Bila KJ dijemput Anwar bincang ekonomi negara, orang tanya mana Rafizi? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 20 June 2023

Bila KJ dijemput Anwar bincang ekonomi negara, orang tanya mana Rafizi?

 

 

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan ekonomi yang turut disertai Ahli Parlimren Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

 

Mana Menteri Ekonomi kerajaan perpaduan yang sepatutnya yang menjadi “tulang belakang” dalam membincangkan hala tuju ekonomi negara?


 

parafrasa

 

parafrasa

 


Turut hadir dalam perbincangan bersama Anwar ialah Ketua Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron, Pengarah Institut  Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali serta Pengerusi bersama Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Nungsari Ahmad Radhi.

 

Menerusi mesyuarat ini, semua yang terlibat menyatakan Malaysia mempunyai masa yang terhad untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah ekonomi dan membawa Malaysia kembali ke landasan yang tepat. Tindakan segera perlu dilakukan oleh Anwar dan kerajaan perpaduan.

 

Itu yang Anwar nak umum langkah-langkah untuk isu ekonomi negara serta menstabilkan pasaran saham dan ringgit semula.

 

Laporan suku tahunan 2023 oleh BNM

Menurut laporan suku tahunan 2023, Bank Negara Malaysia (BNM) ekonomi Malaysia berkembang 0.9% daripada suku keempat tahun 2022 pada asas suku tahunan. Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 7% tahun ke tahun, manakala keluaran dalam negara kasar bertumbuh sebanyak 8.7% pada tahun itu.

 

Perkembangan ekonomi pada suku pertama didorong oleh penggunaan swasta dan aktiviti pelaburan, di samping prestasi sektor perkhidmatan dan perkilangan, pasaran pekerja yang bertambah baik, pelancongan ke dalam negeri yang terus pulih, dan projek prasarana awam yang sedang berjalan.

 

Nilai Inflasi pula secara keseluruhan lebih rendah selaras dengan persekitaran kos yang mereda, kepada purata 3.6% pada suku pertama berbanding 3.9% pada suku keempat tahun 2022.

 

Eksport negara perlahan pada suku pertama 2023, yang berkembang 2.8% berbanding 11.8% pada suku tahun sebelum ini.

 

Selepas menilai prestasi suku tahun pertama 2023 ini, BNM menyatakan ekonomi masih terdedah kepada risiko yang berkait dengan perkembangan luar negara, seperti pertumbuhan global lebih lemah yang boleh membawa kepada harga komoditi lebih rendah.


 

BNM

 


Kerajaan perlu teruskan langkah konsolidasi fiskal

Bagi menghadapi cabaran suku tahun ketiga 2023 ini, kerajaan perlu meneruskan langkah konsolidasi fiskal dengan memperluaskan asas hasil dan memastikan kutipan hasil mampan di mana perbelanjaan mengurus dibiayai sepenuhnya melalui hasil negara dan kerajaan mempunyai lebihan baki semasa yang dapat menampung sebahagian perbelanjaan pembangunan.

 

Kerajaan perlu memastikan bayaran khidmat hutang terkawal dan tidak melebihi 15% daripada hasil dan pinjaman kerajaan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan yang ditumpukan kepada projek berimpak tinggi seterusnya memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang.

 

Menambah baik pengurusan agihan kos dan siling projek pembangunan

Bagi memastikan konsolidasi fiskal mampu dilakukan dengan baik, kerajaan perlu segera memastikan mekanisme penentuan siling bayangan kementerian adalah berdasarkan tema yang telah ditetapkan. Mekanisme ini akan diperkukuh dengan sekurang-kurangnya 50% daripada peruntukan pembangunan asas akan diagih kepada negeri atau kementerian yang kritikal.

