supply Agreement For Renewable Energy (SARE) antara USAS Berhad, TNB dan GSPARX di kampus universiti itu di Kuala Kangsar baru-baru ini.

 

 

Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr. Nordin Kardi berkata, projek pemasangan panel solar berkapasiti 361.125 kWp itu dijangka siap sepenuhnya Oktober depan.

 

Menurut beliau, penggunaan tenaga diperbaharui itu juga merupakan kerjasama antara USAS Berhad, TNB dan GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX).

 

"Pemasangan panel PV ini dapat mengurangkan kos operasi kita dengan penjimatan elektrik yang akan dinikmati melalui tarif solar yang kompetitif untuk tempoh 20 tahun.  

 

"Pada tahun pertama penggunaan, penjimatan kos bil elektrik dijangka sebanyak RM69,217 dengan jumlah keseluruhan penjanaan tahunan tenaga sebanyak 474,091 kWh," ujarnya.

 

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Supply Agreement For Renewable Energy (SARE) antara USAS Berhad, TNB dan GSPARX di kampus universiti itu di Kuala Kangsar baru-baru ini.

 

Hadir sama Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan; Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Perak, Datuk Raja Abdul Jalil Raja Zaid dan Pengarah Projek GSPARX Sdn Bhd., Shuhaimi Ismail.

 

 

GSPARX

 

 

Jelas Nordin lagi, kerjasama pintar yang dimeterai itu juga membantu USAS dalam menyokong ke arah pengurangan pelepasan karbon.

 

Tambahnya, ia juga menggambarkan komitmen semua pihak dalam meningkatkan kesedaran mengenai ekosistem teknologi hijau dan faedahnya.

 

"Pemasangan panel solar di bangunan ini mampu mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida pada kadar tahunan sebanyak 336 tan metrik/karbon dioksida.

 

"Ini bersamaan dengan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 5,555 batang anak pokok yang ditanam dalam tempoh 10 tahun sekali gus menyumbang pada kelestarian alam sekitar," katanya. - DagangNews.com