ESG: Tidak boleh pandang sepi di Malaysia, pelanggan global akan minta data pematuhan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 30 January 2024

 

ESG: Tidak boleh pandang sepi di Malaysia, pelanggan global akan minta data pematuhan

 

 

 

Amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) perlu dilaksanakan oleh syarikat-syarikat bagi menarik lebih ramai pelabur asing ke Malaysia.

 

Persekitaran pelaburan global kini menekan  perniagaan yang mengambil kira ESG dalam perniagaan atau pelaburan.

 

Jika dianalisis secara makro, peningkatan syarikat yang berorientasi ESG ini berupaya menarik aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

 

Pastinya dengan peningkatan aliran masuk FDI akan membantu pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang kukuh dan mampan bagi Malaysia.

 

ESG adalah singkatan daripada Environmental, Social, and Governance .Dalam Bahasa Melayu, ia boleh diterjemahkan sebagai "Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir urus".

 

ESG merujuk kepada faktor-faktor yang digunakan oleh pelabur dan pihak berkepentingan lain untuk menilai prestasi dan impak sosial serta alam sekitar sebuah syarikat atau organisasi.


 

esg

 


Kenapa ESG penting kepada syarikat dan perniagaan masa kini?

Dengan memperhatikan faktor-faktor ESG dalam operasi dan pengurusan syarikat atau perniagaan dapat meningkatkan prestasi jangka panjang dan memberikan manfaat kepada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pemegang saham, pekerja, masyarakat, dan alam sekitar.

 

Antara kepentingan ESG dalam keperluan masa kini ialah:

 

  • Pematuhan Regulatori - Mematuhi faktor ESG membantu syarikat memenuhi keperluan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa.

 

  • Pengurangan Risiko - Mengambil kira aspek alam sekitar, sosial, dan tadbir urus yang baik membantu syarikat mengenal pasti dan mengurangkan risiko-risiko yang berkaitan dengan pelbagai isu seperti pencemaran alam sekitar, isu sosial, dan skandal tadbir urus yang buruk.

 

  • Akses kepada Modal - Semakin ramai pelabur institusi dan individu yang memilih untuk melabur dalam syarikat-syarikat yang mempunyai prestasi ESG yang baik. Mematuhi ESG boleh membantu syarikat meningkatkan daya tarikan mereka kepada pelabur dan mendapatkan akses kepada pelbagai sumber modal.

 

  • Reputasi dan Kepuasan Pelanggan - Amalan ESG yang baik membantu meningkatkan reputasi syarikat dan kepuasan pelanggan. Pengguna semakin prihatin dengan impak sosial dan alam sekitar produk dan perkhidmatan yang mereka beli. Syarikat yang mempunyai amalan ESG yang baik mungkin menjadi pilihan masyarakat kini.

 

  • Kemampanan Perniagaan - Melaksanakan strategi ESG membantu syarikat membangun perniagaan yang berdaya tahan dalam jangka panjang dengan mengambil kira impak jangka panjang mereka terhadap alam sekitar, masyarakat, dan tadbir urus yang baik.

 

SC bangunkan garis panduan ESG untuk PKS

Terdahulu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah bekerjasama dengan beberapa agensi telah  menyediakan garis panduan ESG  untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Pengerusi SC Datuk Seri Awang Adek Hussin dalam ucaptama pada Meja Bulat Asia mengenai Tadbir Urus Korporat Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) 2023 yang lalu menyatakan garis panduan Malaysia secara umumnya seiring dengan Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/OECD yang dikemas kini.

 

Garis panduan ini memberi ruang dan peluang kepada PKS untuk menjadikan perniagaan mereka  lebih bersedia dalam perjalanan kemampanan perniagaan mereka selari dengan pelaksaan ESG.


 

volatiliti

 


Rangka Kerja i-ESG MITI,tingkatkan pelaburan negara

Bagi menarik minat FDI dalam sektor perkilangan negara, Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) telah melancarkan rangka kerja i-ESG bagi  menyediakan sektor perkilangan negara untuk mendepani ESG dan bakal memanfaatkan pasaran global bernilai AS$12 trilion.

 

Rangka Kerja i-ESG ini adalah pelan hala tuju bagi membolehkan perniagaan dalam industri perkilangan menyepadukan ESG dalam operasi dan merupakan  proses kawal selia yang diperlukan bagi memastikan pematuhan dan akauntabiliti.

 

Objektif menyeluruh i-ESG adalah untuk mempercepatkan peralihan ke arah amalan mampan dalam kalangan syarikat pembuatan di Malaysia.

 

Rangka Kerja i-ESG Fasa 1.0 menyediakan asas dan memupuk pembangunan ekosistem yang kukuh untuk membantu sektor industri memulakan pelaksanaan ESG secara berperingkat di Malaysia.

 

Inisiatif Pelaporan Global (GRI) bagi piawai global

Kini, syarikat-syarikat yang ingin  melabur dalam kebanyakkan negara perlu melaporkan prestasi ESG mereka.  Ada banyak standard ESG yang digunapakai dalam persekitaran global masa kini.

 

Inisiatif Pelaporan Global atau Global Reporting Initiative (GRI) merupakan inisiatif pelaporan Global yang digunakan oleh syarikat-syarikat di seluruh dunia untuk melaporkan prestasi ESG mereka. Ia merangkumi indikator-indikator yang berkaitan dengan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus yang baik.

 

Selain itu, Sustainability Accounting Standards Board (SASB), UN Principles for Responsible Investment (PRI), Task Force on Climate-related Financial Disclosures (TCFD), Equator Principles antara standard piawai global yang menilai dan mengurus risiko alam sekitar dan sosial dalam projek-projek kewangan sesebuah syarikat atau perniagaan serta melaporkan risiko dan peluang yang berkaitan dengan perubahan iklim dalam laporan kewangan syarikat.


 

hikayat

 


Biar lambat, jangan tergesa-gesa

Pastinya pelaksanaan ESG dalam syarikat atau perniagaan di Malaysia memerlukan masa untuk dilaksanakan sepenuhnya. Ini kerana ESG ini masih “baharu” di Malaysia dan memerlukan setiap syarikat dan perniagaan memahami konsep ESG ini secara menyeluruh.

 

Mungkin syarikat atau perniaagan akan merasakan satu “bebanan” untuk melaksanakan ESG. Melaksanakan ESG ini juga akan meningkatkan kos operasi syarikat tetapi dalam kadar yang minimum.

 

Syarikat atau perniagaan dalam persekitaran masa kini bukan hanya memikirkan keuntungan perniagaan dan pelaburan mereka semata-mata tetapi bagaimana  keuntungan mereka boleh kebaikan kepada masyarakat dan persekitaran.

 

Tindakan tegas daripada kerajaan

Jika Malaysia mahu pelaksaan ESG ini betul-betul dilaksanakan di Malaysia sepenuhnya, ia memerlukan keberanian dan komitmen tinggi dari segi pemantaun kepada syarikat di Malaysia untuk mematuhi prinsip-prinsip ESG. Malaysia perlu bangunkan konsep standard khusus yang boleh diguna pakai bagi semua industri di Malaysia.

 

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang masih berbaki ini  perlu menekan agenda ESG  dalam apa jua inisiatif pemerkasaan ekonomi, kemapanan alam sekitar serta sosial demi memastikan pembangunan sosioekonomi yang inklusif ke arah agenda ESG.

 

Jika diteliti, sebenarnya RMK12 mempunyai sasaran ESG yang besar iaitu menjadi negara pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Namun begitu, mampukah Malaysia? - DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

Portfolio Tags