 

Fungsi jawatankuasa pemeriksaan bajet peringkat Bahagian dan Pengurusan Tertinggi EPU perlu diperkukuhkan dan penambahbaikan ke atas Garis Panduan Pemeriksaan Bajet yang baharu perlu dilaksanakan. Sistem Belanja Pembangunan (DE) perlu dibangunkan bagi memperkukuh pengagihan siling projek untuk memastikan perbelanjaan negara dapat dikawal dengan baik dengan pelaksanaan projek yang berimpak dan memberi manfaat kepada rakyat.

 

Perbanyakan Projek Model PPP

Selain menambah baik pengurusan agihan kos dan siling projek pembangunan, kerajaan juga perlu menjalankan lebih banyak projek  Model PPP (Public Private Partnership).

 

Kerajaan perlu memperbanyakkan lagi projek Model PPP  ini.  Model PPP ini ialah projek kerjasama antara kerajaan dan swasta.

 

Kerajaan perlu mewujudkan satu platform “single widow” bagi meneliti projek PPP baharu. Platform ini perlu diselaraskan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bersama dengan Kementerian Ekonomi supaya kelulusan projek adalah selaras dengan perancangan pembangunan dan dibiayai menggunakan peruntukan perbelanjaan pembangunan sedia ada.


 

parafrasa

 


Mantapkan peranan EPU dalam bantuan hadapi cabaran sosioekonomi negara

Tindakan semasa yang boleh diambil dalam menangani cabaran pembangunan sosioekonomi negara, peranan EPU sebagai penasihat kepada Kerajaan dalam perkara berkaitan pertumbuhan dan perancangan ekonomi jangka sederhana dan panjang perlu dimantapkan.

 

Pemerkasaan  peranan EPU perlu dilaksana segera melalui pengukuhan tanggungjawab sebagai penasihat kepada Kerajaan dalam majlis, jawatankuasa serta mesyuarat rasmi Kerajaan seperti Majlis Raja-Raja, Jawatankuasa Khas Kabinet dan Mesyuarat Jemaah Menteri.

 

EPU juga perlu diperkasa peranannya  sebagai “focal point” bagi kerjasama sub-serantau.  EPU bertanggungjawab sebagai focal point dan Sekretariat Kebangsaan Malaysia bagi kerjasama sub-serantau Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT), Brunei-Indonesia-Malaysia-the Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA), Malaysia-Thailand Committee on Joint Development Strategy for Border Areas (JDS) dan Malaysia-Singapore Joint Ministerial Committee for Iskandar Malaysia (JMCIM). Jika semua kerjasama serantau ini dapat dikukuhkan melalui EPU, ekonomi Malaysia akan berkembang dengan lebih baik bagi tahun 2023 dan 2024.

 

Perkukuhkan EAC

Selain daripada mantapkan EPU, kerajaan perpaduan juga perlu memperkukuh kecekapan jentera  EAC ( Economic Action Concil) atau Majlis Tindakan EAC perlu diperkukuh dengan mewujudkan mekanisme pemantauan pelaksanaan untuk maklum balas dan keputusan Mesyuarat EAC. Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara (JPPN) akan menjadi platform single window untuk menyelesaikan isu perancangan dan pembangunan negara.

 

Percepatkan Naratif Ekonomi Madani

Secara keseluruhannya, walaupun ada tindakan jangka masa pendek yang dilakukan kerajaan, kerajaan perpaduan perlu segera untuk melancarkan Naratif Ekonomi Madani yang dijangka akan dilancarkan bulan Ogos ini yang akan menjadi panduan dan hala tuju kepada kementerian berkaitan.


 

parafrasa

 


Rakyat mahu melihat sejauh mana Naratif Ekonomi Madani akan menjadi pelan jangka masa panjang  yang akan melaksanakan kerangka besar dan beberapa dasar yang akan menjadi tiang ekonomi negara yang akan dilaksanakan secara berfasa.

 

Semoga apa jua keputusan Anwar dan kerajaan perpaduan, harapnya membawa kesan positif kepada ekonomi negara! - DagangNews.com

 

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags